NETS bakal urus platform e-bayaran di pusat penjaja, kedai kopi
NETS dilantik untuk menyatukan landskap e-bayaran di pusat-pusat penjaja, kedai kopi dan kantin kilang.
SINGAPURA: NETS dilantik untuk menyatukan landskap e-bayaran di pusat-pusat penjaja, kedai kopi dan kantin kilang.
Demikian diumumkan Enterprise Singapore hari ini (12 Sep).
Ini bermakna, NETS akan menyelaraskan akaun-akaun dan pendapatan para penjaja yang menerima bayaran melalui semua sistem bayaran tanpa tunai. Lantaran itu, tidak lagi perlu untuk menyediakan pelbagai terminal atau kod-kod respons pantas (QR).
Bagi para pembeli pula, mereka mempunyai 20 pilihan untuk membuat bayaran tanpa tunai, termasuk EZ-Link, NETS FlashPay, WeChat Pay, Singtel Dash dan GrabPay.
Pelantikan NETS sebagai "pemeroleh induk" menyusuli tender oleh beberapa agensi pemerintah pada April lalu untuk satu huraian e-bayaran yang berdaya maju, mampu beroperasi di pelbagai platform dan menawarkan akses terbuka.
Para peniaga makanan yang layak bagi sistem tersebut adalah mereka yang beroperasi di bawah Lembaga Perumahan dan Pembangunan, Agensi Sekitaran Kebangsaan dan Perbadanan JTC.
Inisiatif itu bakal dibentangkan dalam dua fasa. Menjelang akhir tahun ini, 10 skim bayaran - termasuk Mastercard, Visa dan NETS - akan ditawarkan, manakala baki 10 lagi akan dijalankan menjelang Ogos 2019.

(Gambar: Enterprise Singapore)
SOKONGAN DANA BAGI PARA PENIAGA
Di bawah inisiatif ini, NETS akan menyediakan satu terminal bagi bayaran menggunakan kad serta kod QR, bagi menerima dan memproses urus niaga daripada 20 skim bayaran, kepada para peniaga.
"Pelantikan pemeroleh induk juga bertujuan untuk menghakis perlunya memasang lebih daripada satu terminal dan kod QR, satu cabaran yang sering dihadapi dalam ekosistem e-bayaran," menurut Enterprise Singapore.
"Di samping itu, para peniaga tidak lagi perlu berurusan dengan pelbagai pihak yang menawarkan skim-skim bayaran masing-masing dan menyelaras akaun mereka."
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, para penjaja juga tidak perlu membayar yuran bulanan bagi khidmat e-bayaran kerana Pemerintah akan memperuntukkan sokongan dana sepanjang tempoh tersebut.
Selepas itu, yuran bulanan, atau dikenali sebagai kadar diskaun peniaga, akan ditetapkan pada 0.5 peratus. Kadar ini lebih rendah daripada kadar purata industri iaitu antara 2 hingga 5 peratus, menurut Enterprise Singapore.
Urus niaga bayaran akan disalurkan langsung ke dalam akaun bank para peniaga dalam tempoh 24 jam selepas kedai masing-masing ditutup, bagi urus niaga yang dilakukan selepas jam 11.00 malam, menurut agensi itu.
Ia menambah, urus niaga yang dilakukan melalui American Express, Mastercard dan Visa pula akan diproses dalam tempoh dua hari selepas kedai ditutup.

"Di Singapura, sekitar 40 peratus makan luar berlaku di kedai kopi, pusat penjaja dan kantin-kantin.
"Dengan adanya teknologi yang membentuk sebahagian daripada gaya hidup kita di bandar, Pemerintah ingin mempertingkat pengalaman orang ramai dengan menyediakan para pembeli dengan satu huraian e-bayaran yang disepadukan di mana urus niaga boleh dilakukan dengan mudah, pantas dan selamat," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore Ted Tan.
Agensi itu berharap, lebih 200 kedai kopi, 25 pusat penjaja dan 20 kantin kilang akan mendaftar untuk sistem tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.