Netizen selar tindakan Anytime Fitness Bugis kenakan yuran 'tailgating' S$60; gim minta maaf atas 'kesilapan'

Gambar: alaness/TikTok, af_bugis/Instagram
Berdasarkan tangkapan gambar perbualannya dengan Anytime Fitness Bugis, pengguna TikTok "alaness" berkata dia akan dikenakan denda S$60 jika tidak dapat mengenal pasti individu yang memasuki gim selepasnya.
Anytime Fitness Bugis memberitahu lelaki tersebut bahawa rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang "individu yang tidak dikenali" memasuki gim berkenaan tanpa menggunakan kunci 'key fob' pada Isnin. Dakwanya, ini setelah lelaki berkenaan gagal menutup pintu.
Gim tersebut memberitahunya bahawa "satu-satunya tanggungjawabnya" adalah untuk memastikan pintu ditutup" setelah masuk. Tambahnya jika dia gagal untuk membayar denda tersebut, dia akan dilarang memasuki cawangan di Bugis itu dan cawangan-cawangan lain.
Lelaki itu kemudian mendakwa bahawa dia tidak sedar ada seseorang yang mengekorinya dengan dekat, sementara Anytime Fitness Bugis menegaskan bahawa dia sudah melanggar terma dan syarat yang dipersetujui.
Dalam video berkenaan, lelaki tersebut berkata dia akhirnya membayar denda tersebut.Menurutnya dia tidak akan melanjutkan keahliannya dalam cawangan berkenaan selepas kontrak tersebut tamat.
Video tersebut tular dan menarik lebih 638,300 tontonan, 25,000 tanda suka, 4,785 perkongsian dan 1,495 komen setakat tengah hari Khamis.
Insiden berkenaan mendapat perhatian beberapa media dan dimuat naik di sebuah forum online Reddit, di mana pengguna membahaskan keputusan gim tersebut untuk mendenda "alaness".
Pada Rabu, Anytime Fitness Bugis mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas insiden terbabit.
Gim tersebut menyatakan bahawa penilaian awal terhadap insiden itu adalah "salah" dan tindakan yang diambil oleh kakitangannya adalah satu "kesilapan".
"Ahli-ahli yang mempunyai reputasi yang baik tidak patut dikenakan hukuman disebabkan kesilapan dalam sistem keselamatan kami," menurut kenyataan tersebut.
Ia juga memberi jaminan bahawa Anytime Fitness Bugis akan "memastikan langkah untuk membetulkan tindakan salah itu diambil".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.