Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Negara-negara Asia Pasifik perlu bekerjasama untuk tangani perubahan iklim: Teo Chee Hean, Masagos

Negara-negara Asia Pasifik perlu bekerjasama menangani isu-isu berhubung persekitaran dalam usaha mewujudkan masa depan yang mampan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jan 2019 02:47PM Dikemas Kini : 25 Jan 2019 11:57PM

SINGAPURA: Negara-negara Asia Pasifik perlu bekerjasama menangani isu-isu berhubung persekitaran dalam usaha mewujudkan masa depan yang mampan.

Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli membuat gesaan tersebut pada Jumaat (25 Jan).

Mereka menukil jumlah penduduk global yang semakin meningkat serta permintaan bagi sumber sebagai sebab utama negara-negara harus mengambil langkah untuk menangani perubahan iklim. Kedua-dua menteri itu berucap di Forum Ketiga Para Menteri dan Pihak Berkuasa Sekitaran Asia Pasifik.

"Kami ingin meningkatkan mutu hidup penduduk global yang semakin meningkat, dengan menyediakan setiap orang dengan makanan berkhasiat, jagaan kesihatan lebih baik, perumahan, pendidikan dan perlindungan daripada sekitaran yang tidak menentu," menurut Encik Teo. "Tetapi jumlah penduduk yang lebih besar juga akan menggunakan lebih banyak tenaga, mengeluarkan gas hijau, dan menjana lebih banyak sampah dan pencemaran - jika kita teruskan kehidupan seperti biasa."

Jumlah penduduk global sudah meningkat dari 6.1 bilion pada 2000 kepada 7.6 bilion pada 2018. Jumlah tersebut dijangka terus meningkat dan diramalkan mencecah 9.8 bilion menjelang 2050, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Perubahan iklim akan mengancam kemajuan yang sudah dibuat... jika kita meneruskan kehidupan seperti biasa, masyarakat kita akan mengalami padahnya apabila perubahan iklim semakin dahsyat," menurut Encik Masagos, merujuk kepada satu laporan baru-baru ini oleh Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC). Panel itu memberi amaran bahawa paras suhu global boleh mencecah 1.5 darjah Selsius melebihi paras sebelum revolusi industri seawal 2030.

IPCC merupakan badan utama di peringkat antarabangsa bagi para pengkaji perubahan iklim yang dikendalikan PBB.

Dalam satu laporannya pada Oktober tahun lalu, para pakar berkata satu usaha global besar-besaran diperlukan untuk memastikan suhu cuaca tinggi kekal dalam lingkungan 1.5 darjah Selsius. Menurutnya jika paras itu tidak dicapai, dunia akan berdepan dengan akibat negatif terhadap ekonomi dan ekosistem. Ini bermakna cuaca melampau yang lebih berbahaya, hasil tanaman yang berkurangan dan paras laut lebih tinggi.

Encik Teo menarik perhatian kepada teknologi sebagai "alat berguna" bagi negara serantau untuk mencapai masa depan lebih baik dan mampan. Salah satu contoh adalah penggunaan grid kecil dan sistem solar peribadi di rumah seperti di India, yang membantu menjana kuasa elektrik di semua kampungnya pada 2018.

Encik Masagos pula menggesa negara-negara di rantau ini untuk menumpukan perhatian kepada R&D dan inovasi, serta menggunakan pendekatan ekonomi yang menyeluruh.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan