NETS perkenal kad NETS Motoring, bertujuan gantikan CashCard
CashCard yang sudah digunakan selama 26 tahun bagi bayaran tempat letak kereta dan Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP), secara bertahap-tahap akan digantikan sedang NETS memperkenalkan kad nilai simpanan yang baru.
SINGAPURA: CashCard yang sudah digunakan selama 26 tahun bagi bayaran tempat letak kereta dan Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP), secara bertahap-tahap akan digantikan sedang NETS memperkenalkan kad nilai simpanan yang baru.
Diperkenalkan pada Isnin (23 Mac), kad NETS Motoring menepati piawai Aplikasi e-Dompet CEPAS dan "bertujuan memenuhi keperluan para pemandu sekarang dan di masa hadapan", menurut NETS.
Kad NETS Motoring akan "akhirnya menggantikan" CashCard bagi kesemua bayaran tempat letak kereta dan ERP, menurut seorang jurucakap NETS sebagai menjawab pertanyaan.
Selaras itu, CashCard hanya akan tersedia di stesen-stesen minyak dan Pusat Khidmat Pelanggan NETS di Central Plaza di Tiong Bahru Road mulai 5 April.
Sementara itu, kad NETS Motoring yang baru berharga S$10, termasuk nilai simpanan S$5 dalam kad - kini dijual di stesen-stesen petrol, kedai-kedai serbaneka serta Pusat Khidmat Pelanggan NETS.
Kenderaan-kenderaan dengan unit-unit IU generasi pertama - pertama kali dilancarkan pada 1998 bersama pengenalan ERP - sekarang ini hanya boleh menggunakan CashCard.
Kenderaan-kenderaan yang mempunyai unit IU "dua mod" generasi kedua yang diperkenalkan pada 2009, boleh menggunakan pelbagai kaedah bayaran seperti kad kredit, kad EZlink dan kad NETS FlashPay.
Sekitar 14.9 juta CashCard dan kad FlashPay dikeluarkan setakat ini, menurut NETS.
Beberapa pemandu berkata gantri-gantri di tempat letak kereta tertentu - yang belum menggunakan Sistem Tempat Letak Kenderaan Elektronik (EPS) sepenuhnya - hanya dapat mengesan CashCard yang lama. Satu catatan 10 halaman di laman permotoran tempatan MyCarForum menyenaraikan lebih daripada 15 tempat letak kereta di mana gantri-gantrinya tidak dapat mengesan kad tanpa sentuh baru dalam IU.
Kad NETS Motoring akan memberikan "kemudahan sepenuhnya sebagai satu-satunya kad dalam pasaran yang boleh digunakan oleh para pemandu untuk membuat bayaran di kesemua tempat letak kereta di merata Singapura", menurut NETS.
"Serupa dengan CashCard NETS, para pemandu hanya perlu memasukkan kad NETS Motoring ke dalam unit IU dua mod bagi pemotongan bayaran secara automatik bagi caj tempat letak kereta dan ERP di tempat letak kereta yang mempunyai EPS penuh," menurut syarikat penyedia khidmat bayaran elektronik itu di lamannya.
"Bagi semua tempat letak kereta bukan EPS penuh, para pemandu boleh menggunakan kad NETS Motoring untuk membuat bayaran dengan menyentuh kad pada sistem pembaca di pintu keluar."
Kad baru itu boleh digunakan dengan kedua-dua IU generasi kedua - diperkenalkan pada 2009 serta 'on-board unit' (OBU) baru yang akan diperkenalkan pada separuh kedua tahun ini, menurut jurucakap itu.
OBU yang pertama dipasang secara percuma bagi kesemua kenderaan berdaftar Singapura mulai separuh kedua tahun ini, dengan tempoh pemasangan dijangka mengambil masa sepanjang tempoh 18 bulan.
Ini akan digunakan apabila Singapura beralih ke sistem ERP generasi seterusnya berasaskan satelit pada pertengahan 2023.
Sementara para pemandu yang menggunakan sistem IU generasi pertama boleh terus menggunakan CashCard NETS, mereka perlu membeli kad NETS Motoring sebaik sahaja OBU yang baru dipasang pada kenderaan mereka, menurut NETS.
"Di tengah-tengah perkembangan dijangkakan, kad NETS Motoring akan menyediakan huraian bayaran lancar kepada para pemandu bagi memenuhi keperluan berkenaan kenderaan dalam masa terdekat ini," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.