Ng Kok Song lawat Taman Bacaan; prihatin tentang cabaran masyarakat Melayu/Islam
SINGAPURA: Calon Presiden Encik Ng Kok Song mempergiatkan usaha mendekati masyarakat serta pertubuhan berbilang bangsa dan agama.
Pada tengah hari tadi (23 Ogos), beliau beramah mesra dengan orang ramai di pusat penjaja Amoy Street.
Encik Ng kemudian menyertai satu perbincangan meja bundar di Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura pada sebelah petang.

Perbincangan selama sejam itu mengenai "Membina Singapura yang Teguh dan Inklusif untuk Masa Depan" anjuran Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura.
Encik Ng berkata beliau sudah melawat beberapa pertubuhan dan terharu diundang untuk menyertai perbincangan pada hari ini.

Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Abdul Halim Kader antara lain berkongsi tentang aspirasi serta cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam.
Ia termasuk usaha menentang ekstremisme ganas dan masalah ketagihan dalam kalangan golongan muda.
"Saya berkongsi keprihatinan masyarakat Melayu bahawa kita perlu memberi perhatian untuk cuba mengurangkan cabaran radikalisasi dan ketagihan ini. Ini adalah kerana ia sangat merugikan potensi anak-anak muda ini," kongsi Encik Ng kepada para wartawan.
"Dan bayangkan betapa berbezanya masyarakat Singapura jika kita dapat membantu belia Melayu ini supaya tidak terjerumus ke dalam lingkaran di mana mereka rasa terasing dan putus harapan supaya mereka boleh ke sekolah, kekal di sekolah, mendapat pekerjaan, kekal dalam tenaga kerja, supaya mereka boleh menyumbang kepada masyarakat Singapura," tambah beliau.
Turut disentuh adalah mengenai keusahawanan dan perniagaan dari rumah (HBB).
PRIHATIN CABARAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

"Saya rasa di sini kita menghadapi bahaya untuk mengatakan sokongan daripada masyarakat Melayu sokongan daripada masyarakat India, sokongan daripada masyarakat Cina. Kita harus bangkit mengatasinya. Kita satu negara, satu rakyat. Oleh itu, saya berharap untuk mempunyai mesej yang sama kepada orang ramai daripada pelbagai masyarakat. Jadi saya tidak mahu menarik hati kaum tertentu sahaja," kata beliau.
"Seorang Presiden mempunyai sebuah platform dan saya ingin melihat apa yang boleh saya sumbang," kata beliau
Dan ia bukan dalam dasar-dasar besar sahaja tetapi berhubung isu-isu lain yang menjadi kebimbangan rakyat Singapura seperti soal pengangkutan pekerja migran dan isu pemilikan kucing di perumahan awam kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.