Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: PM Lee gesa rakyat S'pura terima hakikat, bersedia secara psikologi bagi hadapi konflik di rantau ini

"Lihat bagaimana keadaan menjadi tidak menentu di Eropah, betapa mendadak dan cepat. Dan bolehkah anda pastikan keadaan yang sama tidak berlaku di rantau kita juga?," tanya Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: PM Lee gesa rakyat S'pura terima hakikat, bersedia secara psikologi bagi hadapi konflik di rantau ini

Gambar fail bendera Amerika Syarikat dengan China. (Gambar: AFP/Greg Baker)

SINGAPURA: Rakyat Singapura mesti menerima hakikat dan bersedia secara psikologi bagi menghadapi konflik di rantau ini, sedang perang di Ukraine dijangka mencetuskan lebih banyak tengkarah geopolitik di Asia Pasifik.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Inggeris di Rapat Hari Kebangsaan 2022 pada Ahad (21 Ogos).

Perang tersebut, yang memasuki bulan keenam, memburukkan lagi ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China serta hubungan antara rakan-rakan kerjasama di Asia, seperti Australia dan Jepun, tambah PM Lee.

"Ada negara yang akan memilih satu-satu pihak. Yang lainnya, seperti Singapura, akan cuba sedaya-upaya untuk mengelak daripada terkait dalam perbalahan kuasa-kuasa besar," kata beliau.

PM Lee akur rantau ini sudah lama menikmati keamanan sehingga sukar untuk rakyat Singapura membayangkan keadaan yang berbeza.

"Namun lihat bagaimana keadaan menjadi tidak menentu di Eropah, betapa mendadak dan cepat. Dan bolehkah anda pastikan keadaan yang sama tidak berlaku di rantau kita juga?

"Kita perlu menerima hakikat dan mesti mempersiapkan diri kita secara psikologi.

SEKITARAN LUAR YANG 'SANGAT BERKECAMUK'

Dalam ucapannya, PM Lee memberi gambaran bagaimana sekitaran luar Singapura sudah berkecamuk walaupun negara bangkit daripada pandemik COVID-19.

Beliau menarik perhatian, hubungan AS-China, yang memacu hal-hal global, diburukkan lagi dengan ketegangan baru dan membimbangkan yang semakin memuncak berhubung Taiwan.

Kedua-dua kuasa dunia itu berpecah-belah disebabkan isu-isu lain, termasuk ideologi mereka yang bercanggah dan sistem pemerintah, pengaruh China yang semakin besar di dunia, serta banyak masalah khusus seperti pertikaian perdagangan, pengintipan siber, Laut China Selatan dan Hong Kong, tambahnya.

Sungguhpun demikian, AS dan China perlu bekerjasama tentang isu-isu global yang penting, termasuk perubahan iklim, pandemik dan penjanaan nuklear, kata PM Lee.

"Hubungan mereka yang tegang menjadikan ini hampir mustahil. Dan ini berita buruk untuk dunia."

PM Lee menarik perhatian bahawa meskipun Presiden AS Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping baru-baru ini mengadakan panggilan video dan bersetuju untuk bertemu secara empat mata, kedua-dua pihak tidak menjangkakan hubungan akan pulih dalam masa terdekat.

"Tambahan lagi, kita semua mesti berharap bahawa tidak ada kesilapan pertimbangan atau isu-isu, yang akan memburukkan keadaan dengan lebih cepat," kata PM Lee.

Selain ketegangan AS-China, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kata PM Lee, juga mempunyai implikasi mendalam terhadap dunia dan Singapura.

Pencerobohan tersebut melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip asas kedaulatan dan integriti wilayah, ujar PM Lee.

Ini terutama sekali penting bagi Singapura, di mana keselamatan dan kewujudannya bergantung kepada negara-negara lain yang mempertahankan prinsip-prinsip tersebut.

Rusia menyifatkan pencerobohannya sebagai "operasi khas ketenteraan" di Ukraine dan mendakwa ia diwajarkan oleh "kesilapan sejarah dan keputusan-keputusan gila", kata PM Lee.

"Kita tidak boleh mengesahkan tindakan salah Rusia. Sekiranya kita menerima logik ini, apa yang akan terjadi sekiranya hujah yang sama ini digunakan terhadap kita satu hari nanti?"

Tambahan lagi, perang sudah menimbulkan kebencian mendalam antara Rusia dengan negara-negara lain, terutamanya AS dan negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kata PM Lee.

"Hubungan sudah musnah keseluruhannya. Terdapat kuasa-kuasa nuklear di kedua-dua pihak. Sukar untuk dibayangkan ada sebarang penghujung yang memuaskan bagi konflik ini."

SINGAPURA MESTI BERSIAP SIAGA

Mengulas bagaimana Singapura perlu bertindak terhadap "bahaya luar" tersebut, PM Lee berkata pertama sekali negara perlu berpendirian teguh kepada prinsip-prinsip asas undang-undang antarabangsa.

Ia perlu bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menegakkan aturan antarabangsa berdasarkan peraturan, misalnya, berucap di PBB, PM Lee berkata "Bersembunyi dan berdiam diri akan melukakan kita dalam jangka panjang," katanya.

Seterusnya, negara mesti memandang serius Perkhidmatan Negara (NS) dan memastikan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team kukuh dan boleh dipercayai, kerana "jika kita tidak mempertahankan diri kita, tiada siapa yang akan mempertahankan bagi pihak kita," kata PM Lee.

Lebih penting lagi, PM Lee berkata, Singapura mesti kekalkan perpaduan sebagai sebuah negara.

"Jangan membiarkan diri kita dipecahbelahkan - sama ada dari segi kaum, agama, pendapatan, perbezaan sosial atau tempat kelahiran," katanya.

Rakyat Singapura mesti kekal berwaspada terhadap ancaman luar yang cuba mengeksploitasi kelemahan Singapura dan untuk mempengaruhi rakyat Singapura untuk kepentingan mereka, tegas PM Lee.

Menekankan hal itu, yang disampaikan dalam ucapan Bahasa Mandarin, PM Lee memberi amaran supaya rakyat Singapura jangan mudah percaya segala yang dibaca di ruang maya.

"Jika kita terpedaya dan berpecah belah, kita tidak mempunyai peluang. Namun dengan bersatu, kita boleh mengatasi segala masalah yang mendatang," kata PM Lee.

Sumber : Today/SY/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan