NEA, Yayasan Temasek lengkapkan pelajar dengan cecair penghalau nyamuk
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Yayasan Temasek akan mengagihkan cecair penghalau nyamuk kepada semua murid prasekolah, sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah mulai hari ini (28 Jul) di tengah-tengah kenaikan jumlah kes denggi serta kemuncak musim virus tersebut.
Hampir 22,000 kes denggi dilaporkan pada 2022 sejauh ini, berbanding 5,258 kes yang dilaporkan tahun lalu, menurut NEA dan Temasek Foundation dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (28 Jul).
Setiausaha Parlimen Kanan Kemampanan dan Sekitaran Encik Baey Yam Keng menggesa pelajar, ibu bapa dan penjaga untuk "mengambil tindakan bersama dalam perang terhadap denggi" sedang beliau menandakan permulaan agihan botol 30 mililiter cecair penghalau nyamuk kepada sekitar 80,000 pelajar serata Singapura.
Risalah pendidikan turut akan disediakan pada Ogos untuk para pelajar.
Penerima bantuan ComCare juga boleh mengambil cecair tersebut daripada pejabat khidmat sosial berdekatan mereka.
Sekolah sudahpun mengajar para pelajar cara untuk mengelak pembiakan nyamuk. Bagi institusi-institusi yang terletak di daerah kelompok denggi, ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan anak-anak mereka sudah menggunakan cecair penghalau nyamuk itu sebelum ke sekolah, menurut NEA dan Temasek Foundation.
"Memandangkan jumlah jangkitan denggi semakin naik, kita tidak boleh berpeluk tubuh. Ayuh kita patahkan kitaran penularan ini," kata Ketua Rangkaian dan Perkongsian Masyarakat Temasek Foundation Woon Saet Nyoon.
"Kita boleh bersiap sedia dengan menggalakkan satu sama lain untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan cecair penghalau nyamuk apabila di luar rumah dan memastikan rumah-rumah kita bukan tempat pembiakan nyamuk Aedes."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.