Skip to main content

Singapura

NETS diarah lantik penasihat bebas, kurangkan gangguan khidmat

Penyedia khidmat pembayaran NETS diarahkan untuk melantik penasihat bebas bagi memastikan bagaimana pengawalannya boleh dipertingkat agar gangguan perkhidmatan disebabkan kesilapan manusia seperti yang berlaku pada 2 Februari lalu dapat dikurangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
NETS diarah lantik penasihat bebas, kurangkan gangguan khidmat

Terminal NETS FlashPay dan resit kepada Mediacorp yang menunjukkan urus niaga yang dibatalkan semasa gangguan khidmat pada 2 Feb 2018.

Diterbitkan : 27 Feb 2018 08:53PM Dikemas Kini : 27 Feb 2018 08:54PM

SINGAPURA: Penyedia khidmat pembayaran NETS diarahkan untuk melantik penasihat bebas bagi memastikan bagaimana pengawalannya boleh dipertingkat agar gangguan perkhidmatan disebabkan kesilapan manusia seperti yang berlaku pada 2 Februari lalu dapat dikurangkan, kata Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugam hari ini (27 Feb).

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan parlimen Anggota Parlimen (AP) Tan Wu Meng, Encik Tharman berkata bahawa konsultan itu juga akan menasihati NETS bagaimana untuk mengurangkan kesan-kesan sekiranya berlaku kesilapan. Menurut NETS buat sementara waktu, semua pentadbir sistem diberi akses pada waktu-waktu tidak sibuk dan mengetatkan kawalan akses, tambahnya.

Berhubung insiden 2 Februari, Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Sosial itu turut menjelaskan bagaimana ia berlaku. Siasatan NETS katanya menunjukkan gangguan kuasa itu terjadi kerana seorang pentadbir sistem "tidak sengaja memberi arahan yang secara mendadak menghentikan sebuah modul komunikasi yang diperlukan untuk berhubung dengan bank-bank." Kesilapan tersebut berlaku ketika persiapan bagi aktiviti pertukaran sistem yang sudahpun dijadualkan, katanya.

Menurut peraturan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), sistem pembayaran yang dipilih (DPS) seperti NETS EFTPOS harus memulihkan operasinya dalam tempoh empat jam jika berlaku sebarang gangguan. Encik Tharman menarik perhatian dalam kejadian 2 Feb, ia menepati peraturan itu.

"NETS memberitahu orang ramai tentang gangguan tersebut dengan segera, memberi maklumat-maklumat terkini dan kebanyakan khidmat EFTPOS dipulihkan dalam sekitar satu setengah jam," katanya. "NETS EFTPOS tidak pernah mengalami gangguan sedemikian sejak dipilih sebagai DPS pada 2010."

Pengendali DPS dihadkan tempoh gangguan maksimum tidak melebihi empat jam sepanjang 12 bulan, kata menteri itu.

Beliau selanjutnya berkata MAS akan memantau usaha NETS membetulkan jurang-jurang yang dikenal pasti dan akan memberi arahan penyeliaan kepadanya jika perlu.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita