Skip to main content

Singapura

NEA kesan 7 lokasi pembiakan nyamuk di Rowell Road; penduduk mengadu 'diserang nyamuk' setiap malam

Para penduduk di sebuah blok perumahan setinggi 25 tingkat di Jalan Besar berkata lonjakan pada jumlah nyamuk menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk tidur pada waktu malam.

Anggaran Waktu Membaca:
NEA kesan 7 lokasi pembiakan nyamuk di Rowell Road; penduduk mengadu 'diserang nyamuk' setiap malam

Nyamuk yang dibunuh oleh sebuah keluarga yang tinggal di sebuah flat di Rowell Road sepanjang beberapa minggu lalu. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 29 Apr 2026 09:54PM
SINGAPURA: Para penduduk di sebuah blok perumahan setinggi 25 tingkat di Jalan Besar berkata lonjakan pada jumlah nyamuk menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk tidur pada waktu malam.

Ini walaupun mereka sudah berkali-kali cuba mengawal pembiakan nyamuk sejak Februari lalu.

Setiap malam, para penduduk di Blok 642 Rowell Road terpaksa menghalau nyamuk dari rumah mereka dengan menggunakan ubat nyamuk, perangkap elektronik dan kelambu. Namun semua usaha itu sia-sia sahaja.

Walaupun dengan campur tangan Majlis Bandaran Jalan Besar dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), nyamuk-nyamuk itu tetap 'mengganggu' mereka.

Keluarga Cik Sabrina Sow seramai empat orang yang tinggal di salah satu tingkat tinggi di Blok 642 bergelut dengan apa yang beliau sifatkan sebagai "serangan nyamuk" hampir setiap malam sepanjang dua bulan lalu.

Setiap malam, keluarganya menghadapi kesukaran untuk tidur pada waktu malam dan terpaksa menghalau nyamuk menggunakan perangkap elektrik yang dibelinya baru-baru ini disebabkan oleh serangan nyamuk.

"Kami tidak memasang sebarang alat hawa dingin di rumah, hanya kipas untuk bantu mengedarkan udara di dalam rumah, yang membuatkannya lagi tidak selesa untuk tidur. Tambahan lagi, kita perlu berdepan dengan serangan nyamuk yang tidak putus-putus.

"Sukar untuk tidur dengan lena pada waktu malam, kadangkala perlu bangun pada waktu malam dan menghalau nyamuk, dan cuba melelapkan mata semula dalam persekitaran tertutup yang panas dan lembap," kata Cik Sow yang bekerja separuh masa di sebuah restoran.

LONJAKAN JUMLAH NYAMUK CULEX DI MERATA SG

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, NEA menyatakan para pegawainya mengesan tujuh tapak pembiakan nyamuk di Blok 642 Rowell Road antara 2 dengan 9 April, dengan sebahagian besar terletak di kawasan awam.

"Tindakan segera telah diambil, termasuk membersihkan longkang dan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemilik dan pengurus premis," menurut NEA tanpa mendedahkan butiran lanjut tentang tindakan penguatkuasaan yang diambilnya.

Tiada kes denggi dilaporkan di blok itu atau bangunan sekitarnya tahun ini setakat 24 April lalu, menurut NEA.

Menurut jurucakap NEA, agensi itu mengesan dua spesies nyamuk yang membiak di Rowell Road, iaitu nyamuk Aedes dan nyamuk Culex quinquefasciatus, yang membiak dengan lebih banyak.

Terdapat juga lonjakan pada jumlah tempat pembiakan nyamuk Culex quinquefasciatus di merata Singapura sejak permulaan tahun ini disebabkan oleh keadaan cuaca, menurut NEA.

Terdapat lebih 2,000 tempat pembiakan nyamuk Culex quinquefasciatus di merata Singapura pada 15 minggu pertama 2026, iaitu kenaikan sekitar 55 peratus berbanding sekitar 1,300 tempat pembiakan yang dikesan sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.

NEA juga menerima lebih banyak maklum balas mengenai nyamuk pada tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, walapun jumlah tempat pembiakan nyamuk Aedes aegypti terus merosot.

NEA menyatakan peningkatan pada jumlah tempat pembiakan nyamuk Culex baru-baru ini disebabkan oleh keadaan cuaca.
"Cuaca panas yang berpanjangan baru-baru ini diselangi dengan hujan petir secara tiba-tiba telah mewujudkan keadaan yang kondusif untuk nyamuk membiak, kerana suhu yang lebih panas mempercepatkan kitaran pembiakan nyamuk dan terdapat lebih banyak air bertakung di luar rumah.

"Keadaan itu mendorong pembiakan nyamuk Culex quinquefasciatus yang biasanya dikesan di tempat-tempat pembiakan luar rumah," kata jurucakap tersebut.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita