Skip to main content

Singapura

NDR2025: Rumah baharu, ketersambungan lebih baik di Kranji & Sembawang antara pelan segarkan utara SG

Berpuluh-puluh ribu rumah baharu dan rangkaian pengangkutan yang lebih baik di Kranji dan Sembawang menjadi antara rancangan pemerintah untuk menyegarkan kawasan utara Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2025: Rumah baharu, ketersambungan lebih baik di Kranji & Sembawang antara pelan segarkan utara SG

Gambaran artis bagi blok perumahan di pesisir pantai di kawasan Limbungan Kapal Sembawang yang dibangunkan semula. (Gambar: Singapore Institute of Planners)

Diterbitkan : 17 Aug 2025 10:39PM
  • Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR2025) pada Ahad (17 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong menekankan betapa pentingnya memanfaatkan kawasan tanah Singapura yang terhad melalui pembangunan semula dan inovasi.
  • Pemerintah kini sudah mengambil semula tanah bagi bekas tapak lumba kuda Singapore Racecourse, dan mengumumkan bahawa tapak berkenaan akan dibangunkan semula menjadi sebuah kawasan perumahan baharu, dengan sekitar 14,000 rumah awam dan swasta.
  • Ada juga rancangan untuk membangunkan semula tapak Limbungan Kapal Sembawang bersejarah yang dibina pada 1938 oleh pihak British sebagai pangkalan tentera laut.
  • Woodlands, yang digambarkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong sebagai “pintu masuk utara” ke Singapura, juga bakal menjalani perubahan besar.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Berpuluh-puluh ribu rumah baharu dan rangkaian pengangkutan yang lebih baik di Kranji dan Sembawang menjadi antara rancangan pemerintah untuk menyegarkan kawasan utara Singapura.

Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR2025) pada Ahad (17 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong menekankan betapa pentingnya memanfaatkan kawasan tanah Singapura yang terhad melalui pembangunan semula dan inovasi.

Beliau merujuk kepada Draf Pelan Induk 2025 Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dikeluarkan pada Jun lalu, yang merangka pelan guna tanah bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Antara cadangan yang dikemukakan adalah membina lebih 80,000 rumah awam dan swasta di lebih 10 kawasan kejiranan baharu.

“Selama ini, kita bercakap tentang pelan kami bagi kawasan barat, timur dan pusat. Ada yang mengatakan bahagian utara Singapura lebih ‘ulu’ atau terpencil,” kata PM Wong semasa berucap di ibu pejabat Kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Ang Mo Kio.

“Saya beri jaminan kepada anda ia tidak sebegitu. Jadi malam ini, saya akan memberi tumpuan kepada kawasan utara.”

KRANJI: ALAM SEMULA JADI DI AMBANG PINTUNYA

Di Kranji, bekas tapak lumba kuda Singapore Racecourse – seluas kira-kira 130 hektar atau bersamaan 200 padang bola sepak – menawarkan “peluang luar biasa bagi mewujudkan perubahan besar”, kata PM Wong.

“Selama 25 tahun yang lalu, apabila anda menyebut Kranji, anda akan teringat pada perlumbaan kuda. Tetapi lama-kelamaan, populariti perlumbaan kuda merosot dan tanah itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.”

Pemerintah kini sudah mengambil semula tanah tersebut, dan mengumumkan bahawa tapak berkenaan akan dibangunkan semula menjadi sebuah kawasan perumahan baharu, dengan sekitar 14,000 rumah awam dan swasta.

Sebuah pusat kejiranan akan dibina berhampiran stesen MRT Kranji, manakala sebuah stesen pertukaran baharu di Sungei Kadut akan menghubungkan Laluan Utara-Selatan dan Downtown.

PM Wong menyatakan bahawa bekas tapak Singapore Racecourse itu unik kerana alam semula jadi di sekitarnya, termasuk paya bakau dan berlumpur Mandai baharu di bahagian utara, serta Rizab Hidupan Liar Mandai di bahagian selatan.

Kawasan itu juga berhampiran Koridor Rel – bekas landasan kereta api yang kini diubah menjadi koridor rekreasi dan masyarakat – serta laluan air Sungei Mandai.

