NEA guna teknologi pemantauan, analitik video untuk perkukuh usaha tangani pembiakan tikus
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang meneroka penggunaan teknologi lebih canggih seperti analitik video dan pembelajaran mesin untuk memperkukuh usaha menangani masalah pembiakan tikus.
Jumlah lubang tikus yang dikesan semakin berkurangan sedang pihak berkuasa memperhebat usaha untuk menangani pembiakan tikus. (Gambar: CNA)
Agensi itu kini menggunakan kamera arus udara panas dan kamera inframerah pasif untuk memantau aktiviti tikus serta mengenal pasti kawasan tumpuan.
Pembelajaran mesin dapat mengurangkan kerja manual yang diperlukan untuk meneliti rakaman bagi mengesan kehadiran tikus, kata Penolong Pengurus Seksyen Kawalan Tikus NEA, Bernard Chiang.
"Dengan ini, kami sebenarnya dapat mengerahkan lebih banyak tenaga kerja untuk memasang lebih banyak kamera inframerah pasif dan meliputi kawasan yang lebih luas."
Perkembangan itu berlaku sedang masalah pembiakan tikus terus menjadi kebimbangan kesihatan awam di Singapura.
NEA sudah memanfaatkan 40 kamera arus udara panas dari Januari hingga April tahun ini, dan berada di landasan untuk melangkau jumlah 84 kamera yang digunakan sepanjang tahun lalu. Bilangan kamera yang digunakan di setiap lokasi adalah berbeza mengikut keadaan tapak dan keperluan liputan.
Memandangkan tikus aktif pada waktu malam dan cenderung mengelakkan manusia, alat-alat tersebut dapat membantu pihak berkuasa memahami dengan lebih baik tingkah laku serta corak pergerakan haiwan berkenaan, kata Encik Chiang.
Beliau menambah bahawa data yang dikumpulkan sepanjang dua tahun lalu menunjukkan bahawa tikus menggunakan ciri-ciri seperti unit pendingin hawa luaran dan paip untuk memasuki tingkat-tingkat atas bangunan untuk mencari makanan dan lokasi bersarang.
MENGURUSKAN MASALAH PEMBIAKAN TIKUS
Dengan menjejaki laluan-laluan tersebut pada waktu malam, para pegawai penguat kuasa dapat menyasarkan pemeriksaan dengan lebih berkesan pada waktu siang.
Dalam satu kenyataan media pada 26 Mac, NEA menyatakan bahawa sekitar 1,300 tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemilik premis atas kesalahan berkaitan tikus pada 2025, meningkat daripada lebih 1,000 kes pada 2024.
Daripada keseluruhan tindakan yang dilaksanakan secara bersama oleh NEA dan Agensi Makanan Singapura (SFA) itu, kira-kira separuh atau 620 kes melibatkan pengurusan sampah yang tidak memuaskan.
Pada masa yang sama, jumlah lubang tikus yang dikesan semakin berkurangan sedang pihak berkuasa mempergiat usaha kawalan, khususnya di kawasan yang mempunyai banyak aktiviti makanan dan perniagaan seperti Little India, Holland Village, Geylang dan Serangoon Gardens.
Purata jumlah lubang tikus yang direkodkan dalam setiap kitaran pemantauan yang dilakukan sekali setiap dua bulan turun daripada sekitar 5,400 pada separuh pertama 2025 kepada sekitar 4,200 pada separuh kedua tahun yang sama.
PEMANTAUAN MEMBUAHKAN HASIL
Aktiviti tikus di Little India, misalnya, merosot dengan ketara sejak separuh pertama 2025, dengan tiada lubang tikus dikesan dalam kitaran pemantauan terkini di kawasan itu.
Dalam satu kemas kini, NEA menyatakan bahawa data yang diperoleh daripada penggunaan kamera arus udara panas dan kamera inframerah pasif menunjukkan aktiviti tikus merosot secara purata sebanyak 40 peratus di pelbagai lokasi di Little India antara Oktober tahun lalu hingga Mac tahun ini.
Agensi itu menambah bahawa tiada lubang tikus dikesan di kawasan tersebut antara Mac hingga April tahun ini, berbanding purata 37 lubang tikus yang ditemui setiap dua bulan sepanjang tahun lalu.
NEA berkata penurunan jumlah lubang tikus itu merupakan petanda yang menggalakkan bahawa usaha penguatkuasaan sedang membuahkan hasil.
"Namun, kita tidak boleh berasa terlalu selesa," tegas Pengurus Seksyen Kawalan Vektor NEA, Tay Wan Juan.
"Populasi tikus boleh meningkat semula dengan cepat jika amalan kebersihan dan pengurusan sampah yang baik tidak dikekalkan secara konsisten."
Beliau menambah bahawa pengurusan sampah yang lemah boleh menyediakan sumber makanan yang mudah diperoleh tikus melalui sisa makanan, manakala barangan besar yang dibuang secara tidak sempurna boleh menjadi tempat perlindungan haiwan tersebut.
"Jadi, kamera pemantauan yang kami gunakan membolehkan kami memantau keadaan di lapangan serta mengumpulkan maklumat dan bukti, sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik premis yang melupuskan sampah secara tidak wajar," kata Cik Tay.
Tahun lalu, pihak berkuasa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis makanan dalam 233 kes yang melibatkan pelanggaran berkaitan tikus.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.