Skip to main content

Singapura

NEA akan mencari pengendali baharu untuk Pusat Penjaja One Punggol lepas Timbre pendekkan tempoh sewa

Anggaran Waktu Membaca:
NEA akan mencari pengendali baharu untuk Pusat Penjaja One Punggol lepas Timbre pendekkan tempoh sewa
Pusat Penjaja One Punggol. (Gambar: Facebook/Pusat Penjaja One Punggol)
Diterbitkan : 29 Dec 2025 10:34PM Dikemas Kini : 29 Dec 2025 10:47PM
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan mencari pengendali baharu bagi Pusat Penjaja One Punggol pada Januari 2026 selepas pengendali sekarang, Timbre+ Hawkers, mengumumkan pada Isnin (29 Dis) bahawa ia akan memendekkan tempoh sewanya selama setahun.

Timbre akan terus mengendalikan pusat penjaja itu sehingga 14 Ogos 2026. Menjelang tarikh itu, syarikat berkenaan akan telah memenuhi tempoh sewaan awal selama dua tahun dan melengkapkan dua daripada tiga tahun bagi tempoh sewaan keduanya.

"Timbre + Hawkers Private Limited menyatakan bahawa sewa itu menimbulkan cabaran untuk operasi berterusan di Pusat Penjaja One Punggol," dedah NEA.

Dalam kenyataan media berasingan, Timbre Group menyatakan ia mengambil kira "pertimbangan operasi keseluruhan dan keadaan pasaran semasa", sambil menambah bahawa keputusan itu adalah persetujuan bersama antara syarikatnya dengan NEA.

Mediacorp sudah menghubungi Timbre dan NEA untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sebab-sebab mengapa tempoh sewa tersebut disingkatkan.

Timbre mengendalikan Pusat Penjaja One Punggol sejak ia dibuka pada 2022 dengan 34 gerai. Tempoh sewa keduanya bermula pada 2024 dan sepatutnya berakhir pada 14 Ogos 2027.

Pusat Penjaja One Punggol adalah antara beberapa pusat penjaja dengan perusahaan sosial di Singapura.

Di bawah model ini, syarikat swasta mengendalikan pusat penjaja, yang bertujuan untuk mengimbangi kepentingan pemilik gerai dan pelanggan, sambil memberikan kelonggaran untuk melancarkan strategi perniagaan mereka.

Harga sewa gerai disarankan terlebih dahulu oleh para pengendali dalam bidaan tender mereka kepada NEA. Pengusaha juga tidak dibenarkan mengubah harga sewa penjaja mengikut tempoh penyewaan mereka atau memerlukan penyewa gerai untuk bida harga sewa.

Sewa median untuk semua gerai makanan masak tanpa subsidi di pusat penjaja yang diuruskan oleh NEA adalah sekitar S$1,250 (US$970) antara 2015 dan 2023, kata Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Grace Fu pada Februari tahun ini.

Beberapa bulan yang lalu, Timbre menerima kritikan terhadap pengurusan Pusat Penjaja Yishun Park, yang juga merupakan pusat penjaja perusahaan sosial. Pengkritik makanan KF Seetoh menyasarkan sewa Timbre, kamera televisyen litar tertutup dan dendanya.

Timbre tidak akan menyertai tender terbuka yang akan datang untuk pengendali baharu bagi Pusat Penjaja One Punggol.

Semasa tempoh peralihan, tiada perubahan pada sewa dan yuran sampingan pemilik gerai, jelas Timbre.

Ia menambah bahawa ia akan bekerjasama dengan NEA untuk "memastikan peralihan yang lancar dan teratur kepada pengendali seterusnya, dengan gangguan minimum kepada penjaja, pelanggan dan masyarakat".

“Timbre + Hawkers Private Limited kekal komited terhadap peranannya sebagai pengendali yang bertanggungjawab bagi ruang makan awam di seluruh portfolionya yang mencipta ruang yang menarik dan mesra pengunjung,” jelas Timbre Group.

NEA menyatakan Timbre "komited untuk mengekalkan kerancakan Pusat Penjaja One Punggol sehingga tamat tempoh sewa".

Pengendali baharu dikehendaki mengekalkan semua penjaja individu sedia ada yang ingin meneruskan operasi mereka selama sekurang-kurangnya dua tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, kadar sewa semasa akan dikekalkan untuk tahun pertama, dengan sebarang pelarasan berikutnya dihadkan pada purata sewa mengikut nilai pasaran.

"Kesejahteraan penjaja individu sedia ada adalah keutamaan NEA," tambah agensi itu.

"NEA kekal komited untuk menyokong penjaja dan pelanggan sambil terus menambah baik pusat penjaja perusahaan sosial untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat."
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita