Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: T5 Lapangan Terbang Changi direka semula untuk siap beroperasi dalam pandemik, lebih cekap tenaga

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: T5 Lapangan Terbang Changi direka semula untuk siap beroperasi dalam pandemik, lebih cekap tenaga

(Gambar: Jeremy Long/CNA)

Diterbitkan : 22 Aug 2022 12:03AM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 12:03AM
SINGAPURA: Projek Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi direka semula agar siap beroperasi dalam keadaan pandemik dan lebih cekap guna tenaga, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (21 Ogos).

Berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan, Encik Lee berkata terminal berkenaan akan berupaya beroperasi dengan lebih selamat dan fleksibel semasa pandemik. Ini termasuk keupayaan menambah dan mengurangkan operasi dengan mudah, dan mengasingkan penumpang dari penerbangan berbeza bagi mengurangkan penularan jangkitan.

"Jika anda lihat cara lapangan terbang itu dibina, semua bahagian baru lapangan terbang, T5 dan semua bahagian baru ini, kami sebenarnya membangunkan satu lagi Lapangan Terbang Changi baru. Ia besar," tambahnya.

Daerah Bandar Changi East yang akan dibangunkan sebelah T5, akan menjadi destinasi baru perniagaan dan gaya hidup, sekali gus mencipta lebih banyak pekerjaan untuk warga Singapura, ujar Encik Lee.

Daerah berkenaan dijangka menempatkan pejabat, pusat kerja bijak, bilik mesyuarat fleksibel serta dewan, hotel, apartmen servis dan ruang awam, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebelum ini.

Dalam maklumannya, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan T5 akan direka bentuk dengan fleksibiliti untuk dijadikan beberapa terminal kecil jika perlu. Ia akan mempunyai ruang yang boleh diubah untuk digunakan sewaktu keadaan kecemasan, seperti ujian atau pengasingan penumpang berisiko tinggi.

"Peruntukan khas untuk mengurangkan penularan penyakit juga akan dilaksanakan di T5.

"Ini termasuk sistem tanpa sentuhan di tempat-tempat laluan penumpang, serta sistem pengaliran udara yang dipertingkat dan boleh digunakan ketika pandemik untuk meningkatkan penggunaan udara segar dan mengurangkan campuran udara," menurut MOT.

T5 akan menerima Tanda Hijau Platinum bagi Bangunan yang menggunakan Tenaga Amat Rendah seperti diluluskan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), tambah MOT.

Pada Mei, Menteri Pengangkutan S Iswaran mengumumkan bahawa projek T5 akan diteruskan setelah dua tahun ditangguh.

Pada Ahad (21 Ogos), Encik Lee berkata walaupun projek itu dihentikan sementara, pihak perancang "memanfaatkan waktu rehat itu" dengan memperbaiki reka bentuk terminal berkenaan.

"Apabila ia siap dibina pada pertengahan tahun 2030-an, T5 akan mempamerkan Singapura kepada dunia," katanya.

"T5 akan menjadi tempat kebanggaan warga Singapura yang boleh mereka menikmati."

Keputusan Singapura untuk meneruskan projek T5 dan Pelabuhan Tuas memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa Singapura membangkit dengan lebih kukuh daripada pandemik dan "bersemangat untuk maju", tambahnya.

RANCANGAN UNTUK PAYA LEBAR

Encik Lee juga menyentuh tentang beberapa konsep pembangunan semula Paya Lebar, yang akan menjalani perubahan susuli pemindahan Pangkalan Udara Paya Lebar pada tahun 2030-an. Beliau menarik perhatian bahawa URA sudahpun berunding dengan rakan awam dan industri untuk meneroka konsep pembangunan semula.

Memandangkan landasan pangkalan udara itu sepanjang 3.8 kilometer sejajar dengan arah angin untuk membantu pesawat berlepas dan mendarat, bandar itu juga boleh diaturkan dengan cara yang sama pada masa akan datang, tambah Encik Lee.

"Dan bandar itu secara semulajadinya akan berangin, dan harap-harap, penduduk tidak akan selalu menghidupkan alat hawa dingin anda," ujarnya lagi.

"Kami boleh mereka semula landasan itu untuk dijadikan tempat pusat bandar tersebut, diubah menjadi penghubung taman atau ruang masyarakat dari satu hujung bandar ke lagi satu sudut. Ia akan merupakan ciri warisan yang unik dan menawan, khas buat Paya Lebar."

Encik Lee menarik perhatian bahawa perumahan awam dan privet akan dibina di sebelah laluan itu, dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengganggarkan sekitar 150,000 rumah baru boleh dibina, iaitu serupa dengan jumlah rumah di Punggol dan Sengkang sekarang.

"Akan terdapat kemudahan dan kawasan riadah berdekatan selain pembangunan komersil dan perusahaan untuk menyediakan peekrjaan lebih dekat kepada penduduk," kata Encik Lee.

"Sebaik sahaja pangkalan udara itu dipindahkan, kami boleh memansuhkan beberapa syarat ketinggian pembangunan di sekitar kawasan itu - misalnya, di Hougang, Marine Parade atau Punggol - dan ini bermakna kami akan membangunkan semula bandar-bandar itu, dengan lebih banyak kemudahan, dan menggunakan ruang dengan lebih baik lagi. Ia tidak akan berlaku semalaman, tetapi dalam beberapa dekad, kami boleh membayangkan semula bahagian timur Singapura."

Terletak di antara Hougang dan Serangoon di sebelah baratnya serta Pasir Ris dan Tampines di bahagian timur, sekitar 800 hektar - bersamaan saiz lima bandar Toa Payoh - akan dikosongkan untuk pembangunan semula apabila pangkalan udara itu dipindahkan.

"Warga Singapura kadangkala bimbang bahawa kita tidak akan mempunyai ruang yang cukup pada masa akan datang. Perumahan tidak akan ada dan tidak berpatutan. Saya kata: Tidak perlu khuatir," kata Encik Lee.

"Kami sudah melakukan kajian dan perancangan. Kita akan mempunyai ruang yang mencukupi bagi generasi akan datang.

"Masalah kami bukan untuk mencari tempat bagi membina jumlah flat yang mencukupi, ataupun memastikan harga rumah berpatutan untuk warga Singapura. Kami tahu untuk lakukannya.

"Masalahnya ialah tidak ada jumlah bayi yang mencukupi untuk hidup di rumah-rumah itu!"

Encik Lee juga menarik perhatian bahawa Paya Lebar hanya satu contoh bagaimana Pemerintah menggambarkan semula perubahan pada Singaprua.

"Kami sedang melakukannya di merata negara - Daerah Tasik Jurong, Pesisiran Selatan dan banyak lagi kawasan," katanya.

"Setiap estet yang baru akan lebih selesa untuk didiami, lebih hijau dan lebih mampan berbanding sebelum ini. Ini bukan tugas yang senang.

"Tetapi seperti mana yang dirancang dan dibentukkan oleh generasi sebelum ini untuk Singapura, kami juga tidak boleh berhenti membayangkan dan membangunkan Singapura yang akan wujud untuk generasi-generasi akan datang."
Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa