Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NEA minta maklum balas berkait deposit 10-20 sen bagi minuman dalam tin dan botol plastik

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Sep 2022 04:58PM Dikemas Kini : 21 Sep 2022 09:17AM
SINGAPURA: Mulai pertengahan 2024, para pembeli mungkin harus membayar tambahan 10 atau 20 sen sebagai deposit bagi minuman dalam tin atau botol plastik. Ini tambahan kepada harga runcit dan boleh diperolehi kembali jika mereka memulangkan tin atau botol plastik tersebut ke tempat pemulangan seperti pasar raya, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (20 Sep).

NEA meminta maklum balas awam mengenai cadangan tersebut, yang bertujuan untuk menaikkan kadar kitar semula, mengurangkan pembaziran dan menurunkan pengeluaran karbon sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani perubahan iklim.

Skim tersebut akan menyumbang kepada sasaran yang ditetapkan Singapura di bawah Pelan Singapura Menghijau 2030 dan Pelan Induk Tanpa Sisa untuk mengurangkan 20 peratus sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah per kapita setiap hari menjelang 2026 dan 30 peratus menjelang 2030 serta menaikkan kadar kitar semula nasional kepada 70 peratus menjelang 2030.

Agensi itu menyatakan dalam satu kenyataan hari ini: "Dengan deposit ditetapkan, skim ini akan menggalak pembeli untuk memulangkan bekas air mereka yang sudah kosong."

Semua bekas tin dan plastik yang mengandungi minuman seperti tin minuman, jus buah-buahan dan air putih akan dikenakan deposit semasa pembelian. Sebagai contoh, air tin yang dijual pada harga S$1 akan dikenakan bayaran S$1.10 semasa pembelian, jika jumlah deposit 10 sen.

Harga deposit akan ditetapkan bagi semua bekas yang boleh menampung antara 150ml dengan tiga liter cecair. Bungkusan minuman yang diperbuat daripada bahan Tetra Pak tidak akan dikenakan deposit buat masa ini.

Untuk mendapat deposit mereka kembali, pembeli harus mengembalikan bekas minuman yang sudah kosong dan tidak dicuci ke tempat yang ditetapkan. Mereka boleh melakukan perkara tersebut di kaunter juruwang atau mesin layan diri.

Bekas-bekas tersebut akan dikitar semula.

Di bawah cadangan NEA, semua pasar raya yang mempunyai keluasan lebih 200 meter persegi, yang kini sebanyak 400 pasar raya, akan menyediakan tempat untuk memulangkan bekas minuman.

NEA juga merancang untuk mengadakan tempat memulangkan bekas minuman di gerai-gerai, kedai makan dan pusat beli-belah.

Untuk membantu para pembeli mengenal pasti bekas yang boleh dikitar semula, skim itu menyarankan agar bungkusan yang layak dikitar semula diletakkan "tanda deposit".

Kod bar (barcode) bagi minuman yang sudah dibungkus terlebih dahulu mesti didaftarkan dengan pengendali skim supaya mesin layan diri dapat mengenal pasti bekas yang boleh dikitar semula.

Cadangan itu memerlukan pengendali skim untuk "diterajui industri" kerana ia dapat mengurangkan kos dan juga menggalak kebertanggungjawapan dan kecekapan. Skim itu juga bukan untuk keuntungan.

Pengendali skim harus mencapai sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus kadar pemulangan dan memberi laporan kepada NEA setiap tahun mengenai operasi dan prestasi mereka. Agensi itu akan mengawal dan memantau sama ada pengeluar minuman mematuhi skim tersebut.

Tempoh peralihan akan diadakan selepas tempoh pelaksanaan supaya pengeluar minuman dan penjual dapat menghabiskan bekalan sedia ada untuk memastikan air minuman yang dijual nanti akan ada ciri yang ditetapkan seperti seperti tanda deposit.
Sumber : Today/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan