Skip to main content

Singapura

NDR2026: Kepercayaan kekal antara kekuatan terbesar Singapura dalam dunia yang pesat berubah: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2026: Kepercayaan kekal antara kekuatan terbesar Singapura dalam dunia yang pesat berubah: PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan ucapan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 23 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 23 Aug 2026 11:08PM
  • Perdana Menteri Lawrence Wong menegaskan kepercayaan sebagai kekuatan utama Singapura dalam menghadapi dunia yang semakin tidak stabil dan berbahaya.
  • Beliau menekankan pentingnya Singapura terus menjalin hubungan antarabangsa, memperkukuh peranan dalam ASEAN, dan kekal relevan di peringkat global.
  • Singapura mengambil serius dakwaan Amerika Syarikat berkaitan buruh paksa dan tarif, serta menegaskan komitmen terhadap undang-undang dan penguatkuasaan.
  • PM Wong mengakui cabaran menjejaki rantaian bekalan global, namun menegaskan Singapura akan terus berhubung dengan Amerika dan menjelaskan pendiriannya.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dalam dunia di mana kepercayaan semakin sukar diperoleh, menjadi sebuah negara yang dipercayai kekal sebagai antara kekuatan terbesar Singapura, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (23 Ogos).

Dalam ucapannya sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026, PM Wong berkata tekanan yang semakin meningkat dalam perdagangan antarabangsa, persaingan antara kuasa-kuasa besar dan kemunculan teknologi baharu meningkatkan risiko ketegangan menjadi lebih buruk.

"Inilah dunia kita hari ini – lebih banyak persaingan, lebih tidak stabil dan lebih berbahaya berbanding sebelum ini.

"Ini bukan gangguan sementara. Inilah keadaan baharu yang perlu diharungi Singapura dan kita perlu terus bertahan untuk tahun-tahun mendatang," katanya.

Dalam menghadapi keadaan tersebut, Singapura tidak boleh bertindak dengan mengasingkan diri atau hanya menumpukan perhatian kepada kepentingan dalam negeri, kata PM Wong.

Singapura mencapai kejayaan dengan menjalin hubungan dan mencipta nilai bagi dunia.

Negara ini akan terus memperkukuh hubungan, kekal relevan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi rakyatnya, tambah beliau.

Sebagai hab utama perniagaan dan kewangan, Singapura memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global serta menghubungkan pasaran, modal, bakat dan idea.

"Semua kekuatan ini bergantung kepada satu perkara: Kepercayaan," kata PM Wong.

"Negara-negara mempercayai kita, perniagaan mempercayai kita, pelabur mempercayai kita."

"Mereka tahu Singapura merupakan sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, mempunyai institusi yang kukuh serta menghormati kontrak dan komitmen," katanya.

"Apabila Singapura memberikan kata-kata kita, kita menepatinya."

"Dalam dunia di mana kepercayaan semakin sukar diperolehi, ini kekal sebagai antara kekuatan terbesar kita. Kita akan membina berdasarkan kepercayaan ini dan mempererat hubungan kita dengan dunia," tambah PM Wong.

Sehubungan itu, Singapura akan melakukan sedaya upaya untuk memperkukuhkan perpaduan dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) apabila negara ini menjadi pengerusi pertubuhan itu tahun depan.

"Kita juga akan memperkukuh kerjasama di luar rantau kita – menyatukan pelbagai rakan kongsi, mencari titik persamaan serta memastikan saluran dialog dan kerjasama terus terbuka," katanya.

Namun Singapura tidak boleh menganggap negara lain akan datang membantu apabila berdepan kesukaran.

"Kita mesti mampu berdiri sendiri dan menjaga diri kita sendiri," kata PM Wong.

Beliau menarik perhatian kepada tindakan Singapura membawa pulang rakyatnya dengan segera, mendapatkan bekalan penting dan melaksanakan pakej sokongan bagi pekerja, isi rumah dan perniagaan ketika ketegangan Timur Tengah berlaku.

Keutamaan segera adalah untuk menstabilkan keadaan dan membantu rakyat Singapura mengharungi ketidaktentuan itu.

"Namun kita perlu melangkah lebih jauh dan bersiap sedia menghadapi perubahan lebih besar yang bakal berlaku," katanya.

DUNIA SEMAKIN TIDAK STABIL, BERBAHAYA

Pada awal ucapannya, PM Wong berkata ketegangan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan perubahan dalam keseimbangan kuasa dan negara-negara bersaing untuk memperluaskanpengaruh.

Pandemik COVID-19 menyebabkan gangguan bekalan dalam sistem perdagangan global manakala perang Rusia dengan Ukraine menunjukkan risiko terlalu bergantung kepada satu pembekal.

Hakikatnya, perdagangan kini tidak lagi sebebas dahulu dan semakin dipengaruhi pertimbangan keselamatan, kata PM Wong.

Peperangan besar di Eropah dan Timur Tengah mungkin kelihatan berasingan dan jauh dari Singapura, namun ketegangan tidak semestinya kekal terbatas di sesuatu kawasan.

Negara-negara lain boleh terheret sama disebabkan pakatan dan kepentingan masing-masing.

Teknologi baharu turut meningkatkan risiko, dengan dron kos rendah mampu menyebabkan kerosakan besar terhadap pasukan yang lebih kuat.

"Apabila semua faktor ini digabungkan, risiko salah perhitungan dan keadaan menjadi lebih buruk jauh lebih tinggi. Ketegangan serantau boleh dengan cepat berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar," kata PM Wong.

Negara-negara juga semakin memberi tekanan terhadap negara lain menerusi paksaan ekonomi, campur tangan asing, kempen maklumat palsu dan serangan siber terhadap prasarana kritikal.

"Orang ramai menyifatkannya sebagai taktik zon kelabu. Anda mungkin tidak melihat tentera merentasi sempadan, tetapi kerosakan yang berlaku boleh sama serius," katanya.

SINGAPURA AMBIL SERIUS DAKWAAN AMERIKA

Menyentuh tarif Amerika Syarikat, PM Wong berkata pemerintah di seluruh dunia semakin menggunakan perdagangan, teknologi dan pelaburan untuk mencapai matlamat strategik dan keselamatan masing-masing.

Selepas tarif "Liberation Day" diputuskan menyalahi undang-undang, pentadbiran Amerika mengenakan semula tarif atas dakwaan berkaitan penggunaan buruh paksa.

Amerika menyiasat 60 rakan dagang berhubung dakwaan kegagalan menguatkuasakan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Daripada jumlah itu, 54 ekonomi didapati gagal mengenakan dan menguatkuasakan larangan import tersebut dengan berkesan.

Bulan lalu, Amerika mengumumkan tarif 12.5 peratus ke atas pelbagai barangan Singapura, dengan mendakwa negara ini gagal mengharamkan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

PM Wong berkata buruh paksa merupakan masalah global dan pendekatan lebih baik untuk menanganinya adalah menerusi kerjasama antarabangsa dan piawaian bersama.

Namun Amerika menjangkakan negara-negara mempunyai langkah dalam negeri untuk menyekat barangan import yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Amerika juga baru-baru ini membangkitkankebimbangan mengenai barangan China yang disalurkan menerusi negara lain untuk mengelakkan tarif.

"Singapura memandang serius kedua-dua isu ini. Kita mempunyai peraturan dan undang-undang yang jelas. Kita menguatkuasakannya dan kita menjangkakan syarikat-syarikat yang beroperasi di sini mematuhinya," kata PM Wong.

Singapura akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sekiranya terdapat bukti berlaku kesalahan, tambah beliau.

"Namun kita juga perlu bersikap realistik mengenai apa yang mampu dilakukan Singapura sendiri," katanya.

Sebagai pusat utama bagi eksport semula dan pemindahan barangan, produk dari seluruh dunia melalui Singapura.

Keadaan itu menyebabkan mustahil untuk menjejaki dan mengesahkan keseluruhan rantaian bekalan bagi setiap produk, kata PM Wong.

"Kita akan terus berhubung dengan Amerika dan menjelaskan pendirian kita," katanya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita