Skip to main content

Singapura

NEA akan keluarkan nasihat harian mengenai jerebu mulai petang ini

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Sep 2026 01:14PM Dikemas Kini : 19 Sep 2026 11:53AM
  • Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mula mengeluarkan nasihat harian jerebu selepas bacaan PSI di Singapura melepasi paras tidak sihat pada 4 September.
  • PSI 24 jam di kawasan tengah Singapura mencatat bacaan antara 101 hingga 200, kali pertama sejak Oktober 2023, mendorong pelaksanaan pelan tindakan oleh agensi berkaitan.
  • NEA menyertakan ramalan PSI 24 jam dalam nasihat harian untuk membantu orang ramai merancang aktiviti dan menjaga kesihatan mereka.
  • Golongan berisiko seperti warga emas, wanita hamil, kanak-kanak dan pesakit kronik dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan rawatan jika bergejala.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan mula mengeluarkan nasihat harian mengenai jerebu mulai petang Jumaat (4 Sep), selepas Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di kawasan tengah Singapura mencapai paras tidak sihat.

Bacaan PSI memasuki julat tidak sihat antara 101 hingga 200 pada 7.00 pagi akibat jerebu. Ini merupakan kali pertama bacaan PSI melepasi paras tersebut sejak 8 Oktober 2023.

Bacaan itu kemudian meningkat sedikit kepada 116 pada 7 malam.

Dalam kenyataan media bersama bagi pihak agensi yang menganggotai Pasukan Bertindak Jerebu (HTF), NEA menyatakan agensi-agensi berkenaan sudah melaksanakan pelan tindakan dan mengeluarkan nasihat masing-masing bagi melindungi kesihatan serta kesejahteraan orang ramai.

Dalam nasihat harian mengenai jerebu, NEA akan menyertakan ramalan PSI 24 jam bagi membantu orang ramai merancang kegiatan dan acara mereka untuk tempoh 24 jam berikutnya.

“Kesan jerebu terhadap kesihatan bergantung pada keadaan kesihatan seseorang, paras PSI serta tempoh dan tahap kegiatan fizikal yang dilakukan di luar,” menurut NEA.

“Mengurangkan kegiatan di luar dan aktiviti fizikal yang berat boleh membantu mengurangkan kesan buruk akibat terdedah kepada jerebu.”

Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air untuk memastikan tubuh kekal terhidrat.

Mereka yang mempunyai penyakit jantung dan paru-paru kronik dinasihatkan supaya memastikan ubat-ubatan mereka sentiasa tersedia dan mudah dicapai.

Golongan yang lebih terdedah kepada kesan jerebu, terutama warga emas, wanita hamil, kanak-kanak serta mereka yang mempunyai penyakit jantung dan paru-paru kronik, harus segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala atau berasa kurang sihat.
Related article image
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita