Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NEA beri amaran satu lagi penularan denggi pada 2023 sedang kes kekal tinggi pada Jan

Anggaran Waktu Membaca:
NEA beri amaran satu lagi penularan denggi pada 2023 sedang kes kekal tinggi pada Jan

Nyamuk Aedes aegypti. (Gambar fail: AFP/Miguel SCHINCARIOL)

SINGAPURA: Bilangan kes mingguan denggi kekal tinggi pada permulaan tahun ini.

Ini sekali gus mendorong Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengeluarkan amaran tentang risiko penularan denggi pada 2023.

Lebih 32,000 kes denggi dilaporkan pada 2022, iaitu sekitar enam kali ganda bilangan keseluruhan kes yang dicatat sepanjang 2021.

Minggu lalu, terdapat sebanyak 279 kes denggi, iaitu hampir dua kali ganda bilangan yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Demikian menurut NEA dalam satu kenyataan media pada Khamis (19 Jan).

"Bilangan tinggi kes denggi yang berterusan di permulaan tahun ini meningkatkan risiko lonjakan awal kes-kes denggi dalam beberapa bulan akan datang, yang mana boleh mencetuskan lagi penularan denggi di Singapura tahun ini," tambah NEA.

Terdapat sebanyak 82 kelompok yang aktif yang dikesan, setakat Rabu (18 Jan).

Tiga belas daripadanya adalah kelompok besar dengan 10 atau lebih kes yang dilaporkan, termasuk Hougang Avenue 1, Jurong West Avenue 5 dan Toa Payoh Lorong 4.

Virus denggi serotaip 3 (DENV-3) kekal sebagai jenis utama yang menular di seluruh Singapura, menurut NEA. Ia dikesan di 11 daripada 13 kelompok denggi yang besar.

"Imuniti penduduk kami terhadap DENV-3 adalah rendah, oleh itu terdapat lebih ramai orang yang terdedah kepada jangkitan dengan serotype ini," jelas NEA.

Dalam pada itu, NEA menarik perhatian bahawa terdapat risiko tinggi bahawa bilangan besar kes denggi tersebut akan menyebabkan penularan DENV-3 yang berlanjutan sejak tahun lalu di Singapura.

Agensi tersebut menambah bahawa pada Disember tahun lalu, bilangan nyamuk Aedes aegypti kekal tinggi di Singapura. Malah, bilangan tersebut adalah sekitar 24 peratus lebih tinggi berbanding bilangan yang dicatat pada tempoh yang sama pada 2021.

MAKLUMAN BAGI TEMPOH TAHUN BARU CINA

NEA mengeluarkan nasihat menjelang tempoh Tahun Baru Cina, menggesa orang ramai supaya melaksanakan "tindakan bersama dengan segera" bagi menghapuskan tapak-tapak pembiakan nyamuk. Ini sedang mereka sibuk menghiasi rumah dan ruang mereka yang lain dengan lebih banyak tumbuhan hiasan.

Agensi tersebut mendedahkan bahawa pihaknya juga sudahpun mempertingkatkan lagi usaha pemeriksaan di semua tapak semaian tumbuhan.

Orang ramai yang menyimpan tumbuh-tumbuhan digesa untuk memastikan air tidak bertakung di dalam pinggan pasu bunga atau di atas mana-mana tanah yang keras.

"Pemilik rumah yang sedang membersihkan kediaman mereka juga diingatkan untuk membuang sebarang sampah dengan betul termasuk perabot besar, barangan rumah, bagi mengelak daripada bahan-bahan yang dibuang itu daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk tanpa disengajakan," tegas NEA.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan