Skip to main content

Singapura

NEA lancar 3 kajian mengenai keselamatan nuklear, kesannya terhadap alam sekitar

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menjalankan tiga kajian mengenai keselamatan nuklear dan kesan kemudahan tenaga nuklear terhadap sekitaran, sedang Singapura terus menilai potensi penggunaan tenaga nuklear.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Mar 2026 12:54PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 04:19AM
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menjalankan tiga kajian mengenai keselamatan nuklear dan kesan kemudahan tenaga nuklear terhadap sekitaran, sedang Singapura terus menilai potensi penggunaan tenaga nuklear.

Kajian-kajian itu akan meneliti piawai keselamatan antarabangsa, termasuk reka bentuk dan cara-cara mengendalikan reaktor dengan selamat, sistem keselamatan yang diperlukan dan cara mencegah kemalangan.

Ia juga akan mengkaji rangka kerja kawal selia untuk kemudahan nuklear, piawai alam sekitar antarabangsa, serta pertimbangan alam sekitar sebelum memanfaatkan tenaga nuklear di Singapura dan rantau ini.

"Kajian-kajian itu akan melengkapkan kajian berterusan yang dijalankan oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) untuk menilai prestasi keselamatan dan daya maju teknologi tenaga nuklear maju," menurut NEA dalam kenyataan medianya pada Khamis (26 Mac).

Singapura sebelum ini menyatakan ia belum membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear, tetapi akan memantau dengan teliti perkembangan global dan mengukuhkan kepakarannya dalam bidang tersebut.

NEA menyatakan pada Khamis (26 Mac) bahawa ia juga akan membangunkan keupayaan keselamatan nuklear melalui perkongsian dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan badan-badan kawal selia yang mantap di negara-negara lain seperti Finland, Perancis dan Amerika Syarikat, serta jiran-jiran serantau.

"Panel Penasihat Keselamatan Nuklear NEA, yang terdiri daripada para pakar dalam bidang nuklear dan saintifik yang relevan, menyediakan nasihat bebas, menawarkan keselamatan dan perlindungan nuklear," tambah agensi itu.

"Keupayaan ini juga akan membolehkan kami menyumbang untuk mengukuhkan perbincangan serantau mengenai nuklear, supaya dapat bersiap sedia dengan lebih berhemah untuk sebuah rantau yang mempunyai loji kuasa nuklear.

"Kajian-kajian ini juga akan menyokong persediaan kami sekiranya negara-negara di rantau ini memutuskan untuk menggunakan kuasa nuklear," menurut NEA.

Pada September 2025, EMA melantik firma British, Mott MacDonald yang berpangkalan di Singapura, untuk mengkaji teknologi tenaga nuklear maju.

Kajian itu akan mengambil masa sehingga dua tahun.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita