Skip to main content

Singapura

NDR2026: Ciri berbilang kaum SG akan terus dipelihara meski terbuka kepada pendatang baharu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Aug 2026 10:25PM Dikemas Kini : 04 Sep 2026 10:43PM
  • Perdana Menteri Lawrence Wong menegaskan Singapura akan terus memelihara identiti berbilang kaum dan agama walaupun menerima pendatang baharu.
  • Beliau menyatakan dasar mengekalkan imbangan kaum dan integrasi pendatang baharu penting untuk memastikan setiap masyarakat rasa dihargai dan diwakili.
  • Pemerintah akan mengurus pertumbuhan penduduk dan tenaga kerja asing secara terkawal, sambil memastikan rakyat Singapura kekal sebagai majoriti.
  • PM Wong menekankan komitmen kepada nilai bersama dan integrasi sebagai asas kekuatan negara menghadapi cabaran masa depan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Identiti Singapura sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama akan terus dipelihara meskipun negara ini terus terbuka kepada pendatang baharu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (23 Ogos).

Dalam ucapannya semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026, PM Wong berkata rakyat Singapura perlu yakin bahawa negara yang mereka kenali dan hargai ini akan terus dipelihara.

"Setiap masyarakat akan terus mempunyai tempat di Singapura – bahasa, budaya dan tradisi masing-masing," katanya.

Atas sebab itu, Singapura akan terus mengekalkan secara umumnya imbangan kaum sedia ada.

Menurut PM Wong, dasar itu telah memberi manfaat kepada Singapura dengan memastikan setiap masyarakat yakin bahawa tempat, perwakilan dan suara mereka akan terus terjamin.

Pada masa yang sama, Singapura akan terus berusaha memperkukuh integrasi, yang memerlukan usaha daripada kedua-dua pihak.

"Pendatang baharu mesti berusaha sedaya upaya untuk menyesuaikan diri dan rakyat Singapura juga harus menyambut mereka dengan hati terbuka," katanya.

ALU-ALUKAN WARGA BAHARU

PM Wong berkata meskipun pemerintah mengumumkan pelbagai langkah untuk menyokong keluarga, Singapura perlu bersikap realistik kerana kadar kesuburan keseluruhan negara masih dijangka jauh di bawah paras penggantian.

"Hampir setiap masyarakat menghadapi cabaran ini hari ini," katanya.

"Sekiranya kita hanya bergantung kepada kelahiran, jumlah rakyat kita akan berkurangan. Kita akan menua dengan lebih cepat dan jumlah rakyat Singapura lebih muda untuk menyokong warga emas yang semakin ramai juga akan berkurangan."

Keadaan itu, menurut PM Wong, akan membawa kesan lain terhadap ekonomi dan masyarakat Singapura dalam jangka panjang.

"Atas sebab itulah selama bertahun-tahun, kita menambah jumlah penduduk kita dengan mengalu-alukan warga baharu. Ini bukan sesuatu yang baharu. Singapura sentiasa dibentuk oleh imigresen," katanya.

Hampir semua rakyat Singapura mempunyai ibu bapa, datuk nenek atau moyang yang berasal dari negara lain, kata PM Wong.

Pendatang baharu hari ini meneruskan perjalanan itu, sama ada sebagai anggota keluarga atau mereka yang datang ke Singapura untuk bekerja.

Kini, satu daripada setiap tiga perkahwinan melibatkan seorang warga Singapura dengan bukan rakyat tempatan.

Sebahagian yang lain datang ke Singapura untuk bekerja dengan membawa kemahiran dan kepakaran yang diperlukan negara sebelum memilih untuk menetap di sini.

"Itulah sebabnya menjadi rakyat Singapura tidak pernah ditentukan oleh keturunan atau dari mana asalnya keluarga anda," kata PM Wong.

"Ia sentiasa mengenai komitmen – komitmen untuk mengutamakan Singapura, komitmen kepada nilai dan cara hidup kita serta keyakinan bahawa, walau apa pun latar belakang kita, masa depan kita harus dibina bersama."

TENAGA KERJA ASING

PM Wong berkata kedudukan Singapura kini jauh lebih kukuh berbanding ketika mencapai kemerdekaan pada 1965, namun ia kekal sebuah negara kecil yang mengharungi dunia yang semakin tidak menentu.

Apabila seseorang datang ke Singapura, menerima nilai-nilai negara ini dan menjadikan ikrar Singapura sebagai ikrar mereka sendiri, mereka tidak melemahkan identiti negara tetapi sebaliknya memperkukuhnya dengan membawa perspektif dan tenaga baharu.

Matlamat pemerintah adalah untuk memperbaharui jumlah penduduk tempatan secara terkawal dan mampan, sambil menguruskan saiz tenaga kerja asing.

Singapura mengalu-alukan tenaga kerja asing untuk melengkapi tenaga kerja tempatan, tetapi berbuat demikian secara berhati-hati dan terkawal.

"Kita akan sentiasa memastikan rakyat Singapura kekal sebagai golongan majoriti di negara kita sendiri," kata PM Wong.

Sehubungan itu, jumlah keseluruhan penduduk dan tenaga kerja Singapura akan berkembang dengan lebih perlahan pada tahun-tahun akan datang.

PM Wong berkata syarikat sering meminta pemerintah melonggarkan dasar tenaga kerja hijrahan, khususnya dalam sektor perkhidmatan, dengan alasan pekerjaan tersebut tidak mahu dilakukan oleh rakyat Singapura.

"Namun pemegang Permit Kerja sudah pun merupakan kumpulan terbesar dalam kalangan pemegang pas kerja asing di Singapura.

"Jadi, walaupun kita hanya melonggarkan sedikit dasar kita, ia boleh menyebabkan peningkatan besar pada jumlah mereka. Dan itu bukan jalan yang mahu kita ambil," katanya.

Singapura perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut, dengan lebih banyak pertumbuhan pada masa hadapan didorong teknologi, produktiviti dan usaha membolehkan setiap rakyat Singapura mencapai potensi sepenuhnya.

Penduduk Singapura akan terus berubah sedang pendatang baharu menyertai masyarakat dan generasi baharu membesar bersama.

"Namun apa yang menjadikan kita rakyat Singapura akan terus kekal – identiti dan nilai bersama, komitmen kita terhadap satu sama lain serta ikrar kita yang menyatukan kita sebagai satu rakyat," kata PM Wong.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita