Skip to main content

Singapura

NEA perketat tindakan penguatkuasaan bagi kurangi risiko masalah tikus

Anggaran Waktu Membaca:
  NEA perketat tindakan penguatkuasaan bagi kurangi risiko masalah tikus

(Gambar fail: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 14 Feb 2025 05:06PM Dikemas Kini : 14 Feb 2025 05:08PM
  • Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap kelemahan-kelemahan berkait isu menangani masalah tikus mulai 1 April untuk mengurangkan risiko masalah pembiakan tikus.
  • Tindakan yang dipertingkat itu akan meliputi kelemahan dalam tiga aspek utama: Pengurusan sampah dan amalan kebersihan lemah yang mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pembiakan tikus, kerosakan pada kemudahan mengendalikan sampah yang berpotensi menjadi tempat masuk tikus, serta adanya sarang tikus.
  • NEA menambah sikap bergantung kepada penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk mengurangkan maslaah pembiakan tikus dalam jangka panjang, sambil menambah pihaknya akan terus mengambil pendekatan "pelbagai kaedah" untuk menangani situasi itu menerusi pemantauan aktif dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan.
  • Para pengurus dan pemilik premis yang gagal mengamalkan pengurusan sampah yang betul atau mewujudkan keadaan yang sesuai untuk tikus membiak tertakluk kepada penguatkuasaan oleh NEA di bawah Akta Kesihatan Awam Sekitaran (EPHA) dan Akta Kawalan Vektor dan Serangga Perosak (CVPA).
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap kelemahan-kelemahan berkait isu menangani masalah tikus mulai 1 April untuk mengurangkan risiko masalah pembiakan tikus.

Ini menyusuli meningkatnya jumlah kelemahan berkait tikus pada 2024, dengan lebih 1,000 tindakan penguatkuasaan diambil terhadap perniagaan-perniagaan seperti pusat beli-belah dan premis makanan.

Jumlah itu hampir seganda daripada 670 tindakan penguatkuasaan yang diambil pada 2023.

"Hampir separuh tindakan penguatkuasaan tahun lalu adalah disebabkan pengurusan lemah sampah," menurut NEA pada Jumaat (14 Feb).

Tindakan yang dipertingkat itu akan meliputi kelemahan dalam tiga aspek utama: Pengurusan sampah dan amalan kebersihan lemah yang mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pembiakan tikus, kerosakan pada kemudahan mengendalikan sampah yang berpotensi menjadi tempat masuk tikus, serta adanya sarang tikus.

"Tindakan ini menekankan lagi peri pentingnya bagi pengurus premis mengambil langkah-langkah proaktif pencegahan dan kawalan tikus yang betul, yang mempertingkat standard keseluruhan kebersihan dan mengurangkan risiko pembiakan tikus," menurut NEA.

NEA menambah sikap bergantung kepada penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk mengurangkan maslaah pembiakan tikus dalam jangka panjang, sambil menambah pihaknya akan terus mengambil pendekatan "pelbagai kaedah" untuk menangani situasi itu menerusi pemantauan aktif dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan.

"Ini membolehkan kami membuat keputusan jelas untuk melaksanakan campur tangan yang bersasar, sekali gus meningkatkan keberkesanan usaha-usaha kita menjaga kebersihan awam," menurut NEA.

"Dapatan daripada pemantauan kami di seluruh negara ke atas lubang tikus juga dianalisis dan dikongsi dengan pihak-pihak berkepentingan berkaitan seperti majlis bandaran dan agensi-agensi tanah, untuk mereka menjalankan langkah pencegahan dari peringkat awal hingga akhir."

Para pengurus dan pemilik premis yang gagal mengamalkan pengurusan sampah yang betul atau mewujudkan keadaan yang sesuai untuk tikus membiak tertakluk kepada penguatkuasaan oleh NEA di bawah Akta Kesihatan Awam Sekitaran (EPHA) dan Akta Kawalan Vektor dan Serangga Perosak (CVPA).

Denda maksimum di bawah CVPA adalah sehingga S$20,000 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan pertama di bawah Peraturan Kesihatan Awam Sekitaran (Pembersihan Awam), pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga S$1,000 dan denda lanjut tidak melebihi S$100 bagi setiap hari atau sebahagian tempoh kesalahan itu masih diteruskan meski selepas disabit kesalahan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita