NDR2026: Golongan bujang tidak perlu bimbang peluang dapat flat HDB berkurangan
Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara, Dr Syed Harun, berkata golongan bujang tidak perlu bimbang tentang peluang mendapatkan rumah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
SINGAPURA: Golongan bujang tidak perlu bimbang peluang mereka mendapatkan flat HDB akan berkurangan apabila pemerintah memberi lebih banyak sokongan kepada pemohon kali pertama yang mempunyai anak.
Ini kerana selain sebahagian besar flat diperuntukkan untuk pemohon kali pertama, pemerintah terus memantau trend demografik penduduk dan keperluan pelbagai lapisan masyarakat dalam menyesuaikan bekalan flat yang disediakan.
Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara merangkap Pendidikan Dr Syed Harun Alhabsyi, dalam satu wawancara bersama wartawan Hidir Mohd Ezat.
"Saya boleh memahami perasaan risau sebegitu sebenarnya. Peluang undian tambahan ini bertujuan untuk membantu keluarga pemohon kali pertama yang mempunyai anak ataupun yang sedang menantikan kelahiran anak," kata Dr Syed Harun.
Mulai Februari 2027, pemohon kali pertama yang mempunyai atau sedang menantikan kelahiran anak akan menerima satu peluang undian tambahan bagi setiap anak warga Singapura berusia 18 tahun ke bawah. Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 7,000 pemohon setiap tahun.
Pada masa yang sama, pemerintah turut menaikkan had pendapatan bulanan isi rumah bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) keluarga daripada S$14,000 kepada S$16,000. Bagi golongan bujang, had itu naik daripada S$7,000 kepada S$8,000. Had bagi kondominium eksekutif pula meningkat daripada S$16,000 kepada S$18,000.
Perubahan-perubahan tersebut diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (23 Ogos).
"Dengan perubahan ini, kami berharap bahawa 8 daripada 10 rumah Singapura akan terus layak untuk mendapatkan perumahan awam yang bersubsidi," kata Dr Syed Harun.
SOKONGAN UNTUK KELUARGA PEMOHON KALI PERTAMA
Dr Syed Harun menjelaskan pemohon kali pertama dengan anak atau yang sedang menunggu kelahiran anak diberi tumpuan lebih tinggi kerana keperluan perumahan mereka lazimnya lebih mendesak.
"Untuk terus menyokong keluarga-keluarga tersebut dalam perjalanan mereka terutama sekali mereka yang ingin mendirikan rumah tangga, membina keluarga mereka, kami mahu memberi lebih banyak sokongan kepada keluarga-keluarga pemohon kali pertama yang mempunyai anak dan juga mereka yang sedang menantikan kelahiran anak mereka," kata beliau.
Beliau menjelaskan bahawa pemohon kali pertama tanpa anak tetap menerima sokongan besar dalam sistem permohonan flat.
"Sebenarnya sebahagian besar bekalan flat tiga bilik dan lebih besar diperuntukkan kepada keluarga pemohon kali pertama. Sebagai contoh, Flat standard sekurang kurangnya 80% flat BTO tiga bilik dan 90% lagi flat BTO empat bilik ataupun yang lebih besar diperuntukkan kepada keluarga pemohon kali pertama dan bagi mereka yang memilih Flat Plus atau Prime pula sekurang kurangnya 90% flat BTO 3 bilik dan yang lebih besar diperuntukkan kepada keluarga pemohon kali pertama," jelas Dr Syed Harun.
"Jadi bagi pemohon flat kali pertama, ingin saya redakan kerisauan mereka bahawa kami akan terus memantau pasaran perumahan dengan teliti dan juga menyemak langkah-langkah ini apabila perlu," kata Dr Syed Harun.
BEKALAN KUKUH, PASARAN KIAN STABIL
Beliau berkata pemerintah turut mengekalkan bekalan perumahan yang kukuh bagi memastikan permintaan dapat dipenuhi.
"Buat masa ini, pemerintah menggunakan pelbagai langkah untuk mengawal harga perumahan. HDB merancang bekalan baru dengan teliti untuk memenuhi perumahan dalam jangka pendek sambil mengambil kira trend-trend demografik dan juga penduduk dalam jangka panjang."
"Selain dari itu, dengan usaha ini, kadar permohonan dalam kalangan keluarga pemohon kali pertama sudah pun stabil juga. Kami dapati bahawa pasaran jualan semula HDB juga telah stabil," tambahnya.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan terus memantau pasaran jualan semula dan menyesuaikan langkah jika perlu, memandangkan keperluan perumahan rakyat Singapura semakin pelbagai.
"Sama ada bagi keluarga atau warga emas mahupun golongan yang bujang, kami akan terus merancang dengan lebih awal untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.
KEPERLUAN MASYARAKAT YANG BERBEZA PERLU DIIMBANGI
Dr Syed Harun turut berkata HDB menawarkan pelbagai jenis flat untuk memenuhi keperluan berbeza, termasuk unit lebih kecil untuk warga emas, golongan bujang dan mereka yang cenderung kepada rumah yang lebih kecil.
"HDB menawarkan pelbagai jenis flat untuk memenuhi keperluan perumahan keluarga. Rumah empat bilik terus mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan keluarga."
"Sebagai sebuah negara yang kecil dengan tanah yang terhad, kita juga perlu memanfaatkan tanah dengan sebaik mungkin dan perancangan penggunaan tanah yang lebih awal amat penting sekali untuk memastikan bahawa bekalan perumahan awam dapat terus memenuhi permintaan rakyat Singapura," katanya.
Dalam jangka panjang, pemerintah juga sedang meneroka cara untuk menambah bekalan flat yang lebih besar bagi keluarga yang lebih besar, sambil memastikan penggunaan tanah dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.