Skip to main content

Singapura

NDR2025: Vape akan dianggap sebagai "isu dadah", SG bakal tingkat penguatkuasaan

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2025: Vape akan dianggap sebagai "isu dadah", SG bakal tingkat penguatkuasaan

Pengunjung sebuah kelab malam dalam pusat beli belah di Coleman Street, termasuk beberapa orang yang disyaki memiliki vape serta vape yang dirampas dalam operasi bersama antara HSA dan SPF pada 16 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 17 Aug 2025 09:53PM Dikemas Kini : 17 Aug 2025 10:03PM
SINGAPURA: Singapura akan menganggap penggunaan vape sebagai "isu dadah" dan memperketat penguatkuasaannya, sebagai langkah mengukuhkan pendirian pemerintah terhadap rokok elektronik yang dilarang tetapi kini semakin berleluasa di kalangan belia di negara ini.

"Setakat ini kita menangani penggunaan vape seperti tembakau – hukuman paling berat adalah denda. Tetapi itu tidak lagi mencukupi," kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (17 Ogos).

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau, yang disampaikan di ibu pejabat Institut Pendidikan Teknikal di Ang Mo Kio, PM Wong menambah bahawa pihak berkuasa akan mengenakan hukuman yang "lebih berat", termasuk penjara dan hukuman yang lebih berat lagi bagi mereka yang menjual vape dengan bahan berbahaya.

Satu "kempen pendidikan awam besar-besaran" juga akan dilancarkan, bermula di sekolah-sekolah, Institut Pengajian Tinggi dan sewaktu Perkhidmatan Negara.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan menerajui usaha ini, kata perdana menteri, sambil menggambarkannya sebagai "gerakan seluruh pemerintah yang mantap".

Sebelum itu dalam ucapan beliau, PM Wong menyatakan bagaimana rakyat Singapura muda hari ini menikmati lebih banyak peluang berbanding sebelumnya dan mendapat manfaat daripada banyak kelebihan yang tidak wujud sebelum ini.

Namun, mereka juga menghadapi cabaran-cabaran yang sangat berbeza yang lebih rumit dari beberapa segi, tambahnya.

"Setiap generasi bimbang tentang pengaruh negatif yang memberi kesan kepada golongan muda," kata PM Wong, sambil menyebut bagaimana komik dan muzik rock pernah dipandang serong.

"Hari ini tiada siapa yang menganggap perkara-perkara ini berbahaya. Tetapi terdapat risiko-risiko baharu dan sebahagian daripadanya adalah benar."

Penggunaan vape adalah salah satu kebimbangan serius sedemikian, kata perdana menteri, sambil berkata walaupun dilarang, vape masih diseludup masuk.

Sebilangan besar vape mengandungi bahan-bahan yang menyebabkan ketagihan dan berbahaya, termasuk etomidate – ubat bius yang bertindak cepat, yang boleh menjadi berbahaya apabila digunakan di luar kawalan perubatan.

Vape yang dicampur dengan etomidate itu dikenali sebagai Kpods, dan sejak kebelakangan ini, ia menjadi tumpuan di Singapura.

"Vape itu sendiri hanyalah sebuah peranti. Bahaya sebenar adalah apa yang ada di dalamnya," kata PM Wong. "Sekarang, ia adalah etomidate. Pada masa hadapan, ia mungkin sesuatu yang lebih teruk, lebih kuat, dadah yang jauh lebih berbahaya."

KEBURUKAN TEKNOLOGI

Satu lagi kebimbangan yang diketengahkan oleh perdana menteri dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau adalah kesan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

"Ramai ibu bapa bimbang bahawa anak-anak mereka menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan skrin," kata PM Wong. "Ternyata, ini bukanlah kebimbangan baharu ... Tetapi persekitaran hari ini adalah pada skala yang cukup berbeza."

"Mereka yang online, sentiasa berhubung dan sentiasa boleh dihubungi melalui telefon mereka, 24/7. Jadi, lebih sukar untuk ibu bapa menetapkan batasan, atau bahkan untuk mengetahui apa yang anak-anak mereka lakukan."

Orang muda yang tenggelam dalam dunia maya mungkin putus hubungan dengan dunia sebenar dan membesar secara lebih terpencil secara sosial atau terdedah kepada kandungan berbahaya, kata PM Wong.

Ini boleh menghakis keyakinan diri, perkembangan emosi dan kesejahteraan mental mereka dari masa ke masa, tambahnya.

PM Wong juga menyentuh tentang "kebimbangan yang semakin meningkat" mengenai penggunaan AI oleh pelajar, sambil membangkitkan contoh seorang guru yang mendapati bahawa karangan pelajarnya bertambah baik dalam semalaman.

Beliau kemudian mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya menggunakan ChatGPT.

Kebimbangannya adalah "bahawa pelajar mungkin terlalu bergantung pada AI dan mengambil jalan pintas; bahawa mereka mungkin tidak berusaha untuk belajar dan menguasai asas-asasnya; dan akhirnya, mereka mungkin tidak pernah belajar untuk berfikir sendiri", tambah perdana menteri.

Menyedari "kelebihan besar" dengan keterhubungan secara digital, PM Wong menggesa rakyat Singapura agar menggunakan teknologi ini sepenuhnya tetapi pada masa yang sama "melihat dengan jelas" keburukannya dan menguruskannya dengan berhati-hati.

"Dan itu bermakna mencapai keseimbangan yang tepat. Keseimbangan antara melindungi anak muda kita daripada bahaya yang mungkin timbul dan melengkap serta memperkasakan mereka untuk memanfatkan sepenuhnya teknologi sedia ada," kata perdana menteri.

Ini harus bermula dari zaman bayi - dan pemerintah akan melakukan lebih banyak usaha untuk menyokong ibu bapa dari sudut tersebut, kata PM Wong.

Beliau menyatakan bahawa beberapa negara sudahpun meluluskan undang-undang baharu untuk memperketat akses kanak-kanak kepada Internet dan media sosial.

Pada November 2024, Australia melarang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun daripada mengakses platform media sosial. Perancis dan beberapa negeri di Amerika Syarikat juga mengehadkan akses media sosial untuk kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa.

Singapura sedang mengkaji pengalaman negara-negara ini dengan teliti "untuk memahami apa yang benar-benar berkesan", dan akan menimbangkan apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengukuhkan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak, tambahnya.

Di sekolah, guru memainkan peranan penting dalam mengajar pelajar tentang kesejahteraan siber, membantu mereka menjadi pengguna teknologi yang bijak dan bertanggungjawab, kata perdana menteri.

"Ini bermakna jangan percaya segala yang dikatakan oleh internet atau AI. Sebaliknya, persoalkan, renungkan dan bentuk pertimbangan anda sendiri," tambahnya.

Di peringkat pengajian tinggi, pelajar dari semua disiplin sedang mempelajari kemahiran digital, termasuk cara membina dan menggunakan model AI untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah dalam bidang mereka, kata PM Wong.

Dengan teknologi yang berkembang begitu pesat, sesetengah ibu bapa mungkin merasakan keperluan untuk memulakan pendidikan anak-anak mereka lebih awal, tambahnya.

"Tetapi kita perlu berhati-hati. Kerana pembelajaran bukan hanya tentang mendapatkan banyak kandungan dan pengetahuan. Ia adalah tentang membangunkan keupayaan untuk berfikir, menghuraikan masalah dan terus belajar sepanjang hayat," kata perdana menteri.

"Dan dalam era AI ini, apa yang benar-benar penting adalah ciri-ciri manusia yang tidak dapat ditiru oleh mesin, iaitu watak, nilai, empati dan matlamat kehidupan."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita