Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Pingat Daya Tahan COVID-19 untuk mereka yang terlibat langsung lawan pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Pingat Daya Tahan COVID-19 untuk mereka yang terlibat langsung lawan pandemik

Dari kiri, Cik Ruku Pakirisamy, Encik Razali Puasa dan CikAlice Chua. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 21 Aug 2022 10:28PM Dikemas Kini : 21 Aug 2022 11:33PM
SINGAPURA: Bagi mengiktiraf pengorbanan dan semangat masyarakat, Pemerintah akan menyampaikan satu anugerah baru yang dipanggil Pingat Daya Tahan COVID-19 kepada semua individu dan kumpulan yang terlibat secara langsung dalam memerangi pandemik itu.

Selain anugerah baru itu, mereka yang membuat sumbangan luar biasa akan menerima anugerah-anugerah negara sedia ada seperti Pingat Kepujian, Pingat Bakti Masyarakat dan Pingat Perkhidmatan Awam.

Pingat-pingat itu akan mempunyai "catatan khas" bagi menunjukkan bahawa mereka "diiktiraf atas perkhidmatan mereka memerangi COVID-19 - mungkin dua barisan merah di reben", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan di ibu pejabat ITE di Ang Mo Kio pada Ahad (21 Ogos).

Encik Lee menarik perhatian sebagai sebahagian daripada respons Singapura, ramai yang menggalas tanggungjawab melebihi tugas mereka, termasuk kakitangan jagaan kesihatan, pegawai awam, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan bukan pemerintah dan "ramai individu dari pelbagai latar belakang".

Beliau memberi beberapa contoh individu yang tampil dan menghulurkan bantuan semasa pandemik:

- Cik Alice Chua, seorang relawan di pusat vaksinasi yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan dialek Cina, sekali gus memudahkan komunikasi dan menenangkan hati warga emas yang menerima suntikan.

- Cik Ruku Pakirisamy, seorang penduduk di Yishun yang memasak dan mengagihkan makanan kepada jiran tetangga yang lebih tua dan takut untuk keluar rumah semasa pandemik.

- Encik Razali Puasa yang tinggal di Toa Payoh dan secara sukarela membantu mengelap dan membasmi kuman di sebuah taman permainan berdekatan blok tempat tinggalnya.

"Ditengah-tengah kegelapan pandemik, menerusi hati budi mereka, keberanian serta keprihatinan secara peribadi, semangat Singapura amat terserlah," kata Encik Lee.

Senarai anugerah itu akan diumumkan pada akhir tahun, dengan majlis penyampaian diadakan tahun depan.

Perdana Menteri sebelum itu memulakan ucapannya dengan menekankan bahawa Singapura sudah berusaha dengan gigih untuk melawan COVID-19, dan bagaimana usaha bersama berjaya menyelamatkan banyak nyawa.

Menurutnya, tahap keyakinan yang tinggi dalam masyarakat adalah kunci kejayaan Singapura.

Rakyat mempercayai Pemerintah dan "bersikap sabar terhadap beberapa langkah pelonggaran dan sekata yang diperketat. Ini meskipun ia menyusahkan", tambah Encik Lee.
Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan