Skip to main content

Singapura

NEA gesa kedai kopi gugur sudut merokok; lancar program pertingkat keadaan tandas

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang menggalak kedai kopi supaya menggugurkan sudut merokok sebagai sebahagian langkah bagi "menjaga kesihatan awam". Ini sedang orang ramai dibenarkan makan di luar mulai Jumaat (19 Jun) dalam Fasa 2 pembukaan semula Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
NEA gesa kedai kopi gugur sudut merokok; lancar program pertingkat keadaan tandas

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 Jun 2020 12:51PM Dikemas Kini : 18 Jun 2020 12:57PM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang menggalak kedai kopi supaya menggugurkan sudut merokok sebagai sebahagian langkah bagi "menjaga kesihatan awam". Ini sedang orang ramai dibenarkan makan di luar mulai Jumaat (19 Jun) dalam Fasa 2 pembukaan semula Singapura.

"Bagi menjaga kesihatan awam secara menyeluruh, kedai kopi juga digalakkan supaya menutup sudut merokok dan melaksanakan langkah-langkah kebersihan seperti sistem pemulangan dulang, memastikan meja bersih serta membenarkan pembersih untuk memberi tumpuan kepada tugasan pembersihan yang lain," menurut NEA dalam satu kenyataan media pada Rabu (17 Jun).

Agensi itu menambah ia akan memperkenalkan sebuah program yang menyediakan pendanaan bersama bagi kerja naik taraf. Ini bagi menambah baik kebersihan kemudahan tersebut di kedai kopi dan pusat penjaja yang mempunyai prasarana kian usang.

"Program Peningkatan Tandas bagi pusat penjaja akan menjalankan kerja naik taraf yang tertumpu kepada menambah baik reka bentuk tandas serta pilihan kelengkapan kebersihan untuk menjadikannya lebih mudah dibersihkan. Ini di samping menggalak para pengguna supaya mengekalkan kebersihan tandas," jelas NEA.

Ia akan mengumumkan lebih banyak butiran tentang pendanaan bersama itu pada satu tarikh yang bakal ditetapkan kelak.

Satu kajian yang dikeluarkan pada Mei oleh Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menunjukkan bahawa piawaian kebersihan tandas awam menurun di pusat penjaja dan kedai kopi di Singapura.

Tandas pusat penjaja "jauh lebih kotor" manakala tandas kedai kopi tetap "kotor dan sebahagian besarnya tidak berubah" berbanding dengan dapatan daripada kajian serupa yang dijalankan empat tahun lalu, menurut SMU dalam kajian itu.

NEA menyatakan Program Peningkatan Tandas juga akan menimbangkan isu penyenggaraan.

Misalnya, menurut NEA, sebuah perniagaan pembersihan berlesen mungkin didapatkan untuk menjalankan kerja pembersihan ke atas tandas kedai kopi secara berkala. Sebuah sistem akses yang dikawal juga mungkin dilaksanakan untuk hanya membenarkan ia digunakan oleh para pelanggan kedai kopi.

NEA menambah bahawa pemilik dan pengendali tandas awam memainkan peranan penting dalam menjaga piawaian kebersihan yang tinggi dan memastikan terdapat kemudahan asas seperti sabun tangan dalam bentuk cecair, tisu tandas serta tong sampah.

Denda lebih berat sudahpun dikenakan oleh NEA dan Agensi Makanan Singapura (SFA) sejak 1 April terhadap sebarang kelemahan kebersihan.

Pengendali tandas awam yang tidak menjaga kebersihan kemudahan itu atau gagal untuk menyediakan keperluan asas seperti sabun atau tisu tandas boleh didenda sehingga S$400 bagi kesalahan pertama.

Pesalah berulang boleh didenda S$500 untuk kesalahan berikutnya.

"Di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran bagi kesalahan seperti kekurangan kemudahan asas yang tidak mencukupi dan tandas yang tidak bersih di tempat makan dan bukan tempat makan, denda maksimum untuk sabitan pertama adalah antara S$2,000 dengan S$5,000, bergantung kepada ciri kesalahan yang dilakukan," tambah NEA

PELANGGAN DIGALAK AMAL TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Di samping usaha untuk menambah baik tahap kebersihan, NEA juga mengingkatkan pengunjung di kedai kopi dan pusat penjaja supaya mengamalkan tanggungjawab sosial serta kebersihan asas.

Ini termasuk, menurut NEA, memulangkan dulang dan pinggan mangkuk yang sudah digunakan selain membuang tisu atau tisu basah yang digunakan ke dalam tong sampah. Pengunjung juga tidak seharusnya meninggalkan tisu yang sudah digunakan di atas dulang mahupun meja dan tempat duduk. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita