Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Pemerintah akan mansuh Seksyen 377A, pinda Perlembagaan untuk lindungi definisi keluarga daripada dicabar dari segi undang-undang

Pada masa yang sama, Perlembagaan akan dipinda untuk melindungi definisi perkahwinan - iaitu antara seorang lelaki dan seorang wanita - daripada dicabar di mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Pemerintah akan mansuh Seksyen 377A, pinda Perlembagaan untuk lindungi definisi keluarga daripada dicabar dari segi undang-undang

Orang ramai yang menyokong Pink Dot bersorakan apabila bendera negara diterbangkan sebagai sebahagian daripada raptai Perbarisan Hari Kebangsaan pada 18 Jun 2022. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Singapura akan memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menetapkan hubungan seks antara lelaki sebagai satu jenayah.

Pada masa yang sama, Perlembagaan akan dipinda untuk melindungi definisi perkahwinan - iaitu antara seorang lelaki dan seorang wanita - daripada dicabar di mahkamah.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan demikian pada Ahad (21 Ogos) dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan, yang mana beliau turut memberikan sebab mengambil langkah tersebut.

Dengan memansuhkan undang-undang itu, kata beliau, ia cuba mencapai apa yang disifatkan sebagai "permuafakatan politik" untuk mengimbangi pandangan-pandangan berbeza dalam kalangan rakyat Singapura.

Seksyen 377A diperkenalkan 84 tahun lalu oleh kerajaan British.

Undang-undang itu menetapkan bahawa seorang lelaki sama ada dalam ruang awam atau privet yang melakukan tingkah laku "amat tidak senonoh" dengan seorang lelaki lain adalah satu jenayah.

Ia membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, menggambarkan norma-norma sosial ketika itu.

Namun sikap terhadap golongan gay sudah berubah sejak beberapa dekad lalu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan hubungan homoseksual kini lebih difahami.

Seksyen 377A telah dicabar beberapa kali di mahkamah supaya undang-undang itu diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan.

Tiada satu daripadanya yang berjaya.

Dalam pembentangan hujah di Mahkamah Tinggi pada Januari 2020, tiga lelaki menuntut ia dimansuhkan.

Mereka mendakwa bahawa ia melanggar Artikel 12 Perlembagaan yang menjamin kesaksamaan di bawah undang-undang.

Cabaran mereka ditolak dan rayuan mereka pada Februari juga tidak berjaya.

Mahkamah rayuan menetapkan Seksyen 377A tidak boleh dikuatkuasakan.

Sejak itu, terdapat desakan agar satu kompromi perlu dibuat.

"Atas sebab-sebab ini, Pemerintah akan memansuhkan Seksyen 377A dan menyifatkan hubungan seks antara lelaki yang rela dalam ruang privet bukan satu jenayah. Saya percaya bahawa apa yang dilakukan ini adalah hal yang betul, dan sesuatu yang akan diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura. Langkah ini akan menyelaraskan undang-undang dengan tatalaku sosial masa kini dan saya harap ia akan memberi sedikit kelegaan kepada golongan homoseksual Singapura," kata PM Lee.

Namun beliau menambah kebanyakan rakyat Singapura tidak mahu pemansuhan itu mencetuskan perubahan meluas seperti dalam pendidikan, misalnya.

Terdapat ketidaktentuan tentang kesan pemansuhan itu yang kemungkinan memecah belahkan aktivisme di semua pihak.

Sedang ia meneroka pendekatan yang terkawal dan dipertimbangkan dengan teliti, pemerintah jelas bahawa tiada perubahan akan dilakukan kepada takrifan keluarga yang sedia ada dalam masyarakat.

"Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita diiktiraf di Singapura. Banyak dasar nasional bersandarkan penakrifan perkahwinan ini - termasuk perumahan awam, pendidikan, peraturan mengambil anak angkat, piawaian pengiklanan, klasifikasi filem. Pemerintah tidak bercadang untuk mengubah takrif perkahwinan, apatah lagi dasar-dasar ini.

"Justeru kami akan melindungi takrif perkahwinan daripada dicabar dari segi perlembagaan di mahkamah. Takrif di bawah undang-undang ini terkandung dalam Akta Terjemahan dan Piagam Wanita. Kami perlu meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif ini, dan kami akan melakukannya," kata PM Lee.

Encik Lee percaya ini akan mengimbangi apa yang akan diterima rakyat Singapura dengan apa yang kebanyakan rakyat mahukan, iaitu untuk mengekalkan struktur asas keluarga yakni perkahwinan antara lelaki dengan wanita.

"Apa yang kami sedang usahakan ialah permuafakatan politik untuk mengimbangi pandangan-pandangan yang munasabah, serta aspirasi dalam kalangan rakyat Singapura. Bagi sesetengah orang, langkah ini terlalu sederhana. Bagi yang lain, langkah ini terpaksa diambil dengan hati yang amat berat. Namun dalam sebuah masyarakat di mana kumpulan-kumpulan dari pelbagai latar belakang berpegang kuat kepada pendapat yang bertentangan, semua orang harus menerima hakikat bahawa tiada satu kumpulan pun boleh mendapat segala apa yang mereka inginkan.

"Jika satu pihak terlalu mendesak, pihak yang lagi satu akan bertindak balas dengan hebat lagi. Semua kumpulan perlu mengawal diri kerana itu sahaja cara untuk kita melangkah ke hadapan bersama sebagai satu negara," ujar PM Lee.

Melalui permuafakatan politik, Encik Lee harap, akan membantu Singapura kekal sebagai sebuah masyarakat yang toleran dan inklusif.

Perbahasan penuh tentang isu itu akan diadakan di Parlimen.
Sumber : CNA/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan