Skip to main content

Singapura

Netizen persoal kursus pembersihan tandas SkillsFuture; agensi kata latihan diperlukan bagi pekerja industri

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu kursus pembersihan tandas bernilai S$580 yang disenaraikan di portal pembelajaran SkillsFuture menerima kritikan online minggu ini.

Sekalipun demikian, SkillsFuture Singapore (SSG) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan bahawa kursus itu sebahagian daripada latihan yang diperlukan bagi pekerja dalam industri pembersihan.

Agensi pemerintah itu menambah bahawa pekerja industri pembersihan harus membersihkan beberapa tandas sepanjang hari, jadi ia penting supaya mereka bekerja dengan lebih cekap dan berkesan.

"Dengan latihan amali, peserta akan belajar cara pembersihan yang berkesan, penggunaan alat pembersihan yang betul, dan mematuhi protokol keselamatan," menurut kedua-dua agensi dalam kenyataan bersama pada Khamis (22 Feb) dalam respons kepada soalan Mediacorp.

Kursus "Latihan Asas Pembersihan Tandas" diperlukan bagi syarikat pembersihan berlesen sejak 31 Disember 2022. Ia juga merupakan salah satu modul disediakan untuk pekerjaan di bawah Model Gaji Progresif bagi pekerja pembersihan, di mana mereka boleh meraih gaji lebih tinggi sedang mereka menjalani lebih banyak latihan sedemikian.

Tangkapan skrin kursus yang disenaraikan itu dimuat naik pada Isnin (19 Feb) ke forum online Hardwarezone, dengan kapsyen "Netizen Brekke Lo bertanya: 'Ada sesiapa yang berminat untuk membayar $290 (selepas pembiayaan SkillsFuture) untuk belajar cara membersihkan tandas?'".

Kursus yang tertera dalam tangkapan skrin itu mengenakan bayaran penuh sebanyak S$580. Ini selepas pembiayaan separa di bawah SkillsFuture, yang berharga S$290.

Ramai netizen mempersendakan yuran kursus tersebut, yang menurut mereka pembantu rumah mereka di rumah boleh menjalakan kursus itu dengan separuh harga, atau kemahiran sedemikian boleh diraih secara percuma semasa Perkhidmatan Negara (NS).

Walau bagaimanapun, SSG dan NEA menyatakan: "Jika kursus itu diselesaikan, ia meningkatkan kecekapan peserta dalam kaedah pembersihan asas, yang menyumbang kepada pembangunan profesional mereka secara ketara dalam industri pembersihan."

Perniagaan pembersihan berlesen harus memastikan kesemua pekerja pembersihan mereka memenuhi syarat latihan yang dipertingkatkan itu, yang mana kursus tersebut adalah sebahagian daripadanya.

Jika tidak, mereka berdepan denda.

Lesen syarikat sedemikian juga boleh digantung atau ditolak jika mereka tidak memenuhi syarat itu.

SSG dan NEA menyatakan lebih 500 pendaftaran bagi kursus tersebut dicatat tahun lalu oleh sejumlah penyedia latihan. Ia menambah bahawa mereka yang ingin mendaftar boleh mendapatkan subsidi, elaun latihan dan manfaat lain.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita