Skip to main content

Singapura

NDR2025: WP gesa pemerintah dampingi secara meluas, teroka semua pilihan di tengah ketidaktentuan global

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Aug 2025 09:50AM Dikemas Kini : 19 Aug 2025 12:00AM
  • Parti Pekerja menggesa pemerintah untuk “mendampingi lebih banyak pihak dan meneroka semua pilihan” di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
  • Parti Pekerja menyatakan pemerintah perlu “menangani kebimbangan semasa” yang dihadapi perniagaan dan pekerja, termasuk kos sewa yang meningkat, pengangguran berkaitan kemahiran, dan “kadar pertumbuhan pendapatan sebenar yang perlahan”.
  • Encik Wong turut mengumumkan program latihan baharu yang dibiayai pemerintah.
  • Parti Pekerja menyatakan program ini perlu direka bentuk dengan perlindungan bagi memastikan latihan amali dan perantisan (apprenticeship) yang dibiayai pemerintah tidak digunakan oleh syarikat sebagai “sumber tenaga kerja murah dan disubsidi”.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebagai memberi respons kepada ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (17 Ogos), Parti Pekerja (WP) menggesa pemerintah untuk “mendampingi lebih banyak pihak dan meneroka semua pilihan” di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan lazimnya dilihat sebagai ucapan politik paling penting pada setiap tahun.

Daripada kecerdasan buatan (AI) hinggalah ke skim latihan baharu, Encik Wong menyentuh pelbagai isu dalam ucapannya.

Dalam kenyataannya pada awal pagi Isnin, parti pembangkang itu merujuk kepada laporan tenaga buruh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan awal bagi suku kedua tahun ini, yang menyatakan bahawa ketidaktentuan dijangka berterusan dalam bulan-bulan akan datang dan mungkin menjejas pengambilan pekerja serta pertumbuhan gaji.

“Dalam keadaan yang berhati-hati ini, Parti Pekerja menggesa pemerintah supaya mendampingi lebih banyak pihak dan meneroka semua huraian yang dibentangkan dengan niat baik, termasuk yang belum diterokai sebelum ini,” kata parti itu.

“Singapura tidak seharusnya meninggalkan sebarang kemungkinan dalam usaha kolektif kita untuk membina sebuah negara yang benar-benar berdaya tahan bagi masa depan dan terus mengharumkan nama Singapura.”

Parti itu menyatakan pemerintah perlu “menangani kebimbangan semasa” yang dihadapi perniagaan dan pekerja, termasuk kos sewa yang meningkat, pengangguran berkaitan kemahiran, dan “kadar pertumbuhan pendapatan sebenar yang perlahan” iaitu hanya 0.7 peratus setahun sepanjang lima tahun lalu.

Ia mengulangi cadangan dalam manifestonya agar JTC Corporation memperluas pegangan pasarannya dalam ruang perindustrian dan terus menawarkan pilihan sewa rendah pada pelbagai tahap harga nilai bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME), selaras dengan kemudahan yang dikendalikan sektor swasta.

Parti itu juga menggesa pemerintah supaya “segera memantau dan kerap menerbitkan” ukuran bagi pengambilan pekerja yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya (underemployment), serta menubuhkan gaji minimum berkanun.

“Kami bersetuju dengan pendekatan untuk menambah baik usaha pencarian pekerjaan bagi rakyat Singapura, dan meminta agar agensi berkaitan mempercepatkan pelaksanaan program ini dengan ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan,” kata WP.

“Daripada pengalaman kami, ramai penduduk yang dirujuk ke e2i hanya menerima kaunseling kerjaya, bukan sokongan padanan kerja secara langsung yang benar-benar mereka perlukan,” tambah parti itu, merujuk kepada Institut Pekerjaan dan Daya Kerja di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Dalam Pilihan Raya Umum 2025, Parti Pekerja mengekalkan 10 kerusi di parlimen dengan mengekalkan GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang.

Ia juga akan mempunyai dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dalam parlimen akan datang.
KECERDASAN BUATAN

Di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesan kecerdasan buatan (AI) ke atas pekerjaan, Encik Wong memberi jaminan bahawa rakyat Singapura kekal sebagai tumpuan utama dalam strategi ekonomi negara.

Walaupun teknologi akan menyebabkan sesetengah pekerjaan berubah dan dihapuskan, beliau berkata pekerjaan baharu juga akan muncul.

Parti Pekerja menyatakan bahawa walaupun AI dan teknologi baharu akan membantu perniagaan, ia juga akan “mengubah landskap pekerjaan secara kekal, menyebabkan ramai rakyat Singapura ketinggalan”.

Ia mengulangi cadangan manifestonya agar terdapat lebih banyak kerjasama antara kementerian pendidikan dan tenaga kerja untuk memastikan kurikulum sekolah selari dengan “keperluan yang sentiasa berubah-ubah”.

Singapura perlu melaksanakan “gelung maklum balas mengenai permintaan kemahiran” daripada industri bagi reka bentuk kurikulum, pembiayaan untuk “aspek jurang kemahiran struktur” dan bimbingan kerjaya.

“Pendekatan bersasar ini memastikan sistem pendidikan kita dapat membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mencapai laluan kerjaya bernilai tinggi di dalam dan luar negara,” kata WP.

Parti itu juga menyeru agar bilangan pendidik bersekutu ditambah, yang boleh membawa kepada “pengurangan saiz kelas yang lebih bermakna”.

Ia turut menggesa peralihan daripada peperiksaan kepada penilaian berterusan dan pendekatan bersepadu (through-train).

“Akhirnya, matlamat kami adalah untuk mewujudkan sistem pendidikan yang membangunkan individu yang seimbang dengan keyakinan dan kebolehan untuk berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah,” tambahnya.

Parti itu juga menggesa penambahbaikan terhadap jaringan keselamatan sosial, termasuk memperkenalkan insurans pemberhentian kerja dan mewajibkan faedah pemberhentian kerja bagi mereka yang diberhentikan dari syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 25 pekerja.

Dalam ucapannya, Encik Wong turut mengumumkan program latihan baharu yang dibiayai pemerintah.

Ia akan menyediakan peluang latihan untuk graduan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.

Skim ini akan bermula dengan pelaksanaan berskala kecil dan akan diperluas sekiranya ekonomi merosot, katanya.

Parti Pekerja menyatakan program ini perlu direka bentuk dengan perlindungan bagi memastikan latihan amali dan perantisan (apprenticeship) yang dibiayai pemerintah tidak digunakan oleh syarikat sebagai “sumber tenaga kerja murah dan disubsidi”.

“Harus ada metrik prestasi yang jelas dan komitmen telus daripada syarikat yang menyertai untuk menimbangkan pengambilan peserta latihan secara tetap selepas tempoh latihan berakhir,” tambahnya.

Semua peserta latihan juga perlu menerima perlindungan asas di tempat kerja, termasuk cuti sakit bergaji dan persekitaran kerja yang selamat.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita