Skip to main content

Singapura

NDR2025: Sokongan masyarakat perlu seiring dengan inisiatif 'Kejiranan Sihat Menua' agar warga emas tidak rasa keseorangan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sokongan masyarakat diperlukan seiring dengan usaha-usaha pemerintah untuk membantu dan menyokong warga emas menua dengan lebih sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kesihatan, Mariam Jaafar berkongsi pandangan demikian tentang inisiatif 'Kejiranan Sihat Menua' yang diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025.

“Sebagai ketua GPC Kesihatan, tumpuan saya memang mudah. Kita tidak hanya mahu rakyat Singapura hidup lebih lama tetapi hidup dengan lebih baik dan sihat," kata Cik Mariam yang juga merupakan Anggota Parlimen bagi divisyen Woodlands dalam GRC Sembawang.

"Saya tahu ramai daripada penduduk Woodlands - warga emas kita masih mahu aktif dan terlibat dalam masyarakat. Jadi, saya sangat gembira dengan pengumuman tentang 'Kejiranan Sihat Menua'. Mereka perlukan sokongan untuk penjagaan kesihatan, untuk kekal aktif, untuk perumahan dan juga memerlukan sokongan masyarakat supaya mereka dapat menua dengan bermakna dan bermaruah," tambahnya.

Related article image
Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kesihatan, Mariam Jaafar. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Di Woodlands misalnya, Cik Mariam berkongsi bahawa terdapat pelbagai program kesihatan yang sudah dijalankan termasuk zumba, yoga, aktiviti berbasikal “Kampung Cycle” dan juga 'trekking'.

Ini selain sebuah dapur gaya ‘MasterChef’ yang akan dibangunkan di Kelab Masyarakat Woodlands dan akan dibuka pada November ini untuk kelas-kelas masakan menggunakan resipi sihat.

Usaha-usaha sebegini boleh saling melengkapi inisiatif 'Kejiranan Sihat Menua’.

Ia akan menyokong warga emas Singapura dengan lebih baik di kawasan kediaman mereka sendiri.

Langkah itu dilihat sebagai usaha penting untuk memastikan warga emas Singapura bukan hanya dapat hidup lebih lama bahkan dapat hidup lebih sihat dan aktif.

Di bawah inisiatif itu, titik hubungan fizikal akan lebih mudah diakses, perkhidmatan berasaskan rumah akan diperkembangkan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan juga akan dibawa lebih dekat kepada warga emas.

PASTIKAN WARGA EMAS TIDAK RASA KESEORANGAN

Bagi AP GRC East Coast di divisyen Fengshan, Hazlina Abdul Halim pula pengumuman itu akan disambut baik para penduduk di kawasan itu memandangkan ramai antara mereka sudah menjangkau usia 65 tahun ke atas.

"Yang paling penting bagi warga emas kita ini ialah untuk kita sama-sama memastikan mereka tidak rasa tersendiri. Mereka ada sokongan untuk menyertai acara-acara di luar rumah dan apabila di rumah, mereka ada sokongan yang mereka perlukan sama ada menerusi pemantauan keluarga, mahupun pembantu atau interaksi yang akrab di antara jiran-jiran. Jadi, saya berharap untuk mendapat lebih banyak maklumat bagaimana Kejiranan Sihat Menua ini akan diperluaskan," kongsi Cik Hazlina kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Related article image
Anggota Parlimen GRC East Coast di divisyen Fengshan, Hazlina Abdul Halim. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Beliau juga menekankan pentingnya hubungan kekeluargaan serta kejiranan yang erat untuk memastikan warga emas tidak keseorangan.

“Cabarannya ialah untuk mendapat sokongan supaya mereka rasa yakin untuk keluar dari rumah untuk mengikuti acara-acara kemasyarakatan dan mencari peluang sama ada menjadi sukarelawan mahupun meraih pendapatan kecil. Jadi, saya mengharapkan ada di antara kita yang merupakan jiran dan ahli keluarga untuk sentiasa menjenguk warga senja kita," ujar Cik Hazlina.

Inisiatif ‘Kejiranan Sihat Menua’ itu akan dimulakan dahulu di Toa Payoh iaitu salah satu bandar tertua di Singapura, dengan hampir satu perempat penduduk berusia 65 tahun ke atas.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan berkongsi lebih banyak butiran mengenai inisiatif itu dalam masa akan datang.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita