Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Ustaz Ali Mohamed bersara dari jawatan pengerusi bersama RRG hujung bulan ini

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Ustaz Ali Mohamed bersara dari jawatan pengerusi bersama RRG hujung bulan ini

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan penghargaannya kepada Ustaz Ali Mohamed di Simposium Sidang Puncak Asia Timur mengenai Pemulihan Keagamaan dan Integrasi Semula Sosial pada 2015. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Ustaz Ali Mohamed akan bersara daripada jawatannya sebagai pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada hujung bulan ini.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan dalam Bahasa Melayu hari ini (21 Ogos).

Beliau mengumumkan demikian semasa merakamkan penghargaannya kepada barisan asatizah dari generasi ke generasi seterusnya yang menyumbang kepada RRG, khususnya kepada dua pengerusi bersamanya - Ustaz Ali dan Ustaz Hasbi Hassan.

"Mereka menunjukkan keteguhan, keberanian dan komitmen yang tinggi dalam memimpin RRG," kata PM Lee.

Sekalipun demikian, Ustaz Ali akan terus berkhidmat dengan RRG menerusi peranan lain.

"Ustaz Ali akan bersara daripada jawatan pengerusi bersama RRG, pada akhir bulan ini. Kita gembira Ustaz Ali akan terus menyumbang pengalaman dan pengetahuannya sebagai Presiden Emeritus RRG," dedah PM Lee.

(Gambar: MCI)

SUMBANGAN USTAZ ALI MOHAMED

Ustaz Ali dikenali ramai sebagai salah seorang 'bapa' kepada RRG.

Ini kerana sejak badan tersebut ditubuhkan pada tahun 2003, Ustaz Ali banyak meluangkan masanya untuk membantu 'golongan yang tersasar' dan mereka yang sudah menjadi radikal.

Selain menyandang peranan sebagai kaunselor bagi golongan tersebut, Ustaz Ali turut bertanggungjawab dalam mengatur langkah dan strategi untuk membimbing dan menyelamatkan golongan radikal menerusi RRG.

Selain di RRG, beliau banyak menyumbang kepada masyarakat Melayu/Islam di sini melalui pelbagai jawatan lain, terutama dalam sektor masjid dan keagamaan, termasuk sebagai Pengerusi bagi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), dan juga Pengerusi Masjid Khadijah selama 30 tahun, sehinggalah beliau mengundurkan diri baru-baru ini.

Ustaz Ali Mohamed berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Pemulihan Pengganas dan Daya Ketahanan Masyarakat. (Gambar: MCI)
RRG 20 TAHUN

Tahun depan, RRG akan menyambut ulang tahunnya yang ke-20.

Menyentuh tentang RRG, PM Lee berkata, selepas tragedi serangan pengganas 11 September 2001, sekumpulan asatizah mapan bergabung untuk menubuhkan RRG.

Badan itu kemudian bertungkus lumus memulihkan mereka yang tersasar daripada landasan agama, selain membimbing masyarakat tentang tafsiran dan amalan agama Islam yang sebenar.

"Mereka bukan sahaja melindungi masyarakat Islam daripada ideologi ekstremis, malah turut membantu mengekalkan keyakinan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," kata PM Lee.

Kerja-kerja yang dijalankan RRG ini adalah antara bimbingan yang membantu masyarakat Melayu/Islam setempat menyesuaikan kehidupan beragama sedang kita berdepan dengan keadaan yang sering berubah dan mencabar.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan