Skip to main content

Singapura

Negara anjur mesyuarat global peringkat tinggi tidak dijangka sediakan talian komunikasi selamat di luar acara

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keselamatan siber mesyuarat maya tentera asing yang diadakan di luar skop acara luar negara yang mereka hadiri lazimnya tidak dilindungi oleh negara tuan rumah, menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How pada Selasa (2 Apr).

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengambil pendekatan proaktif terhadap keselamatan siber jika ia melibatkan acara-acara berprofil tinggi, seperti yang melibatkan orang kenamaan asing peringkat tinggi, dan bekerja rapat dengan penganjur acara yang bertanggungjawab ke atas keselamatan siber keseluruhan secara keseluruhannya, menurut Encik Heng di Parlimen.

MINDEF dan SAF, bagaimanapun, tidak melindungi keselamatan siber mesyuarat maya sepihak tentera asing, yang berada di luar skop acara sedemikian, kata Encik Heng.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) mengenai langkah-langkah bagi menjaga keselamatan komunikasi online di Singapura, menyusuli insiden baru-baru ini di mana panggilan persidangan melibatkan tentera asing yang diadakan di sebuah hotel tempatan telah dipintas.

Satu rakaman panggilan telefon melibatkan tentera Jerman telah dibocorkan pada Mac, selepas salah seorang peserta, yang menghadiri Pertunjukan Udara Singapura 2024, menyertai panggilan persidangan itu menggunakan "talian yang tidak diluluskan".

MENANGANI KELEMAHAN

Usaha proaktif menjelang acara tersebut termasuk mengenal pasti jejak digital dan kawasan berisiko keselamatan siber, mengimbas laman web pembekal dan menyemak sistem dan aplikasi yang digunakan untuk acara itu, dan melakar proses melaporkan insiden keselamatan siber, jelas Encik Heng.

Penganjur acara dikehendaki menyelesaikan sebarang kelemahan yang ditemui melalui pemeriksaan-pemeriksaan itu sebelum acara bermula, tambahnya.

Sambil menekankan bahawa jawapannya itu tertakluk kepada semua insiden sedemikian dan tidak merujuk kepada mana-mana insiden tertentu, Encik Heng menekankan perbezaan antara jenis talian komunikasi yang digunakan.

Beliau berkata bahawa langkah selamat dilaksanakan untuk "persidangan dan mesyuarat yang dianjurkan oleh Singapura yang bersifat sensitif - mesyuarat pemerintah, mesyuarat tentera - di mana komunikasinya sensitif", dan ia berbeza daripada platform terbuka yang digunakan oleh orang awam.

“Peserta acara dan persidangan antarabangsa, termasuk yang dihadiri oleh anggota tentera dan pemimpin dan pegawai pemerintah tidak, sebagai peraturan, mengharapkan negara tuan rumah menyediakan alat komunikasi yang selamat,” kata Encik Heng.

"Sekalipun negara tuan rumah menawarkan kaedah sedemikian, ia akan menimbulkan tanda tanya mengapa peserta asing berasa selesa menggunakannya."

Beliau berkata bahawa tetamu asing yang perlu menghantar maklumat sensitif biasanya akan mengatur cara selamat mereka sendiri, seperti perkakasan atau perisian penyulitan, talian selamat atau melalui talian kedutaan, dan langkah-langkah keselamatan lain.

“Ini menjadi amalan pegawai MINDEF dan SAF apabila menghadiri mesyuarat di luar negara,” tambah Encik Heng.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita