Skip to main content

Singapura

NDR2026: Kerjasama dan inisiatif M³+ boleh sokong ibu bapa dalam membesarkan anak-anak

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Aug 2026 08:13PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:07PM
  • Encik Zaqy Mohamad menyokong langkah pemerintah Singapura seperti peningkatan cuti penjagaan anak dan pengurangan yuran prasekolah untuk membantu keluarga.
  • Beliau menekankan pentingnya mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan kurang membebankan bagi ibu bapa membesarkan anak di Singapura.
  • Langkah-langkah baharu ini bertujuan mengurangkan kebimbangan kos hidup serta memberi peluang sama rata kepada semua anak, tanpa mengira latar belakang keluarga.
  • Kerjasama antara pemerintah, badan Melayu/Islam seperti MUIS, dan rangkaian M³+ dilihat penting untuk memperkukuh sokongan kepada keluarga yang memerlukan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Usaha menyokong keluarga tidak seharusnya tertumpu kepada meningkatkan kadar kelahiran, sebaliknya perlu memastikan ibu bapa dapat membesarkan anak-anak di Singapura dalam keadaan lebih selesa dan kurang terbeban.

Demikian pandangan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad dalam mengulas pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2026.

Encik Zaqy menyambut baik langkah-langkah pemerintah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong keluarga dan meringankan beban ibu bapa.

Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) penduduk Singapura merosot ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 0.87 pada 2025.

Menurut Jabatan Statistik Singapura, TFR bagi penduduk Melayu merupakan yang tertinggi iaitu pada kadar 1.53 berbanding Cina (0.70) dan India (0.92).

"Kita bukan hanya lihat isu ini atau dasar ini dari segi kelahiran bayi tetapi dari segi bagaimana kita dapat memberi keselesaan, menolong keluarga keluarga membesarkan anak-anak di Singapura dengan lebih baik dengan lebih senang.

"Pada masa yang sama mereka tidak perlu khuatir terlalu banyak mengenai kos kehidupan untuk kita membesarkan anak-anak di Singapura," kata Encik Zaqy.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama pihak media di Hab Islam Singapura di pada Isnin (24 Ogos).

Beliau berkata pendekatan baharu itu penting kerana keluarga hari ini berdepan pelbagai pertimbangan termasuk tuntutan pekerjaan, masa bersama anak-anak dan kos membesarkan keluarga.

LEBIH BANYAK MASA DILUANGKAN BERSAMA ANAK

Antara langkah yang diumumkan PM Wong ialah peningkatan cuti penjagaan anak, yang menurut Encik Zaqy dapat memberi ibu bapa lebih banyak masa untuk luangkan bersama anak-anak.

"Hari kita melihat ibu bapa muda mahu keseimbangan di antara pekerjaan dan juga keluarga mereka. Mereka mahu memberi masa, meluangkan masa untuk membesarkan anak-anak mereka," kata Encik Zaqy.

Beliau turut menyambut baik bagaimana pemerintah mengambil kira idea yang dikemukakan anggota Parlimen dan masyarakat dalam membentuk dasar baharu untuk menangani keprihatinan itu.

Encik Zaqy berharap peningkatan cuti penjagaan anak itu dapat memberi ibu bapa lebih banyak ruang untuk mengurus tanggungjawab keluarga terutama sekali mereka yang mempunyai ramai anak kecil.

“Saya rasa ini satu perkembangan baik yang saya berharap dapat dialu-alukan oleh ibu bapa muda kita supaya mereka tidak rasa bahawa mereka dikongkong jika mereka mempunyai ramai anak di Singapura,” katanya.
KURANGKAN KEBIMBANGAN MENGENAI YURAN PRASEKOLAH

Encik Zaqy berkata bahawa meskipun kos pendidikan di peringkat sekolah nasional secara amnya masih dalam kadar yang dimampui, keadaannya berbeza pula di peringkat prasekolah.

Ibu bapa masih perlu menanggung yuran bulanan yang mencecah sehingga ratusan dolar.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha pemerintah untuk mengurangkan lagi yuran prasekolah, termasuk bagi penjagaan kanak-kanak lepas sekolah dan penjagaan bayi sepenuh hari.

Bagi Encik Zaqy, langkah itu memberi isyarat bahawa pemerintah mahu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa muda.

“Bagi saya, ini satu petanda yang baik di mana pemerintah sedang cuba membantu ibu bapa muda supaya kekhuatiran dan bagi mereka untuk besarkan anak di Singapura tidak begitu membebankan,” katanya.
LEBIH BANYAK PELUANG

Encik Zaqy turut menyentuh pengumuman mengenai sokongan kewangan bagi setiap anak sehingga usia 17 tahun.

"Ia memberi bukan sahaja sumbangan tetapi satu sumber supaya kita memberi peluang bagi setiap anak tidak kira latar belakang mereka.

"Tidak kira adakah ibu bapa mereka mampu akan persekolahan mereka ataupun peluang-peluang yang lain seperti aktiviti-aktiviti kokurikulum (CCA), seperti Pendidikan di Luar Negara (Overseas Education), Lawatan Pembelajaran (Learning Journeys) dan sebagainya," kongsi Encik Zaqy.

Beliau berkata peluang untuk mendapat pendedahan yang sama penting kerana keadaan keluarga boleh mempengaruhi jenis pengalaman yang dapat diberikan kepada anak-anak.

“Saya rasa ini amat penting sebagai pendedahan bagi anak mereka dan bagi saya ini dapat memberikan mereka ruang supaya anak mereka dapat dibesarkan di samping anak yang lain,” katanya.
SETIAP KELUARGA PUNYAI MASALAH YANG BERBEZA, KOMPLEKS

Walaupun langkah-langkah baharu pemerintah dapat mengurangkan sebahagian kebimbangan keluarga, Encik Zaqy berkata setiap keluarga dalam keadaan yang berbeza.

Menurut beliau, terdapat keluarga yang mempunyai mekanisme untuk menangani cabaran dengan lebih baik kerana mempunyai sumber dan rangkaian sokongan keluarga.

Namun, bagi keluarga yang kurang bernasib baik, sokongan masyarakat boleh memainkan peranan penting.

Beliau melihat rangkaian M³+ sebagai satu platform yang berpotensi menggabungkan usaha pelbagai institusi dan agensi untuk membantu keluarga yang memerlukan.

MEMBINA KEYAKINAN IBU BAPA

Encik Zaqy melihat pengumuman NDR2026 sebagai usaha untuk mewujudkan keadaan yang lebih mesra ibu bapa dan menyokong golongan tersebut.

Baginya, matlamatnya bukan hanya untuk menggalakkan lebih ramai rakyat mempunyai anak tetapi memastikan mereka yang memilih untuk berkeluarga mempunyai keyakinan dan sokongan untuk membesarkan anak-anak di Singapura.

Encik Zaqy berharap agar program sedia ada yang dijalankan oleh badan-badan Melayu/Islam seperti Projek ARIF dan Bersamamu oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), serta pelbagai inisiatif di bawah M³+, dapat terus memperkukuh sokongan kepada keluarga yang memerlukan bantuan.

“Ini adalah satu satunya di mana kita melihat kerjasama di antara masjid masjid sukarelawan MUIS dan juga pemerintah untuk menyediakan jaringan sokongan kepada keluarga yang mungkin memerlukan lebih banyak sokongan terutama sekali mereka yang mempunyai kesulitan dengan bagaimana kita dapat menampung kos kehidupan anak mereka ke sekolah dan memerlukan sokongan sosial daripada kami,” katanya.

Bagi Encik Zaqy, usaha menyokong keluarga memerlukan kerjasama berterusan antara pemerintah dan masyarakat supaya lebih banyak keluarga dapat membesarkan anak-anak dengan lebih yakin dan mempunyai peluang untuk berkembang bersama.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita