Skip to main content

Singapura

NDR2025: Ketersambungan, kemudahan lebih baik perlu bagi lengkapi pelan perumahan baharu di utara SG, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2025: Ketersambungan, kemudahan lebih baik perlu bagi lengkapi pelan perumahan baharu di utara SG, kata pakar

Pembangunan perumahan baharu di Kranji akan menggabungkan kehidupan bandar dengan warisan semula jadi tapak tersebut. (Gambar: URA)

Diterbitkan : 18 Aug 2025 11:22PM Dikemas Kini : 19 Aug 2025 08:37AM
SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyegarkan bahagian utara Singapura, pilihan pengangkutan lebih baik, lebih banyak kemudahan dan rancangan unik bagi bandar-bandar kecil diperlukan di samping menyediakan rumah-rumah baharu, kata pakar, menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Dalam ucapannya pada Ahad (17 Ogos), Encik Wong menyentuh tentang pelan-pelan pembangunan bagi tiga kawasan - Kranji, Sembawang dan Woodlands - sambil berkata bagaimana sesetengah orang menggambarkan bahagian utara Singapura sebagai kawasan yang "ulu" atau terpencil.

Persepsi itu bakal berubah.

Menurut para pakar, peralihan tumpuan pemerintah ke bahagian utara tidak mengejutkan menyusuli usaha-usaha sebelum ini untuk bandar-bandar baharu yang lain, seperti Punggol dan Tengah.

"Dengan kawasan timur dan barat sebahagian besar sudah pun dibangunkan, kini bahagian utara, jika saya boleh gelarkannya sebagai sempadan seterusnya, di mana ada banyak ruang untuk dibangunkan semula.

"Jadi secara semula jadi, sudah tiba masanya untuk mengalihkan tumpuan dan sumber untuk membangunkan bahagian ini pula," kata pengarah kanan analisis data Huttons Asia, Lee Sze Teck.

KETERSAMBUNGAN ADALAH PENTING

Memandangkan Singapura sebuah negara kecil yang agak maju, bahagian utara negara ini tidak begitu "ulu" atau terpencil.

Pakar-pakar yang ditemui Mediacorp menyebut Yishun, Khatib dan Woodlands sebagai contoh estet perumahan yang sudah wujud selama berdekad lamanya dengan kemudahan dan stesen MRT tersendiri.

Oleh itu, perasaan terpencil merupakan 'persepsi' yang sebahagiannya kerana masa perjalanan yang agak lama untuk ke pusat bandar, berbanding dari pusat-pusat serantau lain seperti Tampines dan Jurong East, kata Encik Nicholas Mak, ketua pegawai penyelidikan di portal carian hartanah Mogul.sg.

Terdapat usaha untuk meningkatkan ketersambungan, seperti menerusi Laluan Thomson East-Coast, yang bantu menjimatkan masa yang diperlukan untuk melakukan perjalanan dari Woodlands ke kawasan bandar.

Sementara itu, terdapat rancangan untuk membina sebuah stesen MRT di Sungei Kadut, yang akan menjadi stesen pertukaran yang menghubungkan Laluan Utara-Selatan (NSL) dengan Laluan Downtown.

Stesen MRT itu yang merupakan sebahagian daripada projek sambungan Laluan Downtown - dijangka dibuka menjelang 2035.

"Ia adalah satu kelainan untuk menyediakan ketersambungan lebih baik di kawasan Sungei Kadut dan Kranji, dan nampaknya ia dijadualkan untuk siap bertepatan dengan pembinaan rumah-rumah baharu (di Kranji)," kata Profesor Madya Amalan Calvin Chua dari Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Butiran mengenai laluan MRT Seletar yang baharu - iaitu salah satu daripada dua laluan kereta api baharu yang sedang dikaji oleh pihak berkuasa - juga sedang dinanti-nantikan.

Para penduduk di beberapa bahagian Yishun dan Sembawang yang kini terletak jauh dari Laluan Utara-Selatan - satu-satunya laluan MRT yang berkhidmat di kawasan utara - berkemungkinan dapat meraih manfaat daripada pembangunan Laluan Seletar yang sedang dalam perancangan, kata Prof Madya Ekonomi Walter Theseira dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

WOODLANDS SEBAGAI PUSAT PERNIAGAAN SERANTAU

Menyelesaikan isu ketersambungan bukan hanya tentang memastikan terdapat keupayaan yang mencukupi untuk membawa para penduduk ke bahagian pusat Singapura, tetapi juga menyalurkan "aliran dari arah bertentangan atau dari arah lain", kata Prof Madya Theseira dari SUSS.

Menyokong pendapat itu, Profesor Sing Tien Foo dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata: "Singapura perlu meningkatkan ketersambungan, yang merupakan strategi penting untuk menyokong dan menggalakkan desentralisasi, seterusnya membantu mengurangkan tekanan di CBD dan kawasan pusat."

Atas tujuan itu, pemerintah secara aktif membangunkan Woodlands sebagai pusat serantau, sebagai sebahagian daripada "strategi desentralisasi" untuk mewujudkan kawasan ekonomi di luar pusat bandar dan membawa pekerjaan lebih dekat ke rumah.

Ini terdiri daripada dua kawasan yang berbeza - Woodlands Central dan Woodlands North Coast - dengan lebih 700,000 meter persegi ruang komersil baru dan lebih 100 hektar tanah yang boleh dibangunkan untuk pengembangan masa depan.

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijangka akan meningkatkan lagi peranan Woodlands sebagai nadi ekonomi utama, kata Profesor Sing.

Pihak berkuasa boleh meniru apa yang sudah dilakukan di Tengah - dengan memindahkan sekolah yang mempunyai reputasi baik atau terkenal untuk menarik lebih ramai pasangan muda berpindah ke bandar baharu itu, katanya, sambil merujuk kepada pemindahan Sekolah Rendah Anglo-Chinese dari lokasinya di Barker Road ke Tengah pada tahun 2030.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita