NEA, SCDF pertingkat pemeriksaan kilang, estet perindustrian susuli aduan bau kimia terbakar di barat SG
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) meningkatkan pemeriksaan ke atas premis kilang dan estet perindustrian berikutan aduan mengenai bau benda terbakar yang kuat di bahagian barat Singapura.
Seorang penduduk Clementi mengesyaki bau terbakar itu mungkin dari Pulau Jurong yang terletak berdekatan. (Gambar: Akira Heng)
NEA menyatakan pada petang Rabu (6 Ogos) bahawa ia meningkatkan pemantauan ke atas syarikat-syarikat perindustrian di Jurong, Pulau Jurong, Bukom dan Tuas, selepas penduduk yang tinggal di kawasan Jurong, Boon Lay, Clementi dan Teban Gardens, serta Queenstown, Ghim Moh dan Buona Vista melaporkan bau kimia terbakar.
Sejak menerima maklum balas orang ramai pada Sabtu lalu, sampel udara telah diambil di lokasi-lokasi terjejas dan premis industri berhampiran. Pemantauan masa nyata terhadap mutu udara juga dijalankan secara berterusan, menurut NEA dan SCDF dalam jawapan bersama kepada pertanyaan Mediacorp.
“Setakat ini, mutu udara berada dalam julat normal, dan tiada bahan berbahaya dikesan di udara.
"Kami juga tidak menerima sebarang aduan mengenai insiden kilang yang boleh menyebabkan bau sedemikian dan tiada kecederaan dilaporkan," menurut NEA dan SCDF.
Kedua-dua pihak juga menarik perhatian bahawa arah angin utama dalam tempoh ini adalah dari barat daya ke tenggara, dan NEA telah memaklumkan syarikat-syarikat perindustrian di kawasan-kawasan yang terjejas supaya terus berwaspada dan memeriksa kebocoran dan insiden yang tidak dapat dikesan yang boleh menyebabkan bau kimia terbakar itu.
NEA dan SCDF akan terus bekerjasama untuk memantau keadaan dan menyiasat punca bau itu, tambah kedua-dua pihak.
"BAU KUAT DAN BERTERUSAN"
Para penduduk yang tinggal di barat Singapura menggunakan media sosial untuk menyuarakan kekecewaan mereka terhadap bau busuk itu.
Seorang penduduk Tengah menulis dalam komen Facebook pada Selasa bahawa dia mengesan bau terbakar pada malam sebelumnya. "Sekarang baunya agak kuat. Saya rasa macam nak muntah," katanya.
Encik Akira Heng, yang tinggal di Clementi, mula-mula menyedari bau aneh yang menyerupai plastik terbakar sekitar pukul 5.00 petang Isnin.
Hampir 12 jam kemudian, dia masih dapat menghidunya dari bilik tidurnya walaupun setelah tingkap ditutup, kata lelaki berusia 40 tahun itu kepada Mediacorp.
Dia juga dapat menghidunya semasa menggunakan lif, yang disifatkannya sebagai "terutamanya tidak menyenangkan". Dia menyamakannya seperti terperangkap "di dalam ruang kimia" apabila pintu lif ditutup.
Encik Heng, yang bekerja dalam bidang reka bentuk kreatif, berkata terdapat bau terbakar yang serupa pada masa lalu. Tetapi ia tidak begitu kuat atau ketara dan biasanya bertahan selama kira-kira sejam sebelum pudar.
Dia tidak mengalami sebarang kesukaran bernafas dan tidak juga berasa mual. "Tetapi saya tidak biasa dengan bau yang kuat dan menjengkelkan ini," katanya.
Memandangkan rumahnya mempunyai pemandangan tanpa had menghadap Taman West Coast, dia mengesyaki bau terbakar mungkin berasal dari Pulau Jurong yang terletak berhampiran.
Encik Eadmond Lim, yang tinggal berhampiran Universiti Nasional Singapura (NUS), juga telah dibelenggu oleh bau gas yang kuat sejak empat hingga lima hari lalu, apabila Mediacorp bercakap dengannya pada Selasa.
Encik Lim, yang bekerja sendiri dan bekerja dalam industri makanan, menegaskan bahawa bau itu lebih kuat pada waktu bekerja dari pukul 7.00 pagi hingga 5.00 petang. Dia juga membuat spekulasi bahawa bau itu mungkin dari kawasan perindustrian berhampiran.
Tambah lelaki berusia 46 tahun itu, dia kadangkala mengesan bau asap ekzos dari pelabuhan Pasir Panjang, namun bau kali ini berbeza.
"Baunya sangat kuat seperti asap gas," tambahnya. "Ia menyebabkan kami sakit kepala apabila (ia) terlalu kuat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.