Skip to main content

Singapura

NEA gesa segera bertindak cegah lonjakan tinggi kes denggi, kelompok besar dan serotaip DENV-1

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Sep 2023 04:04PM Dikemas Kini : 06 Sep 2023 09:16PM
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran bahawa Singapura berisiko mengalami kenaikan jumlah penyakit denggi.

Oleh itu orang ramai digesa supaya mengambil tindakan segera bagi mencegah dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

"Terdapat risiko lonjakan dalam kes denggi kerana virus Denggi serotype 1 (DENV-1) semakin banyak dalam jumlah mingguan yang tinggi, beberapa kelompok denggi yang besar dan berterusan, dan jumlah nyamuk Aedes yang tinggi di banyak tempat," kata NEA di laman webnya.

"Semua orang perlu ambil tindakan segera untuk mengelakkan lonjakan kes denggi."

Kes DENV-1 telah meningkat sejak dua bulan lalu dan serotaip itu telah menggantikan serotaip 3 (DENV-3) virus denggi yang dominan sebelum ini.

"Pada Julai, kes DENV-1 membentuk kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan jumlah penyakit denggi, iaitu hampir tiga kali ganda nisbah kes DENV-3 pada 17 peratus," kata NEA.

Lebih 6,200 kes denggi dilaporkan di Singapura tahun ini setakat Selasa.

Terdapat 48 kelompok aktif di seluruh negara - 13 daripadanya kelompok besar dengan lebih 10 kes.

Ini termasuk kelompok dengan 319 kes di Lorong 1 dan Lorong 2 Toa Payoh, serta kelompok di Lorong 1A Toa Payoh yang mempunyai 177 kes, di mana penularan denggi berterusan dicatatkan.

Kelompok denggi besar lain termasuk di Angklong Lane di kawasan Sin Ming dengan 66 kes, dan kelompok di Eng Kong Road di Bukit Timah dengan 44 kes.

"Kelompok denggi dengan 29 kes di Science Park Drive dan Lentor Loop yang mencatat 24 kes mempunyai kadar penularan denggi yang cepat," tambah NEA.
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita