Skip to main content

Singapura

NDR2026: Setiap anak warga SG terima sokongan kewangan hampir S$70,000 hingga usia 17 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2026: Setiap anak warga SG terima sokongan kewangan hampir S$70,000 hingga usia 17 tahun

Bayi-bayi yang baru dilahirkan di sebuah hospital di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 Aug 2026 10:02PM
  • Pemerintah Singapura memperkenalkan Pakej Bantuan Anak SG, menawarkan hampir S$70,000 sokongan kewangan untuk setiap anak sehingga usia 17 tahun, bermula 1 April 2027.
  • Pakej ini menggantikan skim lama dan merangkumi wang tunai, geran MediSave, kredit pendidikan serta bantuan sama rata tanpa mengira status perkahwinan ibu bapa.
  • Keluarga besar, warga emas, individu kurang upaya dan golongan bujang turut menerima sokongan tambahan melalui pelbagai kementerian.
  • Langkah ini bertujuan memudahkan keibubapaan, menyokong pertumbuhan anak, dan memastikan kesejahteraan rakyat di semua peringkat kehidupan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Setiap anak warga Singapura akan menerima hampir S$70,000 dalam bentuk sokongan kewangan sehingga mereka berusia 17 tahun, di bawah langkah baharu untuk memberi lebih banyak sokongan kepada ibu bapa.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan demikian semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad (23 Ogos).

Satu skim baharu akan menyediakan lebih banyak sokongan bukan sahaja ketika anak dilahirkan, malah sepanjang tempoh mereka membesar.

Ia merangkumi antaranya hadiah wang tunai, geran MediSave dan Kredit Anak.

"Secara keseluruhannya, setiap anak warga Singapura akan menerima hampir S$70,000 dalam bentuk sokongan kewangan langsung sepanjang tempoh mereka membesar," kata PM Wong.

Dinamakan Pakej Bantuan Anak SG, skim baharu itu akan menggabungkan dan menggantikan sokongan kewangan yang kini diberikan menerusi Skim Bonus Bayi dan Skim Keluarga Besar.

Demikian menurut Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Setiap anak akan menerima lebih banyak sokongan kewangan di bawah pakej tersebut.

Sebagai contoh, anak pertama bakal menerima S$42,000 lebih banyak berbanding skim sedia ada apabila mencecah usia 17 tahun, manakala anak ketiga akan menerima tambahan S$19,000.

Sehingga Jun 2026, lebih 610,000 kanak-kanak berusia 17 tahun dan ke bawah daripada 380,000 isi rumah dijangka meraih manfaat daripada pakej tersebut.

ANAK KELUARGA IBU ATAU BAPA TUNGGAL TURUT TERIMA WANG TUNAI

Anak daripada keluarga ibu atau bapa tunggal juga akan menerima wang tunai di bawah pakej baharu itu.

Buat masa ini, hadiah wang tunai di bawah Skim Bonus Bayi serta Kredit LifeSG Keluarga Besar hanya diberikan kepada anak yang ibu bapanya berkahwin secara sah.

Menurut NPTD, unit keluarga tradisional kekal sebagai norma sosial utama di Singapura dan pendirian pemerintah sejak sekian lama adalah untuk menyokong keibubapaan dalam perkahwinan.

Pendirian itu tidak berubah.

Namun NPTD menyatakan terdapat keperluan untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan setiap anak warga Singapura.

Memandangkan manfaat tersebut bertujuan untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak, ia akan diberikan kepada semua anak warga Singapura tanpa mengira urutan kelahiran, keadaan keluarga atau status perkahwinan ibu bapa mereka.

SOKONGAN DILANJUTKAN HINGGA USIA 17 TAHUN

Pakej baharu itu akan menyediakan sokongan bagi tempoh lebih panjang sehingga anak berusia 17 tahun, berbanding 12 tahun sekarang.

Lebih banyak sokongan juga akan diberikan dalam bentuk wang tunai dan bukan menerusi Akaun Pembangunan Anak (CDA).

Menurut NPTD, wang tunai memberikan lebih banyak kelonggaran dan perubahan itu menjadikan sokongan lebih menyeluruh serta kurang bergantung kepada kemampuan ibu bapa untuk membuat simpanan ke dalam CDA.

Pakej Sokongan Anak SG juga akan memberikan tahap sokongan yang sama kepada setiap anak warga Singapura tanpa mengira urutan kelahiran.

Di bawah Skim Bonus Bayi sekarang, anak dalam urutan kelahiran lebih tinggi menerima hadiah wang tunai lebih besar dan had padanan bersama pemerintah yang lebih tinggi bagi CDA mereka.

"Hakikatnya, keputusan untuk mempunyai anak adalah sesuatu yang sangat peribadi. Dasar sahaja tidak dapat membuat keputusan itu bagi seseorang. Namun apa yang boleh kita lakukan adalah memudahkan rakyat Singapura yang mahukan anak untuk memulakan dan membesarkan keluarga," kata PM Wong.

"Kita mahu setiap keluarga tahu: jika anda memilih untuk mempunyai anak, pemerintah akan bersama anda. Kita akan memberikan lebih banyak sokongan dan untuk tempoh lebih panjang. Kita akan bersama ibu bapa sepanjang perjalanan membesarkan anak-anak mereka."

