Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Rancangan pembangunan negara dialu-alukan bagi kemajuan ekonomi negara

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rancangan dan perkembangan pembangunan negara yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam (21 Ogos) dialu-alukan pakar ekonomi dan pemimpin politik.

Ini termasuk usaha menarik bakat global serta rancangan bagi Pelabuhan Tuas dan Lapangan Terbang Terminal 5.

HARGA BARANGAN MENINGKAT, RANTAIAN BEKALAN DISEKAT

Dalam ucapannya semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan, PM Lee berkata bahawa kos kehidupan memang sudah meningkat dan mencetus kegusaran ramai penduduk.

Beliau juga menitikberatkan ketegangan geopolitik termasuk konflik Amerika Syarikat dengan China juga kian menjadi kebimbangan seluruh dunia.

Memberikan responsnya terhadap ucapan PM Lee, Ketua Penyelidikan & Strategi Pertukaran Matawang Asing, Perbankan Global Maybank, Saktiandi Supaat berkata: "Barang-barangan dan juga pengeluaran dari China menolong barang-barang berharga lebih rendah dan barang-barangan mudah didapati dari segi rantaian bekalan. Namun situasi itu tidak akan kita lihat lagi buat masa akan datang kerana seperti dikatakan tadi situasi antara Amerika Syarikat dengan China, dan juga situasi geopolitik tentang Taiwan."

saktiandi
Ketua Penyelidikan & Strategi Pertukaran Matawang Asing, Perbankan Global Maybank, Saktiandi Supaat. (Gambar: BERITAmediacorp)


Encik Saktiandi juga menjelaskan antara kesan daripada ketegangan yang meningkat antara Amerika Syarikat dengan China.

Beliau berkata: "Pertama dari segi rantaian bekalan, kesannya adalah penakatan barang-barangan tarif. Kedua adalah kemungkinan negara-negara dunia pertingkatkan perlindungan mereka, bukan sahaja dari barangan makanan atau sumber tetapi juga mungkin cip-cip elektronik, semikonduktor yang kita gunakan akan lebih disekat buat masa akan datang."

"Kesannya kepada Singapura mungkin dari segi harga barangan. Harga barangan komoditi, minyak atau makanan dari rantaian bekalan. Jadi ada sekatan-sekatan rantaian bekalan itu boleh mempertingkatkan harga dari segi satu."

Namun begitu, Encik Saktiandi juga mengatakan bahawa pergolakan antara Amerika Syarikat dengan China juga mampu mencipta peluang baru bagi Singapura.

"Kesannya kepada Singapura, satu adalah ia mungkin memberi kebaikan kepada kita. Peluang - umpamanya jika firma-firma yang dulunya mempunyai pengeluaran kilang-kilang di China keluar dari sana, mereka boleh keluar ke rantau Indo China, umpamanya Vietnam, Thailand. Ada juga yang berkemungkinan datang ke Malaysia atau Singapura juga. Jadi ada peluang-peluang yang mungkin timbul dari segi rantaian bekalan atau rantaian nilai," jelas Encik Saktiandi.

Disebabkan inflasi dan harga barang-barangan yang kian meningkat, PM Lee turut berkata bahawa Pemerintah akan terus berusaha untuk menyokong rakyat Singapura, terutama sekali keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan.

nadia samdin
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Cik Nadia Ahmad Samdin. (Gambar: BERITAmediacorp)
Dalam hal tersebut, Cik Nadia berkata: "Harga tenaga dan makanan di seluruh dunia sedang meningkat. Para penduduk saya (GRC Ang Mo Kio) juga telah mengetengahkan isu ini kepada saya dan saya mengalu-alukan jaminan PM Lee yang bahawa Pemerintah sudah sedia untuk hulur bantuan lebih jika diperlukan"

MENARIK GOLONGAN BAKAT GLOBAL

Dalam ucapannya, PM Lee turut menyentuh tentang isu menarik golongan bakat global ke negara ini.

Encik Saktiandi mengalu-alukan langkah tersebut kerana terdapat kesan positif bagi bakat-bakat tempatan juga.

"Itu menunjukkan bahawa ada kebaikannya atau kesan positif untuk menarik bakat-bakat global yang mungkin boleh meningkatkan kemahiran anak-anak muda kita menjadi pelopor untuk industri-industri sektor. Mungkin sektor-sektor lain yang kita boleh pertingkatkan dengan menarik bakat global.

"Buat masa akan datang kita perlu menarik bakat-bakat asing yang berkelayakan, berkemahiran. Kelayakan boleh memberikan kemahiran pindah milik kepada anak-anak warga Singapura buat masa akan datang. Jadi ia penting," ujar Encik Saktiandi lagi.

PERANAN PENTING PELABUHAN LAUT DAN UDARA LETAKKAN S'PURA DI PERSADA ANTARABANGSA

Antara topik yang turut dikupas PM Lee dalam ucapannya, PM menyentuh tentang peranan sektor pelabuhan laut dan lapangan terbang Singapura yang begitu penting bagi kemajuan ekonomi negara.

Keputusan Singapura untuk meneruskan projek Pelabuhan Tuas dan Terminal 5 (T5) memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa Singapura bersedia untuk bangkit dengan lebih kukuh pasca pandemik.

Memberikan responsnya mengenai pengumuman PM Lee itu, Encik Saktiandi berkata: "Dari segi infrastruktur T5 ini adalah untuk menjaminkan dasar ekonomi Singapura buat masa akan datang. Jangka panjang sentiasa mantap."

"Pelabuhan Tuas juga menunjukkan situasi yang sama. Melapangkan tanah di Tanjong Pagar dan Pasir Panjang untuk pembentukan infrastruktur domestik itu bagus. Di Pelabuhan Tuas, kita boleh melihat ia mempunyai keupayaan lebih tinggi. Jadi semua ini adalah latar belakang infrastruktur masa panjang. Ini akan mendatangkan tumpuan ekonomi baik, peluang-peluang pekerjaan untuk warga Singapura yang lebih baik," tambah Encik Saktiandi.

Encik Saktiandi juga mengatakan bahawa sektor penerbangan Singapura mungkin boleh memainkan peranan lebih penting untuk Singapura dan sedunia kerana T5 "boleh menjangkau ketersambungan yang lebih jauh dan lebih mendalam."

SEMANGAT SINGAPURA, TEGUH DAN BANGKIT BERSAMA

Merumuskan ucapan PM Lee di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos), Cik Nadia, yang juga Pengerusi Bersama Biro Melayu Parti Tindakan Rakyat atau MAB Muda berkata: "Ada beberapa perkara yang menyerlah bagi saya. Pertama, semangat Singapura, daya tahan, sikap ihsan dan juga keprihatinan antara satu lama lain. Walaupun kita datang dari latar belakang yang berbeza.

"PM Lee juga ada mengetengahkan beberapa kisah warga Melayu di barisan hadapan dan antara jiran-jiran yang menunjukkan sifat baik hati dalam kegiatan seharian mereka."

Antara golongan masyarakat Melayu yang disebut dalam ucapan PM Lee termasuk penduduk estet kejiranan Toa Payoh, Encik Razali Puasa.

Encik Razali secara sukarela membersihkan taman permainan di kawasan perumahannya bagi meyakinkan para penduduk di sana bahawa ia adalah selamat untuk anak-anak mereka bermain di sana di tengah-tengah penularan COVID-19.

Selain itu, Cik Nadia turut menyentuh tentang kepentingan untuk rakyat Singapura kekal bersatu, seperti yang dikatakan PM Lee dalam ucapannya.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan