NEWSand diuji, guna bahan sisa bina jalan raya
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi tender kepada tiga syarikat untuk menjalankan ujian tapak dalam penggunaan abu kasar (bottom ash) yang dirawat sebagai bahan asas jalan raya atau bahan subtapak.
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi tender kepada tiga syarikat untuk menjalankan ujian tapak dalam penggunaan abu kasar (bottom ash) yang dirawat sebagai bahan asas jalan raya atau bahan subtapak.
Ujian akan dilakukan sepanjang Tanah Merah Coast Road bermula pertengahan 2020.
Berucap di acara makan tengah hari Tahun Menuju Sifar Sisa pada Isnin (25 Nov), Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli berkata Inashco B. V., REMEX Mineral Singapore dan Zerowaste Asia akan mulakan ujian sebagai sebahagian usaha Pemerintah mengurangkan pembaziran.
Syarikat-syarikat tersebut akan mengumpulkan dan merawat sekitar 3,000 tan abu kasar hasil pembakaran sampah dari loji-loji Sampah-ke-Tenaga di Singapura, menurut NEA.
"Menerusi sains dan teknologi, kami menemui cara untuk merubah sisa daripada pembakaran sampah menjadi bahan binaan yang berguna, yang kita panggil NEWSand. Sepert NEWater, NEWSand adalah hasil keinginan kita mengatasi keterbatasan dan menjana sumber berharga daripada bahan buangan," kata Encik Masagos.
Beliau menambah, ini akan membantu Singapura "menutup lingkaran sisa dan melanjutkan hayat (tapak buangan) Semakau".
Ketiga-tiga syarikat akan mengumpulkan dan merawat sekitar 3,000 tan abu kasar dan data dari hasil ujian-ujian di lapangan akan digunakan untuk menyemak piawai sekitaran sedia ada dalam memantau kegunaan NEWSand.
Encik Masagos sebelum ini berkata semasa ucapan Jawatankuasa Peruntukan pada Mac bahawa Pemerintah sedang menguji bagaimana untuk menukar abu hasil pembakaran bahan buangan menjadi bahan binaan.
Pembangunan NEWSand adalah sebahagian usaha mengurangkan dengan sebanyak 30 peratus sehari bahan buangan yang dihantar ke Semakau. Ini seiring dengan Pelan Induk Sifar Sisa Singapura yang pertama. Ini dijangka akan melanjutkan jangka hayat kegunaan tapak Semakau menjangkaui ramalan asal 2035.
Menurut NEA, NEWSand sudah digunakan dua kali - untuk membina laluan pejalan kaki sementara sepanjang 105 meter antara Hab Tampines Kita dengan Masjid Darul Ghufran, dan sebuah bangku konkrit yang dicetak secara 3D oleh pemain industri tempatan, Pan-United Corporation.
Terdapat juga rancangan membina laluan pejalan kaki kedua sepanjang 24 meter di luar bangunan Kementerian Sekitaran pada awal tahun depan.
Menurut CEO NEA Tan Meng Dui: "Menerusi usaha sebegini, kami berharap melanjutkan jangka hayat tapak pembuangan di Semakau menjangkaui 2035 dan menggunakannya seberapa lama yang mungkin. Kejayaan pelaksanaan dan pengunaan NEWSand menandakan satu kemajuan besar di Singapura dalam usahanya menjadi Negara Sifar Sisa."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.