Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NEA pelawa orang ramai beri maklum balas tentang bayaran bagi beg plastik di pasar raya

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mempelawa anggota masyarakat untuk memberikan maklum balas tentang perancangan untuk pasar raya-pasar raya mengenakan bayaran bagi beg plastik kepada para pengguna, termasuk satu usulan untuk ia dilaksanakan pada separuh pertama tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Jan 2022 02:22PM Dikemas Kini : 27 Jan 2022 08:51PM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mempelawa anggota masyarakat untuk memberikan maklum balas tentang perancangan untuk pasar raya-pasar raya mengenakan bayaran bagi beg plastik kepada para pengguna, termasuk satu usulan untuk ia dilaksanakan pada separuh pertama tahun depan.

Orang ramai boleh berkongsi pandangan masing-masing mulai hari ini (27 Jan) berhubung cadangan untuk mengenakan bayaran bagi beg plastik, iaitu caj minimum sebanyak S$0.05 hingga S$0.10 bagi setiap beg dan sama ada ia harus tertakluk kepada pembelian online.

"Mengenakan bayaran bagi beg plastik merupakan model mengenakan bayaran yang saksama dan berkesan kerana jumlah yang dibayar itu setimpal dengan jumlah beg plastik pakai buang yang diambil," menurut NEA dalam kertas rundingannya di portal REACH.

Mengenai cadangan mengenakan bayaran S$0.05 hingga S$0.10, NEA menyatakan: "Langkah sedemikian mencetuskan keseimbangan dalam menggalakkan para pembeli untuk mengurangkan jumlah beg plastik pakai buang yang mereka ambil dan mengurangkan kesan kos terhadap para pembeli yang membuat pembelian besar dan keluarga berpendapatan rendah."

Memandangkan para pelanggan tidak mempunyai pilihan untuk menggunakan beg sendiri bagi pembelian barangan dapur menerusi online dan tidak dapat memilih jumlah beg plastik yang digunakan untuk membungkus produk-produk yang dibeli, tiada bayaran diusulkan bagi pembelian sedemikian, menurut kertas rundingan itu.

Saranan-saranan lain termasuk mengenakan model mengecas pengendali pasar raya dengan pendapatan tahunan melebihi ambang tertentu serta untuk pasar raya tersebut mendedahkan secara terbuka berapa banyak beg plastik yang diberikan, berapa banyak jumlah bayaran yang terkumpul bagi beg-beg plastik pakai buang dan bagaimana hasil kutipan itu digunakan.

Pelawaan bagi maklum balas dibuat setelah sebuah kumpulan kerja penduduk yang diterajui oleh NEA dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran menawarkan saranan mengenai perkara itu pada Januari lalu.

"Dalam respons kepada saranan oleh kumpulan kerja penduduk itu, Pemerintah mencadangkan untuk menjadikan ia satu keperluan undang-undang menjelang separuh pertama 2023 bagi pengendali pasar raya-pasar raya besar untuk mengenakan bayaran bagi beg-beg plastik yang diberikan di kaunter bayaran, tidak kira jenis bahan yang digunakan untuk beg itu," menurut NEA dalam kertas rundingannya.

Orang awam yang ingin memberi cadangan masing-masing boleh berbuat demikian di laman https://go.gov.sg/feedbackcarrierbagchargepr antara 27 Januari dengan 17 Februari.

Beberapa peruncit sudah pun mula mengenakan bayaran bagi beg-beg pakai buang.

Rangkaian pasar raya terbesar di Singapura NTUC FairPrice misalnya, mula mengenakan bayaran bagi beg plastik di semua cawangan Cheers dan FairPrice Xpress pada 1 Januari.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan