NEA sangkal dakwaan salah guna dana, rasuah berkaitan bayaran balik Skim Pulangkan Bekas Minuman
Seorang pengguna memulangkan botol minuman kosong di mesin Return Right, di bawah Skim Pulangkan Bekas Minuman. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
- Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menolak tuduhan penyelewengan atau rasuah dalam pembayaran balik deposit Skim Pulangkan Bekas Minuman (BCRS) di Singapura.
- Penjelasan dikeluarkan selepas kekeliruan timbul daripada tafsiran salah statistik yang dibentangkan oleh Dr Janil Puthucheary di Parlimen pada 5 Ogos.
- NEA menerangkan bahawa lebih sejuta urus niaga melibatkan 5.5 juta bekas minuman, dengan setiap urus niaga boleh melibatkan beberapa bekas sekaligus.
- Pengguna menerima bayaran balik S$0.10 bagi setiap bekas layak melalui mesin automatik, dan semua bekas minuman akan diwajibkan mempunyai tanda deposit mulai 1 Oktober.
Dalam penjelasan yang diterbitkan pada Sabtu (15 Ogos) menyusuli komen online mengenai jumlah bekas minuman yang dipulangkan dan nilai deposit yang dibayar balik, NEA menyatakan adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan bahawa deposit hanya dipulangkan bagi satu juta daripada 5.5 juta bekas minuman yang dikembalikan.
Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Dr Janil Puthucheary, memaklumkan Parlimen pada 5 Ogos bahawa skim tersebut telah mencatat lebih sejuta urus niaga yang berjaya diperoses, dengan 5.5 juta bekas minuman dipulangkan.
Beberapa komen online dipercayai mentafsirkan kedua-dua angka itu sebagai bermaksud bahawa walaupun 5.5 juta bekas minuman dipulangkan, bayaran balik deposit hanya dibuat bagi satu juta bekas minuman.
NEA menegaskan tafsiran itu tidak tepat kerana satu urus niaga di mesin Return Right boleh melibatkan beberapa bekas minuman sekali gus.
Menurut agensi itu, para pengguna telah menggunakan mesin tersebut lebih sejuta kali untuk memulangkan sebanyak 5.5 juta bekas minuman, yang bermakna setiap urus niaga melibatkan purata sekitar 5.5 bekas minuman.
Memandangkan setiap bekas dikenakan deposit sebanyak S$0.10, sekitar S$550,000 telah dipulangkan kepada para pengguna.
“Adalah tidak tepat untuk mentafsirkan kenyataan (Dr Janil Puthucheary) sebagai menyatakan bahawa 5.5 juta bekas minuman telah dipulangkan tetapi deposit bagi hanya satu juta bekas telah dibayar balik,” kata NEA dalam satu catatan di Facebook.
“Oleh itu, sebarang tuduhan mengenai penyelewengan atau rasuah tidak berasas sama sekali.”
Di bawah skim tersebut, para pengguna boleh memulangkan bekas minuman yang layak di mesin jual balik automatik untuk menerima bayaran balik sebanyak S$0.10 bagi setiap bekas.
Bekas yang layak termasuk bekas minuman prabungkus yang diperbuat daripada plastik atau logam, berkapasiti antara 150 mililiter hingga 3,000 mililiter serta mempunyai tanda deposit BCRS.
Bekas minuman tanpa tanda deposit itu masih boleh dijual di pasaran sepanjang tempoh peralihan sehingga 30 September, bagi memberi masa kepada para pengeluar untuk menghabiskan bekalan sedia ada.
Mulai 1 Oktober, semua bekas minuman yang dikawal selia dan dijual di Singapura diwajibkan mempunyai tanda deposit tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.