NEA gesa warga emas jangan duduk makan di pusat penjaja sedang kes COVID-19 meningkat
Warga emas yang mengunjungi pusat-pusat penjaja digalakkan menempah makanan untuk dibawa pulang dan bukan duduk makan di premis di tengah-tengah kenaikan kes COVID-19.
(Gambar: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Warga emas yang mengunjungi pusat-pusat penjaja digalakkan menempah makanan untuk dibawa pulang dan bukan duduk makan di premis di tengah-tengah kenaikan kes COVID-19.
Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (1 Okt).
"Mereka khususnya harus mengelakkan makan di luar atau berborak sambil minum di pusat penjaja buat masa ini," menurut NEA, sambil menambah bahawa warga emas boleh menimbangkan untuk meminta anggota keluarga serumah membelikan makanan untuk mereka jika boleh.
Nasihat itu dikeluarkan sehari selepas Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) "sangat menggesa" warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, serta mereka yang tinggal bersama warga emas, untuk duduk di rumah selama empat minggu akan datang untuk mengurangkan kemungkinan dijangkiti COVID-19.
Daripada 2,474 kes baru tempatan COVID-19 pada Khamis (30 Sep), 535 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun.
Pada September sahaja, terdapat 40 kematian COVID-19. Semua kecuali seorang daripada mereka, berusia lebih 60 tahun.
"Kenaikan baru-baru ini dalam jumlah kes COVID-19 menyaksikan warga emas berdepan risiko lebih tinggi mengalami komplikasi kesihatan yang serius jika dijangkiti," menurut NEA.
NEA juga menggesa semua pengunjung pasar dan pusat penjaja untuk mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat (SMM). Ini termasuk memakai semula pelitup sebaik saja selesai makan.
"Agensi-agensi menerima maklum balas tentang pusat-pusat tertentu di mana kumpulan-kumpulan individu cenderung berlengah-lengah dan melanggar SMM," menurut NEA.
"NEA sudah memperhebat rondaan penguatkuasaannya di pasar dan pusat penjaja, dan mengeluarkan lebih 300 denda kepada mereka yang gagal mendengar nasihat tentang SMM."
Walaupun 98 peratus pegerai dan pembantu mereka di pasar dan pusat penjaja sudah divaksin, NEA menggesa semua orang supaya tetap berwaspada.
Orang ramai yang memasuki pasar dan pusat penjaja diingatkan agar melakukan daftar masuk dan keluar menggunakan SafeEntry, memakai pelitup mereka yang menutup sepenuhnya bahagian hidung dan mulut serta mengamalkan kebersihan diri.
NEA menambah ia sedang bekerjasama dengan persatuan penjaja dan majlis bandaran untuk kerap menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di premis-premis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.