S$10,000 WANG TUNAI BAGI BAYI BARU LAHIR

Mulai 1 April 2027, setiap bayi baru lahir yang layak akan menerima hadiah wang tunai S$10,000 di bawah Pakej Bantuan Anak SG.

Wang itu akan diagihkan melalui dua peringkat dalam tempoh 12 bulan selepas kelahirannya.

Menurut NPTD, langkah itu menyediakan bantuan awal lebih besar bagi menampung perbelanjaan lebih tinggi ketika kelahiran dan sepanjang tahun pertama kehidupan anak.

Kanak-kanak yang dilahirkan sebelum 1 April 2027 dan masih menerima pembayaran di bawah Skim Bonus Bayi akan terus menerimanya sehingga 31 Mac 2027.

Selepas skim baharu berkuat kuasa, mereka akan menerima tokokan selewat-lewatnya pada 30 April, jika layak, bagi menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai S$10,000.

Setiap anak juga akan menerima Geran Langkah Pertama CDA sebanyak S$5,000 serta padanan bersama pemerintah sehingga S$5,000 bagi CDA.

CDA akan dilanjutkan sehingga akhir tahun apabila anak berusia 16 tahun, berbanding 12 tahun sekarang.

Ini memberikan ibu bapa tempoh lebih panjang untuk meraih manfaat daripada padanan bersama pemerintah dan menggunakan dana CDA bagi perbelanjaan membesarkan anak yang diluluskan.

Sokongan juga akan diteruskan selepas kelahiran.

Bagi setiap tahun sepanjang 16 tahun pertama kehidupan anak, Kredit Anak sebanyak S$2,000 akan diberikan.

Tokokan Edusave juga akan diberikan setiap tahun semasa anak menduduki sekolah rendah dan menengah.

Apabila anak berusia 17 tahun, S$10,000 akan ditokok ke dalam Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA).

LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI KELUARGA BESAR

Skim Keluarga Besar, yang diumumkan PM Wong semasa Belanjawan tahun lalu bagi menyokong keluarga dengan tiga atau lebih anak, akan dihentikan.

Namun keluarga besar akan menerima lebih banyak sokongan secara keseluruhan di bawah Pakej Bantuan Anak SG kerana tahap sokongan asas lebih tinggi diberikan bagi setiap anak.

"Oleh sebab setiap anak menerima sokongan yang sama, keluarga dengan lebih ramai anak secara semula jadi akan menerima lebih banyak sokongan secara keseluruhan," kata PM Wong.

Menurut NPTD, keluarga dengan tiga atau lebih anak masih akan menerima bantuan tambahan dalam bidang yang biasanya melibatkan kos lebih tinggi, selain Pakej Bantuan Anak SG.

Keluarga sedemikian kini turut menerima Geran MediSave Keluarga Besar bernilai S$5,000 bagi membantu menampung perbelanjaan jagaan kesihatan.

NPTD sedang meneliti cara untuk menyusun semula dan memperluas sokongan itu kepada keluarga besar sedia ada yang belum menerima geran tersebut.

Kementerian Pengangkutan (MOT) pula akan menyediakan sokongan tambahan bagi membantu keluarga besar menampung perbelanjaan pengangkutan.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) sedang meneliti sokongan perumahan tambahan bagi keluarga besar.

SOKONGAN BAGI WARGA EMAS, BUJANG DAN INDIVIDU KURANG UPAYA

PM Wong berkata pemerintah turut meneliti cara-cara untuk membantu warga emas meniti usia senja dengan baik di rumah dan dalam masyarakat mereka.

Beberapa kementerian sedang mengusahakan satu pakej, termasuk membantu warga emas terus bekerja, memberikan lebih banyak kelonggaran dalam penggunaan MediSave bagi keperluan jagaan kesihatan serta memanfaatkan nilai rumah mereka untuk persaraan.

Individu kurang upaya pula akan diberikan lebih banyak peluang untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan merealisasikan potensi mereka.

Ini termasuk peralihan lebih lancar dari sekolah ke alam pekerjaan, lebih banyak peluang pekerjaan serta akses kepada penjagaan dan sokongan masyarakat.

PM Wong turut memberi jaminan bahawa golongan bujang tidak dilupakan.

Beliau berkata perumahan kekal menjadi antara keprihatinan utama golongan itu dan pemerintah berhasrat mengambil langkah lanjut untuk memberikan sokongan lebih baik kepada mereka dalam penggal pemerintah sekarang.

"Kita menyediakan sumber sebenar bagi semua rancangan ini kerana menyokong keluarga dan rakyat Singapura di setiap peringkat kehidupan adalah satu keutamaan pemerintah," kata PM Wong.

Langkah-langkah terbaharu itu merupakan sebahagian daripada kumpulan pertama saranan Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan dan Keibubapaan yang diterima pemerintah.

Kumpulan kerja yang dipengerusikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah itu ditubuhkan pada April.

Butiran lanjut akan diumumkan dalam masa beberapa bulan akan datang, termasuk semasa Belanjawan tahun depan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita