NDR2024: Apa pendapat 5 rakyat muda SG tentang pengumuman PM Wong
Dari kiri: Cik Marsya Ruzana Aw dan suaminya, Muhammad Mohamad Fazil, Cik Kim Seo Yun, Brayden Lee dan Cik Juliet Heng. (Gambar: Ooi Boon Keong, Nuria Ling and Lim Li Ting/TODAY)
Antaranya termasuk menambah cuti ibu bapa, meluaskan kriteria bagi golongan bujang yang mahu membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan satu rancangan membina kawasan Kallang untuk memupuk budaya bersukan di Singapura.
"Merealisasikan impian baharu akan memerlukan satu perubahan besar - pindaan besar terhadap dasar-dasar, demi memastikan ini; dan sama penting juga, mengubah semula sikap kita," katanya.
Langkah lain termasuk satu skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture untuk membantu para pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang dibuang kerja, serta menghentikan Program Pendidikan Bijak.
TODAY menganjurkan satu sesi perbincangan bersama lima warga Singapura berusia 35 tahun ke bawah, di mana mereka berkongsi buah fikiran tentang pengumuman-pengumuman dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2024.
Mereka ialah:
- Encik Muhammad Mohammed Fazil, 27 tahun, seorang jurutera dan bapa dua anak yang menantikan cahaya mata ketiganya
- Cik Marsya Ruzana Aw, 27 tahun, isteri Encik Muhammad and ketua kajian kemahiran di First Principles Education, sebuah syarikat pendidikan-teknologi
- Cik Kim Seo Yun, 21 tahun, seorang mahasiswa dari Universiti Teknologi Nanyang
- Cik Juliet Heng, 19 tahun, seorang atlet-pelajar lawan pedang di Sekolah Sukan Singapura
- Brayden Lee, 17 tahun, pelajar tahun kelima International Baccalaureate (IB) di Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) dan juga pemain golf kompetitif
Berikut beberapa petikan daripada dialog tersebut.
LEBIH BANYAK CUTI PATERNITI, CUTI DIKONGSI
ENCIK MUHAMMAD: Saya benar-benar mengalu-alukan pengumuman mengenai cuti paterniti yang ditambah kerana ia membolehkan saya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak saya. Saya hanya sedikit kecewa kerana ia tidak dapat dilaksanakan lebih awal, terutama sekali kerana kami akan menyambut seorang cahaya mata tidak lama lagi.
Ia lebih baik, terutama sekali dengan cuti tambahan 10 minggu, yang fleksibel dan boleh dikongsi antara suami dengan isteri. Ia mengupaya salah satu pihak untuk menjaga kanak-kanak, apatah lagi apabila mereka jatuh sakit kerana kanak-kanak benar-benar mudah jatuh sakit.
Saya faham pemikiran Pemerintah, kerana pada akhirnya, kami masih sangat bergantung kepada tenaga kerja.
Jadi, ada kalanya, si bapa perlu bekerja lebih, dan kemudian isterinya boleh mengambil cuti. Jika si ibu mempunyai lebih banyak beban kerja, kemudian suaminya pula boleh mengambil cuti. Ini bagus, ia sangat fleksibel.
CIK MARSYA: Kami bernikah pada usia 21 tahun dan menyambut cahaya mata sulung pada usia 23 tahun. Kami pasangan yang sangat muda. Kami mempunyai dua anak dan satu lagi tidak lama lagi. Jadi, apabila Perdana Menteri Wong bercakap soal keluarga dan pendidikan, ia menarik perhatian saya.
Langkah-langkah itu tidak membuat saya terlalu kagum, sebahagian besarnya kerana ada yang sudahpun dikuatkuasakan; Encik Wong sekadar memperhalusinya. Saya rasa ia tidak menghuraikan pokok permasalahan mengapa ramai pelajar berasa tertekan pada masa kini atau mengapa ramai ibu bapa tidak mahu lebih ramai anak.
Sebab utama adalah keseimbangan yang tidak wujud. Anda memberi saya lebih banyak cuti, anda membina lebih banyak sekolah, tetapi anda masih memberitahu saya agar mendapatkan khidmat luar untuk membantu saya menjalankan kewajipan saya sebagai seorang ibu... tugas saya untuk menjaga anak saya.
Ya, saya akan mempunyai beberapa minggu cuti tetapi apabila bayi itu dilahirkan... menjaga seorang anak tidak berakhir apabila seorang bayi sedang membesar. Kewajipan itu perlu kita pikul sehingga mereka tua, bukan? Memainkan peranan sebagai ibu bapa itu selamanya.
TODAY: Adakah anda rasa pelan-pelan dan skim baharu ini akan menggalak anda untuk mempunyai lebih banyak anak?
CIK MARSYA: Saya akan katakan tidak, kerana ia tidak menghuraikan pokok permasalahannya. Golongan ibu sukar menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya.
Perdana Menteri ada katakan golongan ibu masih boleh menjalankan sebahagian besar kewajipan itu. Kini mereka yang bergelar bapa juga boleh membantu. Saya setuju, tetapi apa yang kurang adalah, selalunya di Singapura, kaum Hawa tidak dapat sepenuhnya menjalankan kewajipan sebagai seorang ibu.
Kami terikat dengan tuntutan majikan. Jadi apabila anak saya sakit, saya perlu memikirkan baik buruk segala perkara: Perlukah saya menjaga anak saya, atau saya ke kerja dan melakukan tugasan saya?
ENCIK MUHAMMAD: Terdapat beberapa kebimbangan mengenai menguruskan tanggungjawab kita di tempat kerja, terutama sekali memandangkan kami mahu mendaki tangga kerjaya dalam dunia korporat. Adakah syarikat kami rela atau cukup fleksibel untuk membolehkan kami mengambil 10 minggu penuh?
Sebagai contoh, jika beliau tidak mahu mengambil kesemua 10 minggu itu tetapi saya mahu berbuat demikian, adakah syarikat dapat menerima aturan ini? Itu kebimbangan saya.
GOLONGAN BUJANG BELI FLAT BTO
CIK KIM: Saya masih ada sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum saya boleh membeli flat BTO buat diri saya sendiri. Saya sudah lama menjalin hubungan dengan pasangan saya, tetapi kami belum mempunyai rancangan untuk bernikah... Saya benar-benar tidak teringin untuk berkahwin. Ini bermakna mendapatkan flat BTO sebagai pasangan yang sudah berkahwin, adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi.
Jadi saya berasa sedikit kecewa apabila apa yang saya dapat daripada pengumuman ringkas itu adalah perubahan di mana golongan bujang akan mendapat keutamaan, sesuatu yang bagi saya, masih lama sebelum saya dapat melakukannya.
Kami mempunyai andaian bahawa mereka yang tamat pengajian di universiti ketika berusia pertengahan atau lewat 20-an tahun, akan mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli rumah. Namun apa yang saya ingin katakan adalah, seseorang akan mempunyai senario itu jika beliau meraih pendapatan yang tinggi, walhal ini juga akan membuatnya tidak layak bagi pelbagai geran.
Apabila seorang individu berusia 35 tahun, besar kemungkinan mereka tidak lagi bujang disebabkan tekanan daripada rakan-rakan atau sebab-sebab lain, atau mereka mungkin tidak layak bagi geran pemerintah.
Ini yang saya rasa semasa mendengar rapat tersebut; ia tidak begitu meyakinkan. Jika ada pengumuman soal menurunkan usia (layak membeli flat), atau jika mereka menimbangkan bagaimana gaji purata semakin meningkat dan menyesuaikan had sewajarnya, ia akan membuat saya lebih tenang.
KEDWIBAHASAAN DI SINGAPURA
BRAYDEN: Ia mungkin baik bagi beberapa generasi seterusnya kerana saya rasa diri saya tidak begitu arif dalam Bahasa Cina, iaitu bahasa ibunda saya. Dengan dunia zaman kini, anda harus berupaya bercakap dengan bermacam-macam orang.
CIK KIM: Buat masa ini, saya sedang mendalami linguistik. Jadi ini satu topik yang selama ini sudah saya belajar. Saya sangat gembira kerana Singapura (masih) menerima dasar kedwibahasaan.
CIK MARSYA: Saya tidak akan bercakap dengan rakan-rakan saya dalam Bahasa Ibunda kerana kebanyakan daripada kami biasanya bertutur dalam Inggeris, bukan? Langkah-langkah yang mereka ambil bagaikan tidak mempunyai matlamat, dan saya tidak menganggapnya sebagai berguna.
Sejujurnya, walaupun suami saya Melayu dan saya separuh Melayu - jadi anak saya 3/4 Melayu - saya tidak mempunyai niat mengajar bahasa Melayu kerana saya tidak melihat manfaatnya. Saya tidak melihat sebarang peluang bagi masa hadapan.
KALLANG ALIVE
CIK HENG: Saya seorang pelajar dari Sekolah Sukan Singapura, jadi saya rasa langkah memindahkan sekolah ke Kallang adalah sangat baik. Ia lebih baik kerana kami akan mempunyai lebih banyak kemudahan dan sokongan.
Langkah itu juga mengoptimumkan pelbagai sumber dan kemudahan, selain mewujudkan satu persekitaran membina di mana kumpulan junior boleh belajar secara langsung daripada mereka yang sudah menceburi bidang sama buat jangka lebih lama.
Bukan itu sahaja. Disebabkan Kallang satu lokasi lebih dekat dengan kawasan bandar, ia akan (membantu para pelajar) menjimatkan lebih banyak masa berbanding ketika sekolah terletak di bahagian utara. Dengan lebih banyak masa, kami mempunyai lebih banyak peluang untuk menumpukan perhatian kami kepada latihan, pelajaran dan lain-lain lagi.
BRAYDEN: Perdana Menteri mengumumkan tentang Kawasan Kallang Alive, membina semula stadium dan menaik taraf pelbagai kemudahan untuk mencuba mengubah pemikiran orang ramai mengenai sukan. Saya berharap ini akan membuat orang ramai lebih menyokong para atlet.
TODAY: Adakah anda mempunyai sebarang keprihatinan mengenai menceburi bidang sukan secara profesional di Singapura, dan apa yang anda rasa boleh dilakukan lagi?
CIK HENG: Saya rasa kebimbangan utama bagi kebanyakan orang adalah sejauh mana kita dapat bertahan hidup dengan menceburi bidang sukan sahaja. Adakah kami dibayar dengan cukup? Itu sesuatu yang ramai bimbangkan.
Jadi ia sangat sukar untuk menceburi bidang sukan buat sepanjang hayat, dan lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk menyokong para atlet selepas mereka memulakan kerjaya dalam bidang itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.