Ng Chee Meng pernah temui Su Haijin dalam sesi pendampingan; tiada interaksi lanjut selepas itu
Ketua buruh, Encik Ng Chee Meng, berkata pada Selasa (6 Mei) bahawa beliau pernah bertemu dengan Su Haijin, individu yang disabit kesalahan pengubahan wang haram, semasa satu sesi pendampingan, namun tidak mempunyai interaksi lanjut dengannya setelah beliau mengetahui tentang siasatan polis dan pertuduhan jenayah ke atas Su.

Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng (kiri), bersama ahli kumpulan Fujian, Su Haijin. (Gambar : Instagram/toxicstatenarrativeinsg)
“Sebagai setiausaha agung NTUC, menjadi sebahagian daripada tugas saya untuk berinteraksi dengan syarikat-syarikat dan pemimpin sektor swasta. Sesi-sesi pelibatan seperti ini membantu saya memahami dengan lebih baik isu serta cabaran dalam pelbagai industri,” kata Encik Ng, menjawab pertanyaan media.
“Dalam sesi sebegini, orang ramai sering menghampiri saya untuk bergambar. Makan malam itu merupakan salah satu daripada sesi tersebut. Ia berlangsung agak lama dahulu.”
Gambar Encik Ng dan Su di satu majlis makan malam dimuat naik online oleh mantan pengerusi Parti Reform, Charles Yeo. Su merupakan antara 10 individu yang disabit kesalahan dalam kes pengubahan wang haram berbilion dolar tahun lalu.
Encik Ng baru-baru ini dipilih sebagai Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu, dalam persaingan paling sengit bagi Pilihan Raya Umum 2025.
Gambar Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dan Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat bersama Su juga turut dikongsi Yeo.
Terdahulu pada Selasa, setiausaha akhbar kedua-dua menteri itu berkata bahawa para menteri tersebut tidak mengenali Su secara peribadi dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan dengannya.
“Terdapat beberapa gambar yang tersebar, menunjukkan Menteri Ong Ye Kung dan Menteri Chee Hong Tat hadir di majlis makan malam yang turut dihadiri ahli kumpulan Fujian, Su Haijin,” kata setiausaha akhbar mereka dalam satu kenyataan bersama.
“Sebagai menteri, mereka sering bertemu pelbagai individu di acara dan perjumpaan yang berbeza.
“Mereka menghadiri majlis makan malam tersebut atas jemputan seorang kenalan, dan kebetulan Su turut berada di situ. Menteri Ong turut mengingati bahawa beberapa bulan kemudian, dalam satu lagi majlis makan malam, Su sekali lagi hadir secara kebetulan.”
AHLI KUMPULAN FUJIAN
Su, seorang warganegara Cyprus, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada April tahun lalu.
Dia merupakan individu yang terjun dari balkoni semasa serbuan pada Ogos 2023 yang bertujuan untuk memberkas suspek yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura.
Secara keseluruhan, lebih S$3 bilion dalam bentuk aset disita atau dibekukan dalam kes tersebut.
Kesemua 10 individu yang ditangkap dipercayai merupakan anggota kumpulan Fujian, iaitu satu sindiket jenayah terancang yang berpangkalan di Fujian, China.
Peguam dalam buruan dan mantan pengerusi Parti Reform, Charles Yeo, melarikan diri dari Singapura selepas berdepan dengan pertuduhan jenayah pada Ogos 2022.
Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin di United Kingdom, sementara menunggu perbicaraan ekstradisinya, selepas Singapura memohon agar dia dihantar pulang ke negara ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.