Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: PM Lee iktiraf pencapaian, sumbangan MENDAKI sepanjang 4 dekad

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI akan mengadakan sesi maklum balas dengan para pemimpin masyarakat, karyawan dan belia bagi mengemas kini pelan tindakan badan bantu diri itu sempena ulang tahunnya yang ke-40 tahun ini.  

Ini bagi memikirkan cara terbaik bagaimana MENDAKI boleh terus mendampingi masyarakat dan menyokongnya ke arah masyarakat yang gemilang. 

Demikian antara yang didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Cik Zuraidah Abdullah dalam wawancara bersama media di luar acara Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos).

Beliau juga memberitahu bahawa lebih banyak perincian mengenai sambutan ulang tahun ke-40 MENDAKI akan diumumkan pada bulan September.  

PM LEE HARGAI USAHA MENDAKI SOKONG MASYARAKAT

MENDAKI adalah antara badan masyarakat yang usahanya diiktiraf Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Bahasa Melayu NDR beliau. 

PM Lee berkata usaha-usaha MENDAKI sepanjang 40 tahun telah membuahkan hasil yang ketara.

"MENDAKI merupakan antara contoh terbaik dalam memaparkan semangat gotong-royong masyarakat. Ini dapat dilihat dalam bilangan individu cemerlang yang menyumbang kembali kepada masyarakat. Mereka turun padang demi membantu yang lain supaya dapat sama-sama berjaya. Saya juga gembira melihat MENDAKI secara berterusan menjalankan program-programnya walaupun di tengah-tengah pandemik," kata PM Lee. 

Beliau juga mengumumkan bahawa beliau akan menghadiri majlis meraikan ulang tahun badan itu pada Oktober nanti bagi mengiktiraf sumbangan badan tersebut. 

Bagi pihak badan tersebut, Cik Zuraidah berbesar hati dengan penghargaan PM Lee itu. 

"Terima kasih kami kepada Perdana Menteri kerana mengiktiraf usaha baik MENDAKI dalam meningkatkan kehidupan masyarakat Melayu/Islam kita di Singapura. Pencapaian ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan daripada masyarakat umumnya dan juga daripada sukarelawan kita dan penderma dan juga mereka yang percaya pada usaha yang kami lakukan," kata Cik Zuraidah. 

Menurut PM Lee, MENDAKI telah membantu masyarakat Melayu/Islam beri penekanan kepada pendidikan sebagai kunci kemajuan sosioekonomi sejak ia ditubuhkan pada 1982. 

Beliau juga memberi penghargaan kepada MENDAKI atas pencapaian cemerlang yang telah dikecapi masyarakat hasil usaha bersama badan tersebut.

"Anugerah Cemerlang MENDAKI yang diberikan kepada siswazah sarjana muda dengan Kepujian Kelas Pertama. Sepanjang 10 tahun pertama MENDAKI, terdapat hanya segelintir penerima Anugerah ini tetapi sepanjang dekad yang lalu, jumlahnya meningkat kepada hampir 500 penerima. Syabas!" kata PM Lee.  

PENEKANAN PADA PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Bagi masyarakat mencapai kejayaan, Cik Zuraidah berpendapat pendidikan adalah kuncinya dan ia adalah sangat penting. 

"Kita mesti terus berikan penekanan kepada pendidikan anak-anak kita dan juga menanam sikap mahu belajar sepanjang hayat. Seumpamanya sebagai seorang ibu bapa kita mesti memastikan yang anak-anak kita di prasekolah mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pelajaran di prasekolah," kata beliau.

"Sebagai pekerja kita mesti meningkatkan kemahiran supaya meluaskan peluang pekerjaan dan juga sebagai seorang sukarelawan kita mesti tolong menjadi mentor kepada belia kita jadi mereka dapat mencapai cita-cita mereka," tambah Cik Zuraidah. 

Beliau memberi jaminan bahawa MENDAKI sedia untuk membantu masyarakat dalam bidang tersebut dan mereka boleh ke portal MyMENDAKI untuk dapatkan pertolongan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan