NEA: Rantau ini diramal hujan dalam masa beberapa hari akan datang; jerebu dijangka reda
Setelah mutu udara Singapura bertambah buruk pada Ahad (22 Sep) selepas langit kelihatan cerah sejak beberapa hari kebelakangan ini, keadaan jerebu mungkin reda minggu ini dengan hujan diramalkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Sesetengah orang dilihat memakai pelitup ketika berjalan-jalan di Orchard Road pada 22 Sep 2019.
SINGAPURA: Setelah mutu udara Singapura bertambah buruk pada Ahad (22 Sep) selepas langit kelihatan cerah sejak beberapa hari kebelakangan ini, keadaan jerebu mungkin reda minggu ini dengan hujan diramalkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan dalam makluman medianya pada Ahad (22 Sep) bahawa cuaca Singapura mungkin berjerebu sedikit pada Isnin dengan hujan lebat beserta guruh boleh dijangkakan pada sebelah tengah hari.
Sejumlah 246 tompok panas dikesan di Sumatera pada Ahad dengan lagi 474 tompok panas dikesan di Kalimantan. Tiupan angin diramal bertukar arah pada Isnin dan ini dijangka akan membawa hujan ke rantau ini.
NEA menyatakan: "Buat beberapa hari seterusnya, lebih banyak hujan boleh dijangkakan di rantau ini termasuk Sumatera serta Kalimantan dan angin semasa diramal bertiupan dari timur laut ke tenggara".

Keadaan berjerebu di Pantai East Coast pada 22 Sep 2019.
Agensi tersebut menambah hujan mungkin membantu meredakan tompok panas dan keadaan berjerebu di Sumatera serta Kalimantan meskipun kegiatan tompok panas di beberapa bahagian kedua-dua wilayah Indonesia itu dijangka berterusan.
NEA menambah ia sedang memantau keadaan itu dengan teliti dan akan menyediakan kemas kini lanjutan jika perlu.
Bagi tempoh 24 jam akan datang, bacaan PM2.5 1-jam di Singapura dijangka pada paras II (Tinggi) dan mungkin kembali ke paras I (Normal) esok.
PM2.5 mengukur zarah kecil dengan diameternya kurang 2.5 mikrometer di udara. Apabila bacaan PM2.5 berada di julat tinggi, zarah jerebu boleh menjejas jantung dan paru-paru, terutama bagi mereka yang mengalami masalah jantung atau paru-paru kronik.
Menurut NEA, bacaan PM2.5 1-jam adalah 'penunjuk baik bagi mutu udara buat masa ini' dan boleh digunakan bagi menentukan sama ada ia sesuai untuk melakukan kegiatan luar rumah seperti berlari-lari anak.
Setakat sehingga 7.00 malam, bacaan PSI adalah seperti berikut:
110 di utara
117 di timur
122 di selatan
109 di barat
110 di bahagian tengah
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.