NEA, SCDF siasat kebakaran di gudang Kranji; keempat dalam 7 tahun
Pihak berkuasa sedang menyiasat kebakaran di sebuah gudang di Kranji - yang keempat dalam tempoh tujuh tahun menyusuli kejadian terbaharu pada Rabu (19 Feb).
Pegawai bomba SCDF padam kebakaran di gudang di Kranji Crescent pada 19 Feb 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan menyiasat insiden itu, menurut NEA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp pada Khamis (20 Feb).
Pasukan bomba bergelut selama beberapa jam pada Rabu (19 Feb) untuk memadamkan kebakaran di 11 Kranji Crescent, mengerahkan peralatan tanpa pemandu untuk mengemudi struktur yang tidak stabil itu.
Gudang itu dihuni oleh firma kitar semula dan pengurusan sisa Wah & Hua.
NEA pada Khamis (20 Feb) memberitahu Mediacorp bahawa "sama ada tindakan akan diambil atau tidak akan bergantung kepada hasil siasatan".
NEA menambah bahawa ia akan bekerjasama dengan agensi-agensi relevan untuk mengemas kini garis panduannya mengenai pengurusan yang selamat bagi bahan buangan jika terdapat penemuan baharu daripada insiden tersebut.
Nasihat awal - yang diusahakan oleh NEA, SCDF dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) - diterbitkan pada 2022.
Mediacorp sudah menghubungi Wah & Hua untuk mendapatkan ulasan.
Insiden pada Rabu (19 Feb) menyaksikan seorang individu dibawa ke hospital kerana terhidu asap dan mengalami kelecuran.
Kebakaran berjaya dikawal beberapa jam selepas respons awal daripada SCDF, dengan peralatan tanpa pemandu dikerahkan ke tempat kejadian kerana struktur premis itu dinilai tidak stabil.
Dalam kemas kini pada pukul 7.00 malam pada hari yang sama, SCDF menyatakan bahawa kebakaran itu "sebahagian besarnya dipadamkan" dengan beberapa bahagian masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.
"Pada kemuncak operasi, enam jet air, empat mesin pemadam kebakaran tanpa pemandu dan Tangga Platform Gabungan dikerahkan untuk memadamkan kebakaran," menurut SCDF dalam catatan Facebooknya.
SCDF sebelum ini menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan itu, dengan menyatakan bahawa pengguna aplikasi SGSecure, pelanggan M1, StarHub dan Singtel di sekitar kawasan kebakaran akan menerima amaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.