“Ia adalah tapak dengan semua ciri-ciri yang tepat – ruang yang luas, sambungan pengangkutan yang baik, dan alam semula jadi di ambang pintunya,” kata PM Wong.

“Ini akan menjadi pembangunan perumahan baharu yang menggabungkan kehidupan bandar dengan warisan semula jadi kita yang kaya. Ia sesuatu yang boleh kita nantikan dalam tempoh kira-kira 10 tahun akan datang.”

SEMBAWANG: DARI LIMBUNGAN KAPAL KE MASYARAKAT TEPI PANTAI

Ada juga rancangan untuk membangunkan semula tapak Limbungan Kapal Sembawang bersejarah yang dibina pada 1938 oleh pihak British sebagai pangkalan tentera laut.

Selepas tentera laut Diraja British berundur, limbungan kapal itu ditukar menjadi Limbungan Kapal Sembawang dan dirasmikan oleh Presiden Benjamin Sheares pada 1971.

“Limbungan Kapal Sembawang memainkan peranan penting dalam perindustrian awal kita dan memacu pertumbuhan industri maritim,” kata PM Wong.

Warisan maritim kawasan itu akan dikekalkan, termasuk dermaga keringnya yang pernah menjadi yang terbesar di dunia. Antara idea-idea yang dipertimbangkan bagi ruang tersebut termasuk kawasan masyarakat bagi mengadakan konsert, kegiatan sukan dan persembahan.

Pemerintah juga sedang meneroka pembinaan rumah di tepi pantai, serta kemudahan menjamu selera, membeli-belah dan rekreasi sepanjang pesisiran pantai.

“Apabila semua ini digabungkan, ia boleh menjadi destinasi tepi pantai baharu yang meriah di utara – kaya dengan warisan, tetapi dengan corak masa depan.”

WOODLANDS: SEDIA UNTUK TRANSFORMASI

Woodlands, yang digambarkan oleh PM Wong sebagai “pintu masuk utara” ke Singapura, juga bakal menjalani perubahan besar.

Pada Januari, Singapura dan Malaysia memeterai perjanjian untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ), yang bertujuan menggabungkan keupayaan R&D Singapura dengan pangkalan perindustrian dan sumber tanah Malaysia. Zon itu menyasarkan 50 projek rentas sempadan dan mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir dalam tempoh lima tahun.

Bagi menyokong SEZ, Pusat Pemeriksaan Woodlands akan dibangunkan semula secara berfasa dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, diperluas sehingga lima kali ganda saiz sekarang.

“Ini bermakna pemeriksaan lebih cekap dan selamat, masa menunggu lebih singkat dan kesesakan lalu lintas yang berkurangan,” kata PM Wong.

Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura juga dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun depan. Di Singapura, ia akan bersambung secara langsung ke stesen MRT Woodlands North di Laluan Thomson-East Coast.

“Akan ada pemindahan yang lancar antara RTS dan MRT,” kata PM Wong, sambil menambah bahawa para penumpang boleh “melepasi pemeriksaan imigresen Singapura dan Malaysia di tempat berlepas”.

Di sekitar stesen RTS Link, ruang-ruang perindustrian “fleksibel” baharu akan dibangunkan untuk perniagaan yang mahu memanfaatkan SEZ.

Perumahan awam baharu juga dirancang, termasuk 4,000 flat berhampiran Taman Admiralty dan tambahan rumah di sepanjang pantai Woodlands.

Perdana menteri turut menyebut bahawa rancangan untuk membangunkan semula Punggol dimulakan hampir 20 tahun lalu, dan kini ia menjadi sebuah bandar yang “makmur dan indah”.

“Malam ini, saya telah berkongsi rancangan untuk Kranji dan Sembawang. Sama seperti kita mengubah Punggol, rancangan ini akan menjadi kenyataan pada tahun-tahun mendatang,” kata beliau.

“Apabila ia dilaksanakan, Kranji dan Sembawang akan berkembang sebagai bandar yang lebih meriah – penuh dengan kehidupan dan peluang.

“Beginilah cara kita memastikan setiap bahagian Singapura terus bersinar – masing-masing dengan identitinya sendiri, dan menjadi sebuah tempat yang boleh kita banggakan sebagai rumah kita.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita