Negara kecil tidak perlu jadi ‘pemerhati pasif’ dalam arus pembangunan global: PM Wong
Negara kecil seperti Singapura dan New Zealand boleh mengambil tindakan konkrit untuk membentuk arah pembangunan global dan tidak perlu menjadi “pemerhati pasif”, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Perdana Menteri Lawrence Wong bertemu rakan sejawatannya dari New Zealand, Christopher Luxon, di Auckland, New Zealand. (Gambar: Facebook/Lawrence Wong)
Beliau berkata demikian bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, selepas menandatangani Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) antara kedua-dua negara di Auckland, New Zealand pada Jumaat (10 Okt).
“Tiada sesiapa yang benar-benar pasti bagaimana keadaan akan berubah pada masa hadapan, tetapi perubahan itu nyata, dan jika trend ini berterusan, kita akan berada dalam persekitaran yang amat mencabar bagi ekonomi-ekonomi kecil,” kata PM Wong.
“Namun, hakikatnya, kita bukan tidak berupaya untuk bertindak. Kita tidak perlu menjadi pemerhati yang pasif,” tambah beliau.
Kata PM Wong, Singapura dan New Zealand bimbang terhadap bagaimana aturan dunia sedang berubah menjadi satu sistem yang “lebih berpaksikan kuasa, dan itu tidak akan membawa manfaat kepada negara-negara kecil”.
“Kami bimbang apabila melihat kebergantungan ekonomi semakin dipersenjatakan dan digunakan sebagai kuasa tawar-menawar dalam rundingan antarabangsa,” kata beliau lagi.
"Kita sedang beralih daripada sistem yang telah memanfaatkan kami berdua selama berdekad-dekad; sistem peraturan pelbagai hala."
NEGARA KECIL BOLEH JADI PERINTIS
Singapura dan New Zealand merupakan dua ekonomi kecil dan terbuka yang sedang berusaha untuk menetapkan piawaian yang lebih tinggi dan inovatif bagi diri mereka sendiri, kata PM Wong.
“Biasanya, piawaian ini akan diterima pakai oleh pihak lain; sama ada ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) atau kumpulan lain,” kata beliau.
PM Wong berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mengenai bagaimana CSP antara Singapura dengan New Zealand boleh menjadi landasan kepada kerjasama CSP antara ASEAN dengan New Zealand.
Beliau memberi beberapa contoh perjanjian dua hala atau pelbagai hala yang ditandatangani Singapura dengan negara lain, seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), iaitu perjanjian perdagangan bebas antara 12 ekonomi, serta Perjanjian Ekonomi Digital (DEA) yang membina kepercayaan dan keserasian antara sistem digital negara-negara.
Bulan lalu, Singapura mengumumkan penyertaannya dalam Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT-P) bersama 13 negara lain bagi menyokong perdagangan yang terbuka dan adil.
“Semua ini menetapkan piawaian baharu untuk diri kita dan untuk dunia, dan kita berharap piawaian ini akan diterima oleh ASEAN kelak dan mungkin juga kumpulan-kumpulan lain,” kata beliau.
PM Wong menambah bahawa CSP yang baru dimeterai antara Singapura dengan New Zealand akan membolehkan lebih banyak interaksi antara New Zealand dengan ASEAN.
“Inisiatif yang kita jalankan bersama juga berguna sebagai perintis kepada ASEAN serta kumpulan di luar ASEAN,” tambahnya.
PM Luxon bersetuju dengan PM Wong sambil berkata kelebihan menjadi pemimpin negara kecil ialah keupayaan untuk bertindak pantas dan berinovasi.
“Negara kecil boleh bergerak dengan pantas dan tangkas, menjadi perintis dan berinovasi, serta mempunyai pandangan positif tentang arah masa depan dunia, dan kita boleh menunjukkan contoh kepada pihak lain dan menggalakkan mereka untuk turut serta bersama kita,” kata beliau.
Ekonomi kecil boleh mencari jalan untuk mengekalkan rangka kerja pelbagai hala yang penting, termasuk melalui usaha dua hala, kata PM Wong.
Selain ASEAN dan CPTPP, kumpulan serantau seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), iaitu forum ekonomi serantau yang menggalakkan perdagangan dan pelaburan bebas, juga merupakan cara untuk memperkukuh kerjasama dengan kumpulan lain seperti Kesatuan Eropah (EU).
“Ini adalah langkah konkrit yang boleh diambil oleh ekonomi kecil seperti New Zealand dan Singapura untuk membentuk arah pembangunan global,” kata beliau.
“Terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan oleh negara besar yang berada di luar kawalan kita. Tetapi ada juga perkara yang boleh kita lakukan untuk mempengaruhi keadaan.”
PM Luxon berkata dalam dunia yang “semakin beralih" daripada peraturan kepada kuasa, negara kecil masih mempunyai keupayaan untuk bertindak.
“Dengan bekerjasama seperti yang kita lakukan, kita boleh terus menjadi contoh bagi piawaian yang ingin kita kekalkan di dunia,” kata beliau.
PM Luxon turut menzahirkan penghargaan terhadap kepercayaan jangka panjang antara kedua-dua negara.
“Ini adalah hubungan yang lancar dan tanpa sebarang halangan ... Ia satu hubungan yang kami sangat hargai, dan para menteri di kedua-dua pihak telah melakukan tugas yang cemerlang dalam membina hubungan antara satu sama lain serta mencari huraian bagi cabaran-cabaran yang dihadapi bersama,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.