Skip to main content

Singapura

NDR2025: Pembangunan semula TWM selari dengan objektif hidupkan semula sejarah warisan Kampong Gelam: Dr Norshahril

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Aug 2025 08:01PM Dikemas Kini : 18 Aug 2025 11:51PM
  • Mengumumkan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) pada tahun depan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan mencerminkan betapa ia merupakan satu ikon penting bagi masyarakat Melayu.
  • Menjelang pembukaan semula TWM pada 25 April 2026, para pengunjung boleh menjangkakan dua aspek utama hasil pengubahsuaian.
  • Pengurus Besar TWM, Hafiz Shariff berkata: "Pertama, kerja naik taraf infrastruktur yang dijalankan bagi memastikan bangunan bersejarah ini terus dipelihara dan sesuai untuk paparan artifak galeri."
  • Sempena pembukaan semula TWM, sebuah festival berskala besar juga akan dianjurkan dari 25 April sehingga 3 Mei tahun depan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mengumumkan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) pada tahun depan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan mencerminkan betapa ia merupakan satu ikon penting bagi masyarakat Melayu.

Demikian pendapat yang dikongsikan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Dr Norshahril Saat selepas acara tersebut pada Ahad (17 Ogos).

"PM Wong juga ada menceritakan tentang apa kaitan TWM dengan ekosistem Kampong Gelam. Kita tahu bahawa TWM satu ikon yang penting bagi masyarakat tetapi kawasan Kampong Gelam itu sendiri adalah satu kawasan yang bersejarah. Jadi pembangunan semula TWM harus dilihat selari dengan objektif yang lebih besar iaitu untuk menghidupkan semula dan memberikan semacam pendidikan pada masyarakat kita tentang sejarah warisan kawasan Kampong Gelam yang wujud sebelum zaman penjajahan," kata Dr Norshahril yang juga merupakan Zamil Kanan di ISEAS-Institut Yusof Ishak.

Beliau juga mengharapkan dengan pembukaan semula TWM, ia akan dapat lebih memaparkan dengan kukuh kekuatan masyarakat.

"Sebelum ini, mungkin kita memberi fokus atau tumpuannya kepada aspek sosiobudaya, agama dan juga pendidikan tapi salah satu kekuatan masyarakat kita juga adalah soal warisan dan budaya," ujar Dr Norshahril.


PELBAGAI KANDUNGAN BAHARU AKAN DIPAMERKAN

Menjelang pembukaan semula TWM pada 25 April 2026, para pengunjung boleh menjangkakan dua aspek utama hasil pengubahsuaian.

Pengurus Besar TWM, Hafiz Shariff berkata: "Pertama, kerja naik taraf infrastruktur yang dijalankan bagi memastikan bangunan bersejarah ini terus dipelihara dan sesuai untuk paparan artifak galeri. Kedua, kandungan TWM diperbaharui berdasarkan penyelidikan terkini dan artifak baharu. Naratif juga dikemas kini dan akan mempamerkan warisan Melayu Singapura yang merentasi geografi dan membentuk identiti masyarakat kontemporari Melayu Singapura."

Selepas pembukaan semulanya, TWM akan menampilkan galeri dan program baharu "untuk pamerkan budaya Melayu Singapura yang kaya dan penuh semangat."

"Galeri baharu juga akan menampilkan pelopor-pelopor terdahulu dan tokoh-tokoh baharu. Antara tokoh yang akan dipaparkan adalah seperti Almarhum Encik Zubir Said, bukan hanya dikenali sebagai pencipta lagu kebangsaan kami tetapi juga sebagai mentor seni. Selain itu juga, tokoh seperti Almarhum Encik Othman Wok dengan sumbangannya dalam penulisan sebelum dan selepas aktiviti politik. Lebih banyak komuniti subetnik Melayu juga akan diperkenalkan menerusi budaya material dan sistem tulisan mereka," jelas Encik Hafiz.

Selain itu, beliau juga mendedahkan bahawa peranan wanita dalam bidang pendidikan dan kesusasteraan juga akan ditonjolkan bagi memperlihatkan sumbangan besar mereka dalam sejarah dan budaya Melayu Singapura.

Pembaharuan sebegitu juga menurut PM Wong sebagai antara pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu bersama masyarakat untuk melestarikan dan memupuk warisan Melayu.

PUPUK MINAT TERHADAP BAHASA & WARISAN MELAYU DALAM KALANGAN ORANG MUDA

Pengumuman itu disambut baik Pengerusi Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dr Syed Harun Alhabsyi.

"Antara warisan Melayu kita juga bahasa dan budaya kita dan selaku Pengerusi MLLPC, saya rasa ini sebuah peluang bagi masyarakat untuk terus melestarikan penggunaan dan cinta kita kepada bahasa Melayu. Saya rasa melalui bahasa kita juga dapat juga menikmati secara terdekat budaya kita," ujar Dr Syed Harun.

"Saya juga berharap bagi golongan muda dapat juga berkecimpung dengan lebih mendalam lagi penggunaan bahasa Melayu mereka dan melestarikan lagi penggunaan bahasa ini," tambahnya.

Sempena pembukaan semula TWM, sebuah festival berskala besar juga akan dianjurkan dari 25 April sehingga 3 Mei tahun depan.

"Ia akan melibatkan kerjasama dengan perniagaan dan komuniti setempat dan menawarkan program sepanjang hari hingga malam seperti persembahan kebudayaan, pameran seni visual dan cahaya serta bengkel interaktif. TWM mengalu-alukan semua untuk menyertai sambutan penting ini dalam sejarah warisan negara," ujar Encik Haffiz.

TWM ditutup selama lebih tiga tahun untuk menjalani kerja-kerja peningkatan sejak Oktober 2022.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita