Negara harus kerjasama dengan syarikat teknologi besar, kata Teo Chee Hean

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Dengan teknologi bertambah penting dan sangat diperlukan untuk masyarakat berfungsi, negara-negara harus bekerjasama dengan syarikat teknologi yang besar, dan bukan menentangnya.
Ini adalah untuk mempertingkatkan kehidupan orang ramai, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean pada Selasa (31 Mei).
Semasa berucap di Sidang Puncak Asia Tech x Singapore (ATxSG), Encik Teo berkata ketua-ketua teknologi global dan penggubal dasar perlu mencari keseimbangan antara akses lancar dengan keperluan bagi keselamatan dan privasi yang lebih kukuh, serta mempertimbangkan sama ada dunia digital akan menjadi lebih bersepadu atau semakin berpecah.
"Selepas beberapa tempoh, kesan rangkaian itu, bertambah kukuh terutama sekali dengan kuasa segera dan jumlah pengguna yang boleh dicapai Internet, bermakna syarikat-syarikat teknologi yang besar, yang paling inovatif dan pandai berniaga, mempunyai pengaruh yang sangat besar," katanya.
"Gergasi-gergasi digital kini membentuk tunjang prasarana dunia teknologi yang sentiasa berkembang, berfungsi sebagai titik tumpuan bagi setiap interaksi.
"Jika kita menolak untuk berkongsi data kita atau menerima kuki (cookies), apakah alternatif yang kita ada secara realistik, atau adakah kita akan terpinggir daripada ruang digital?”
Huraiannya, kata beliau, adalah untuk bekerjasama dengan syarikat teknologi besar dan bukan menentangnya.
"Platform-platform ini adalah untuk kebaikan dan peningkatan kehidupan kita, menghubungkan manusia yang kurang menerima khidmat dan kemudahan di seluruh dunia. Ia juga memacu pelaburan ke arah huraian-huraian dan aplikasi yang lebih inovatif."
MUAFAKAT GLOBAL BAGI PERATURAN DAN NORMA
Untuk memudahkan interaksi online yang lebih stabil, selamat dan konsisten antara masyarakat, Encik Teo juga menyeru negara-negara supaya berusaha ke arah kemuafakatan global dari segi peraturan, norma dan piawaian.
"Para pengguna dan perniagaan akan meraih manfaat daripada pengurangan kos pematuhan, akses pasaran yang lebih mudah, dan khidmat yang lebih baik," katanya.
Beliau merujuk kepada bagaimana negara-negara sudah mula melakar peraturan mereka sendiri atau berkumpul dalam kumpulan-kumpulan yang berbeza.
"Syarikat-syarikat akan berdepan landskap yang berpecah-belah antara pasaran yang berbeza-beza, dan para pengguna akan berdepan halangan atau kesulitan untuk membayar harga yang lebih tinggi sedang mereka mencari khidmat global bersepadu."
"Inisiatif kawal selia sedemikian boleh memecah belahkan dunia digital," katanya.
"Selain daripada kurang kemuafakatan tentang cara merangka peraturan di peringkat global, kurang kepercayaan dalam kalangan pihak berkepentingan juga memburukkan lagi keadaan."
Walaupun negara-negara besar tidak dapat mencapai kata sepakat, Encik Teo berkata negara-negara kecil mempunyai keupayaan untuk bertindak.
Sebagai contoh, beliau berkata negara yang berfikiran sama boleh bekerjasama dalam perjanjian ekonomi digital yang menyelaraskan peraturan dan piawaian digital.
"Ini akan memudahkan lebih banyak silang operasi dengan protokol, penghubung rangkaian (gateways) dan jambatan antara sistem digital bagi perdagangan digital rentas sempadan dan aliran data," kata Encik Teo, sambil menambah bahawa Singapura sudah memeterai empat perjanjian sedemikian dengan lima negara termasuk Australia dan Korea Selatan.
"Sepertimana kita mempunyai kod keselamatan bangunan atau peraturan trafik, kita perlu merangka cara baru untuk mengekalkan keselamatan dan daya tahan sistem kita," katanya.
"Ini akan menggalak para pengguna dan perniagaan untuk lebih terbuka dan bersedia menerima manfaat gelombang inovasi teknologi baru, dengan rasa yakin dan percaya bahawa mereka akan lebih selamat, dan privasi mereka akan dihormati dan dilindungi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.