NDR2026: Sektor pendidikan awal kanak-kanak sasar pikat 1,800 pendidik jagaan bayi jelang 2030
Sektor pendidikan awal kanak-kanak menyasarkan untuk merekrut 1,800 lagi pendidik jagaan bayi menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tempat penjagaan bayi, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) pada Jumaat (28 Ogos).
Seorang guru bersama murid-muridnya semasa acara sambutan Hari Guru ECDA di E-Bridge Pre-School pada 28 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Perkembangan tersebut menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 (NDR2026) pada Ahad (23 Ogos) bahawa yuran bulanan bagi penjagaan kanak-kanak sepenuh hari dan penjagaan bayi akan masing-masing diturunkan kepada S$150 dan S$300 menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan prasekolah lebih dimampui dan mudah diakses.
Yuran lebih rendah itu, sebelum mengambil kira ujian kemampuan, akan dinikmati setiap kanak-kanak warga Singapura tanpa mengira pendapatan isi rumah. Keluarga berpendapatan rendah akan membayar yuran yang lebih rendah.
Penjagaan kanak-kanak sepenuh hari di prasekolah yang disokong pemerintah kini antara S$365 dengan S$559 sebulan selepas subsidi asas, manakala jagaan bayi pula antara S$746 dengan S$1,256.
GERAN PENGAMBILAN PEKERJA DIPERLUAS
Mulai September, ECDA akan memperluas Geran Pengambilan Pekerja bagi membantu pengendali prasekolah merekrut dan melatih pendidik tempatan serta pendidik hijrahan untuk mendapatkan pensijilan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Di bawah Program Penempatan dan Latihan, para majikan merekrut calon terlebih dahulu sebelum mereka menjalani latihan secara sambilan bagi peranan tersebut. Geran itu menampung sehingga 70 peratus elaun latihan dan 50 peratus subsidi yuran kursus bagi pelatih yang layak.
Elaun latihan akan dinaikkan bagi semua kategori pelatih, dengan sokongan tambahan diberikan bagi pensijilan penjagaan bayi seperti kursus Assistant Infant Educator (Penolong Pendidik Bayi) dan Fundamentals Certificate in Infant Care (Sijil Asas dalam Penjagaan Bayi).
Pembiayaan di bawah geran tersebut akan dilanjutkan selama tiga tahun sehingga 31 Disember 2030. ECDA juga akan meneroka kerjasama dengan pihak-pihak luar negara bagi memperluaskan kumpulan calon.
"Tumpuan ECDA adalah untuk membina tenaga kerja penjagaan bayi yang kukuh dan terlatih. Pendidik penjagaan bayi memerlukan pengetahuan dan kemahiran khusus bagi menyokong keperluan perkembangan dan penjagaan bayi," menurut agensi tersebut.
Agensi tersebut juga mahu memanfaatkan tenaga pendidik prasekolah sedia ada yang sudah berkelayakan untuk bertugas dalam bidang penjagaan bayi.
Lebih 2,000 pendidik memiliki kelayakan sedemikian, namun hanya sekitar empat peratus bertugas sebagai pendidik penjagaan bayi setakat Ogos. Selebihnya melakukan tugas yang melibatkan kanak-kanak dalam kumpulan usia yang lebih tua.
ECDA menyatakan ia sedang meneroka sokongan tambahan bagi para pendidik yang berminat dalam bidang penjagaan bayi bagi menggalakkan lebih ramai daripada mereka untuk menggalas peranan tersebut dan mendapatkan pensijilan jika diperlukan.
GERAN BAHARU BAGI PENGENDALI PRASEKOLAH
Secara berasingan, ECDA menyatakan ia akan memperkenalkan geran baharu untuk membantu pengendali prasekolah yang layak menyertai rangkaian yang disokong pemerintah, sebagai sebahagian daripada rancangan lebih luas untuk meningkatkan akses kepada khidmat prasekolah yang dimampui.
"Ini akan membolehkan lebih banyak pengendali, termasuk pengendali lebih kecil, meraih manfaat daripada sokongan pemerintah sambil terus menawarkan pelbagai program dan pilihan kepada keluarga," menurut agensi tersebut.
Langkah itu menyusuli ikrar PM Wong dalam NDR2026 untuk memberi lebih banyak bantuan kepada para pengendali yang mahu menyertai rangkaian tersebut dan memenuhi syarat-syaratnya. Beliau menarik perhatian bahawa pusat-pusat yang disokong pemerintah kini menyediakan tempat bagi sekitar 80 peratus kanak-kanak prasekolah dan rangkaian tersebut perlu diperluaskan supaya lebih banyak keluarga dapat menikmati yuran yang lebih rendah.
Butiran berhubung geran baharu itu masih diperincikan. ECDA sedang mendapatkan pandangan pengendali prasekolah dan sektor itu secara lebih meluas berhubung peralihan itu. Maklumat lanjut akan diumumkan pada lewat tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.