Skip to main content

Singapura

Ng Chee Meng masuk Kabinet 'tepat pada masanya' di tengah cabaran transformasi pekerjaan dan tempat kerja: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Ng Chee Meng masuk Kabinet 'tepat pada masanya' di tengah cabaran transformasi pekerjaan dan tempat kerja: PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong bersama Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng, Presiden NTUC K Thanaletchimi dan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang lain semasa Rapat Hari Buruh. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 11:24PM Dikemas Kini : 22 Jul 2026 11:47PM
  • Ng Chee Meng dilantik semula sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura selepas permintaan Perdana Menteri Lawrence Wong, menandakan keutamaan isu pekerjaan dan transformasi tempat kerja.
  • Beliau sebelum ini menumpukan perhatian kepada NTUC dan kawasan Jalan Kayu, serta pernah meminta tidak diberi jawatan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 2020.
  • Pelantikan ini bertujuan mengukuhkan suara pekerja dalam penggubalan dasar negara, dengan sokongan NTUC dan kerjasama tiga pihak antara kesatuan, majikan dan kerajaan.
  • Ng menegaskan komitmennya terhadap kebajikan pekerja, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan akibat kecerdasan buatan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng kembali menyertai Kabinet pada masa yang "tepat", sedang pekerjaan dan transformasi tempat kerja kini menjadi keutamaan yang semakin penting, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (22 Jul).

Menjawab pertanyaan Mediacorp dalam sidang media siang tadi (22 Jul), PM Wong berkata beliau menerima permintaan Encik Ng pada Mei tahun lalu untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerakan buruh dan kawasan undi Jalan Kayu. Setahun kemudian, menurut PM Wong, Encik Ng telah menyesuaikan diri di kawasan undi itu dan bekerja keras di peringkat akar umbi.

"Dan sekarang apabila kita melihat keadaan semasa, kita tahu bahawa pekerjaan dan transformasi tempat kerja telah menjadi keutamaan yang jauh lebih besar bagi pemerintah," kata PM Wong.

Beliau menarik perhatian bahawa isu-isu tersebut banyak dibahaskan di parlimen, termasuk usul berhubung kecerdasan buatan (AI) dan pekerjaan yang dibentangkan oleh Encik Ng.

"Dengan kebimbangan terhadap cabaran ekonomi dan tenaga kerja yang kita hadapi, memang tepat pada masanya untuk beliau kembali ke pemerintah, kembali ke Kabinet, dan menyumbang bukan sahaja sebagai Setiausaha Agung NTUC, tetapi juga sebagai seorang menteri dalam pasukan saya," kata PM Wong.

"Saya fikir beliau akan dapat memberikan sumbangan yang lebih bermakna dalam menangani cabaran negara yang kita hadapi. Sebab itu saya menghubunginya, dan beliau bersetuju."

PM Wong berkata demikian selepas mengumumkan bahawa Encik Ng akan dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, jawatan yang kali terakhir disandangnya sebelum meninggalkan parlimen selepas Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

'RASA TANGGUNGJAWAB YANG MENDALAM': NG CHEE MENG

Dalam satu catatan di media sosial, Encik Ng berkata beliau berbesar hati menerima pelawaan PM Wong dan menerimanya "dengan rasa tanggungjawab yang mendalam". Beliau berkata komitmennya terhadap penduduk Jalan Kayu serta memperjuangkan gaji, kebajikan dan masa depan pekerja "dalam dunia yang diganggu AI" kekal tidak berubah.

"Bersama kesatuan sekerja, majikan dan rakan-rakan tiga pihak, kami akan terus mempersiapkan pekerja, termasuk golongan profesional, pengurus dan eksekutif (PME), untuk masa depan yang lebih baik menerusi inisiatif yang bersasar, di samping menyokong mereka yang sedang melalui proses peralihan dengan langkah-langkah yang dipertingkat. Usaha-usaha bermakna ini yang banyak mendorong saya," kata Encik Ng.

Dalam satu kenyataan, NTUC menyatakan bahawa pihaknya percaya pelantikan Encik Ng dalam Kabinet akan mengukuhkan suara para pekerja dalam proses penggubalan dasar negara.

Sebagai mantan menteri Kabinet dan Setiausaha Agung NTUC ketika ini, Encik Ng membawa pengalaman dalam penggubalan dasar negara serta pemahaman mendalam mengenai kebimbangan pekerja hasil penglibatannya bersama kesatuan sekerja, majikan dan rakan-rakan tiga pihak, kata gerakan buruh itu.

KELUAR, MASUK SEMULA

Encik Ng menyertai politik pada 2015 sebagai pegawai tentera dengan pangkat tertinggi yang berbuat demikian. Sebelum itu beliau berkhidmat sebagai Panglima Pasukan Pertahanan.

Beliau dipilih sebagai sebahagian daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Pasir Ris-Punggol dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Pendidikan (Sekolah). Beliau kemudian menjadi menteri penuh serta Menteri Kedua Pengangkutan.

Pada 2018, beliau melepaskan portfolio pendidikan dan pengangkutan sebelum dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Setiausaha Agung NTUC.

Pasukannya kalah kepada Parti Pekerja (WP) di GRC Sengkang semasa Pilihan Raya Umum 2020, namun Encik Ng kekal sebagai Setiausaha Agung NTUC.

Beliau kembali ke Parlimen pada 3 Mei 2025 selepas memenangi SMC)Jalan Kayu dalam persaingan paling sengit semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Sebelum PM Wong mengumumkan barisan kepimpinan beliau, Encik Ng berkata beliau telah meminta perdana menteri supaya tidak memberinya sebarang jawatan dalam pemerintah.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya akan memberi tumpuan kepada tugas saya sebagai AP Jalan Kayu dan peranan saya sebagai Setiausaha Agung NTUC. Keperluan penduduk saya dan semua pekerja Singapura adalah keutamaan saya," kata Encik Ng ketika itu.

Permintaan tersebut mencetuskan reaksi awam menyusuli tingkah lakunya dalam satu sesi dialog Kementerian Pendidikan pada 2017, apabila beliau dituduh bersikap agresif dan merendah-rendahkan guru. Encik Ng kemudian mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan berkata beliau sepatutnya mengendalikan situasi itu dengan lebih baik.

Pada waktu yang sama, gambar beliau menjamu selera bersama Su Haijin, yang kemudian disabitkan dalam kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion, tersebar di media sosial. Encik Ng berkata beliau tidak lagi berhubung dengan Su selepas mengetahui mengenai siasatan polis terhadapnya.

PM Wong menerima permintaannya itu, dan tidak menyertakan Encik Ng dalam barisan Kabinet penuh pertama yang diumumkan pada 21 Mei.

PM Wong ketika itu menyatakan, Setiausaha Agung NTUC secara tradisinya memegang jawatan dalam Kabinet, sambil menyifatkannya sebagai satu hubungan yang dihargai oleh beliau dan NTUC.

"Sungguhpun demikian, ini hanyalah satu aturan sementara, dan saya berharap ketua buruh akan kembali menjadi sebahagian daripada Kabinet tidak lama lagi," kata beliau.

PM Wong tidak memberikan sebarang garis masa, sebaliknya hanya berkata beliau berhubung rapat dengan Encik Ng dan perkara itu akan berlaku "apabila beliau sudah bersedia".

"Namun sudah tentu, hasrat saya ialah supaya Setiausaha Agung NTUC menjadi sebahagian daripada pasukan saya," tambah PM Wong.
Sumber : CNA/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita